Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam, See Leng saman fitnah syarikat media Bloomberg, wartawan

Tindakan berhubung siar kenyataan dianggap fitnah libat transaksi hartanah kedua-dua menteri
Feb 26, 2025 | 5:46 PM
Dalam hantaran Facebook yang sama pada 16 Disember 2024, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (kiri), dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata kenyataan yang diterbitkan oleh syarikat media, Bloomberg, berhubung transaksi hartanah mereka adalah fitnah.
Dalam hantaran Facebook yang sama pada 16 Disember 2024, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam (kiri), dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata kenyataan yang diterbitkan oleh syarikat media, Bloomberg, berhubung transaksi hartanah mereka adalah fitnah. - Foto ST

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, telah memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg dan salah seorang wartawannya.

Satu sidang kes bagi saman pada 6 Januari membabitkan syarikat media itu dan wartawannya, Encik Low De Wei, akan diadakan di Mahkamah Agung pada 3 Mac.

Tindakan itu diambil dua bulan selepas Dr Tan dan Encik Shanmugam berkata mereka akan bertindak terhadap Bloomberg dan saluran media lain kerana menyiarkan kenyataan yang dianggap oleh kedua-dua menteri itu sebagai fitnah berhubung transaksi hartanah mereka, lapor The Straits Times (ST).

Kenyataan itu dikeluarkan dalam satu artikel Bloomberg pada 12 Disember mengenai urus niaga banglo kelas baik (GCB) di Singapura dengan tajuk, ‘Singapore mansion deals are increasingly shrouded in secrecy’ (Urus niaga rumah agam Singapura semakin diselubungi kerahsiaan).

Artikel itu ditulis oleh Encik Low, yang, menurut profil LinkedIn-nya, menjadi wartawan hartanah di Bloomberg sejak September 2021.

Artikel itu tertumpu pada tawaran GCB yang ditandatangani dari Januari hingga awal Disember 2024 mengikut nilai, menggunakan dapatan daripada data yang disusun oleh Bloomberg News dan syarikat khidmat hartanah List Sotheby’s International Realty.

Ia menyebut urus niaga hartanah melibatkan Dr Tan dan Encik Shanmugam.

Dalam hantaran Facebook yang sama pada 16 Disember, kedua-dua menteri itu berkata artikel Bloomberg itu adalah fitnah.

Mereka menambah akan mengeluarkan surat tuntutan berhubung artikel tersebut selepas menerima nasihat undang-undang.

Kedua-duanya juga berkata mereka akan mengambil tindakan sama terhadap pihak lain yang turut menerbitkan kenyataan fitnah tentang transaksi tersebut.

Semakan oleh ST menunjukkan Dr Tan dan Encik Shanmugam diwakili oleh sepasukan peguam daripada Davinder Singh Chambers, termasuk Encik Davinder Singh, Encik David Fong dan Encik Bryan Wong.

Encik Remy Choo Zheng Xi, Encik Chua Shi Jie dan Encik Donaven Foo daripada RCL Chambers Law mewakili Bloomberg dan Encik Low.

Arahan pembetulan telah dikeluarkan terhadap Bloomberg di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) pada 23 Disember 2024 berhubung artikel tersebut.

Kementerian Undang-Undang berkata kenyataan palsu dalam artikel Bloomberg itu “menyerang ketelusan urus niaga hartanah di Singapura” dan “memberi gambaran bahawa Singapura tidak mempunyai rangka kerja undang-undang teguh untuk menghendaki pendedahan maklumat kepada pemerintah dalam urus niaga GCB”.

Bloomberg kemudian meletak notis pembetulan pada artikel itu tetapi berkata ia telah berbuat demikian di bawah ancaman sekatan.

Bloomberg dengan hormatnya tidak bersetuju dengannya, dan berhak membuat rayuan dan mencabar Arahan Pembetulan itu. Kami tetap dengan laporan kami,” tambahnya.

Laman web The Edge Singapore, The Independent Singapore dan The Online Citizen (TOC) juga dikenakan arahan pembetulan kerana menyiarkan sebahagian atau sepenuhnya kenyataan yang diterbitkan dalam artikel Bloomberg itu.

Dalam satu artikel di lamannya pada 25 Februari, ketua editor TOC, Encik Terry Xu, mendakwa tiada tindakan guaman dimulakan terhadap Bloomberg atau dirinya sendiri. Dalam satu kenyataan pada 26 Feb, Dr Tan dan Encik Shanmugam berkata tuntutan itu difail pada 6 Jan 2025.

Mereka menambah: “TOC harus, sekurang-kurangnya, mengesahkan fakta daripada melapor secara tidak bertanggungjawab.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg