Perawakannya yang ceria dan wajahnya yang halus bak telur dikupas mungkin membuatnya kelihatan muda.
Hakikatnya, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad bukan mentah dalam dunia politik.
Malah, Encik Zaqy, 51 tahun, sudah hampir dua dekad menggalas pelbagai peranan di kementerian berbeza.
Ditanya apakah rahsianya untuk kelihatan awet muda, Encik Zaqy, tergelak sambil berkata:
“Saya rasa mungkin genetik, saya harus berterima kasih kepada ibu bapa saya!”
Tentang amalan penjagaan kulit pula, Encik Zaqy berkata beliau “tidak ada masa” melakukan demikian malah menganggap dirinya cincai dari segi menjaga penampilan diri.
“Saya gunakan sabun biasa... yang mungkin $5 lebih di Watson atau NTUC,” katanya sambil tertawa.
Tidak hairanlah Encik Zaqy sering terkejar-kejar masa kerana beliau kini memikul beberapa peranan berat di bawah portfolionya.
Selain dilantik sebagai Timbalan Ketua Dewan dan Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, bapa tiga anak itu juga merupakan Timbalan Pengerusi badan bantu diri Mendaki serta anggota lembaga Persatuan Rakyat (PA).
Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai AP GRC Chua Chu Kang selama dua penggal dari 2011 hingga 2020.
Menyentuh tentang perdebatan antara penduduk timur dengan penduduk barat yang masing-masing mendakwa daerah mereka yang paling ‘best’, Encik Zaqy yang kini giat mendekati penduduk utara sebaliknya berkata orang-orang utara ‘chill’ (santai) sahaja.
Baginya, tidak perlu untuk penduduk utara merebut takhta bagi gelaran tersebut kerana mereka sudah mendapat yang terbaik bukan sahaja di daerah mereka bahkan juga meraih manfaat ekoran jarak mereka yang dekat dengan Johor Bahru.
“Anda dapat yang terbaik dari dua dunia. Nak makanan Malaysia atau makanan Singapura? Anda mempunyai pilihan,” katanya yang ditemui baru-baru ini di Al-Ameen Eating Corner di Marsiling bagi wawancara khas siri Anggota Parlimen Berita Harian.
Encik Zaqy dengan bangganya menarik perhatian kepada Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) – sistem kereta api rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia yang dijadual siap pada penghujung 2026.
Ekoran teruja dengan pembangunan tersebut berdekatan Marsiling, Encik Zaqy sempat mengajak wartawan untuk nikmati pemandangan luas tidak terhalang Johor Bahru di tingkat 28 salah sebuah blok di Marsiling Grove.
“Apabila siap nanti, kita akan lihat ramai warga Singapura yang dapat pergi ke Johor (menggunakan RTS). Dan contohnya kalau ada acara menyambut tahun baru, kita dapat lihat bunga api dari sini,” katanya.
Selain pembangunan RTS, Encik Zaqy menambah, prasarana pengangkutan di Marsiling sudah banyak dinaik taraf terutama sekali dengan adanya Laluan Thomson-East Coast (TEL).
Dari Marsiling, penduduk hanya mengambil masa 25 minit untuk pergi ke kawasan bandar, yang beliau sifatkan sebagai “laju”.
Untuk memudahkan pejalan kaki yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat, Encik Zaqy berkata sebanyak 228 laluan berbumbung sudah disediakan sepanjang dekad lalu, dengan tambahan enam lagi yang akan siap dibina menjelang awal 2026.–
Memandangkan estet di Marsiling kebanyakannya merupakan estet lama berusia sekitar lima dekad, Encik Zaqy berkata banyak kerja sedang dijalankan untuk memberikannya wajah baru.
Pendekatan itu dilakukan khususnya agar ia tidak kelihatan terlalu beza berbanding beberapa projek Bina Ikut Tempahan (BTO) baru yang didirikan.
Antara kerja yang telah dijalankan adalah mengecat bangunan dengan warna terang, meratakan lantai, menaik taraf kemudahan serta melukis mural di beberapa tempat utama Marsiling yang sering dikunjungi penduduk.
Ditanya apakah bezanya GRC Marsiling-Yew Tee berbanding dengan GRC Chua Chu Kang, iaitu kawasan beliau pernah berkhidmat sebelum ini, Encik Zaqy berkata, demografi penduduknya berlainan.
“Di Chua Chu Kang, kami mempunyai flat-flat empat bilik dan ke atas jadi... demografinya lebih kepada mereka yang berpendapatan tinggi.
“Di Marsiling pula, memang kami dikenali sebagai estet perumahan yang mempunyai (jumlah) flat sewa terbanyak...,” ujarnya.
Justeru, pelbagai program giat dijalankan bagi memenuhi keperluan golongan yang menetap di rumah sewa selain usaha memperkasa mereka untuk memiliki flat sendiri.
Salah satunya ialah program, ‘Marsiling Cares’, yang mengagihkan barang dapur kepada penduduk rumah sewa setiap bulan dan bertujuan membina semangat kampung antara penduduk.
Selain itu, terdapat program, ComLink dan ComLink+, bagi membantu kanak-kanak dalam pembangunan jangka panjang mereka menerusi pementoran dan pendampingan.
Sebagai Timbalan Pengerusi Mendaki, pendidikan merupakan salah satu bidang yang dekat di hati Encik Zaqy.
Manakan tidak, beliau sendiri pernah menerima bantuan skim tuisyen Mendaki ketika di Darjah 6 sebelum menjadi tutor apabila melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Harapannya adalah agar takrif kejayaan itu tidak terhad kepada pencapaian sijil sahaja.
“Saya percaya bahawa pendidikan itu harus holistik.
“Apa yang penting adalah kita bukan saja dapat pengalaman dari dalam bilik darjah bahkan juga di luar bilik darjah,” katanya.
Beliau mengaitkannya kepada usaha menjalin rangkaian dengan karyawan lain selain pembangunan perwatakan dan memanfaatkan trend ekonomi dalam pekerjaan.
Ketika ditanya mengapa beliau jarang atau tidak pernah menonjolkan kehidupan keluarganya di media sosial, Encik Zaqy, yang mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan, menjelaskan bahawa beliau sebenarnya ‘low profile’ (bersifat peribadi dan lebih senang tidak tonjolkan diri).
Bahkan, jika bukan kerana beliau dalam bidang politik, beliau mungkin tidak akan memiliki akaun media sosial sendiri.
Mengenai mengapakah beliau aktif di media sosial, Encik Zaqy berkata:
“Saya muat naik catatan sendiri terutamanya untuk memastikan penduduk atau orang ramai mendapat maklumat terkini tentang inisiatif, dan pada masa yang lain untuk berkongsi kemas kini atau mesej penting, dan juga agar penduduk serta pengikut saya tahu apa yang sedang berlaku di kementerian atau kawasan undi saya.”
Ditanya apakah yang membuatnya terus bertahan dalam sektor awam meskipun sebelum ini beliau membina kerjayanya di sektor privet, Encik Zaqy berkata satu-satunya sebab adalah ia memberinya peluang menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Apa yang paling saya suka setiap minggu adalah berjumpa dengan penduduk, dapat membantu orang.
“Menerusi perkhidmatan di pemerintah, kami melakar dasar baru dan melihat isu pada peringkat nasional. Tapi apa yang penting adalah bagaimana dasar tersebut dapat membantu masyarakat,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg