Topic followed successfully
Go to BHkuSee Leng: Penting perkasa diri bukan biarkan rakyat jadi ‘penumpang pasif’
See Leng: Penting perkasa diri bukan biarkan rakyat jadi ‘penumpang pasif’
Usulan WP beri bayaran kepada pekerja yang diberhenti ekoran AI bukan jalan penyelesaian
See Leng: Penting perkasa diri bukan biarkan rakyat jadi ‘penumpang pasif’
Tradisi Singapura adalah untuk melabur dalam rakyatnya dan bukannya memberi pampasan atas keadaan yang menimpa mereka, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Beliau berkata demikian semasa memberi respons kepada saranan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) mengenai pertumbuhan inklusif di tengah-tengah peralihan kecerdasan buatan (AI) di Parlimen pada 6 Mei.
Dr Tan menyentuh tentang beberapa idea dan kritikan yang diutarakan oleh AP WP semasa perbahasan usul ‘Peralihan AI Tanpa Mengorbankan Pekerjaan’, memberi respons kepada pandangan Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) dan AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Andre Low, mengenai ancaman struktur AI terhadap pertumbuhan inklusif.
Dr Tan berkata beliau menghargai keseriusan mereka dalam membincangkan isu itu.
Persoalannya adalah di mana dan bagaimana untuk bertindak.
Encik Giam menyarankan dana ekuiti AI kebangsaan yang memberi setiap rakyat Singapura $500, dibiayai oleh syarikat yang meraih manfaat daripada AI.
Sementara itu, Encik Low mencadangkan insurans pemberhentian kerja yang memberikan pembayaran kepada pekerja yang diberhentikan.
Dr Tan mengakui perlu memperkukuh sistem agar tiada sesiapa tercicir dalam peralihan AI.
Beliau turut bersetuju bahawa perkongsian hasil peningkatan daya penghasilan secara meluas tidak berlaku secara automatik kerana pasaran semata-mata tidak menjamin hasil sosial yang baik.
“Biar saya nyatakan dengan jelas: Pemerintah sentiasa menyedari hakikat ini, dan sentiasa bertindak,” tegas beliau.
Namun, Dr Tan berkata saranan kedua-dua AP pembangkang itu berteraskan anggapan bahawa rakyat Singapura “sekadar penumpang pasif dalam peralihan AI”.
“Saya tidak boleh, dan tidak akan menerima pandangan sedemikian,” tegas Dr Tan, sambil menambah bahawa kedua-dua saranan itu “bukanlah jalan penyelesaian yang memperkasakan”.
“Pada hemat saya, ia adalah jalan keluar yang penuh pasrah, seolah-olah kita sudah mengaku kalah bahawa pemberhentian pekerja secara beramai-ramai tidak dapat dielakkan, dan perkara terbaik yang tinggal hanyalah meringankan beban impaknya.
“Kita sepatutnya menaruh keyakinan yang lebih utuh terhadap ketahanan dan daya suai rakyat Singapura,” tambah beliau.
Dr Tan turut berpandangan bahawa pengagihan semula kekayaan sahaja tidak mencukupi jika pekerja terpinggir dan terasing daripada denyutan nadi ekonomi.
“Budaya Singapura adalah untuk melabur dalam rakyat, bukannya sekadar memberi pampasan atas keadaan yang menimpa,” ujar beliau.
Encik Low dan Encik Giam bagaimanapun kurang bersetuju dengan cara Dr Tan mentafsirkan saranan yang mereka kemukakan.
Encik Low berkata: “Saya menggesa menteri untuk menjelaskan bagaimana beliau boleh membuat kesimpulan sebegitu rupa berdasarkan ucapan kami.”
Encik Giam pula menjelaskan dana ekuiti AI yang dicadangkannya bukanlah bertujuan untuk memberi pampasan atas kegagalan.
Sebaliknya, ia diwujudkan untuk menyediakan jaring keselamatan yang amat diperlukan demi menjamin keyakinan dan kejayaan.
Beliau juga mempersoalkan apakah perancangan pemerintah untuk beralih daripada perbelanjaan secara budi bicara kepada “perkongsian kekayaan AI secara berstruktur” demi melindungi keupayaan ekonomi pekerja Singapura.
Memberi jawapan, Dr Tan berkata: “Saya kira jawapan yang paling tepat adalah melalui peningkatan pendapatan sebenar mereka.”
Seramai 24 AP, AP Dilantik (NMP), NCMP, dan pemegang jawatan politik telah bangkit menyuarakan pandangan serta keprihatinan mendalam mereka tentang impak penggunaan AI terhadap syarikat dan pekerja semasa perbahasan usul tersebut – yang dibentangkan Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng (Jalan Kayu), pada 5 Mei.
Pada 6 Mei, Parlimen meluluskan usul itu sebulat suara selepas hampir lapan jam perbahasan yang berlangsung selama dua hari berturut-turut.
“
“Pada hemat saya, ia adalah jalan keluar yang penuh pasrah, seolah-olah kita sudah mengaku kalah bahawa pemberhentian pekerja secara beramai-ramai tidak dapat dielakkan, dan perkara terbaik yang tinggal hanyalah meringankan beban impaknya. Kita sepatutnya menaruh keyakinan yang lebih utuh terhadap ketahanan dan daya suai rakyat Singapura... Budaya Singapura adalah untuk melabur dalam rakyat, bukannya sekadar memberi pampasan atas keadaan yang menimpa.”
