SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Seekor burung falkon peregrine di S’pura ditemui mati

Seekor burung falkon peregrine di S’pura ditemui mati

Apr 5, 2026 | 7:10 PM

Seekor burung falkon peregrine di S’pura ditemui mati

falkon, falcon
Daripada tiga anak burung falkon peregrine yang masih hidup, dua telah berjaya terbang keluar dari sarang dan mula melakukan penerbangan percubaan. - Foto OCBC DAN NPARKS

Salah seekor daripada empat anak burung yang baru belajar terbang hasil pembiakan satu-satunya pasangan falkon peregrine yang diketahui membiak di Singapura ditemui mati pada 4 April.

Burung itu berasal daripada kumpulan anak burung – kedua direkodkan bagi pasangan tersebut – yang menetas pada akhir Februari di sarang falkon yang terletak di ruang di atas tingkat 34 ibu pejabat OCBC di Chulia Street.

Falkon peregrine juga dikenali sebagai rajawali kembara.

Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times, Dr Malcolm Soh, Penyelidik Utama bagi Penyelidikan Pengurusan Hidupan Liar Lembaga Taman Negara (NParks), berkata pihaknya dengan dukacita memaklumkan burung itu ditemui mati di atas tanah di Kawasan Pusat Bandar (CBD) pada petang 4 April.

Daripada tiga anak burung yang masih hidup, dua telah berjaya terbang keluar dari sarang dan mula melakukan penerbangan percubaan, kata Dr Soh.

Beliau menambah bahawa seekor lagi masih belum keluar dari sarang, namun dijangka akan berbuat demikian sama ada pada 5 April atau dalam beberapa hari akan datang.

Pada 3 April, detik seekor anak burung mula terbang berjaya dirakam melalui siaran langsung 24 jam sarang tersebut di YouTube NParks, yang kali pertama dilancarkan pada 5 Mac.

Ketika anak-anak burung lain terus menjalani penerbangan latihan, mereka mungkin secara tidak sengaja mendarat di atas tanah, kata Dr Soh.

Orang ramai dinasihati agar menghubungi Pusat Respons Haiwan NParks di talian 1800-476-1600 jika ternampak sebarang anak burung di atas tanah.

Falkon peregrine merupakan haiwan terpantas di dunia, dan mampu mencapai kelajuan melebihi 320 kilometer sejam apabila menyambar memburu mangsa.

Pada 2024, para penyelidik dari Swiss Ornithological Institute dan NParks melihat pasangan burung itu memasuki satu ruang di bahagian luar OCBC Centre selepas mengawan.

Penemuan itu membawa kepada pengesahan lokasi sarang mereka.

Bekas berisi batu kerikil longgar kemudian diletakkan di situ bagi menyediakan permukaan yang lebih selesa untuk pasangan tersebut, dan dua anak burung telah menetas pada 2025.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg