Kementerian Undang-Undang (MinLaw) telah mengambil tindakan terhadap empat firma guaman dan seorang peguam atas pelanggaran undang-undang antipengubahan wang haram.
Ia berhubung dengan pembelian hartanah dalam kes pengubahan wang haram bernilai $3 bilion, dengan salah satu firma dikenakan penalti maksimum, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Dalam satu kenyataan media pada 15 Julai, MinLaw menyatakan bahawa ia menyokong Pengarah Perkhidmatan Guaman (DLS) dalam menjalankan siasatan terhadap firma-firma guaman yang terlibat dalam urusan pindah milik hartanah yang telah disita dalam operasi antipengubahan wang haram pada Ogos 2023.
Ia menyatakan bahawa DLS telah menjalankan siasatan terhadap 24 firma guaman yang terlibat, dan 11 daripada siasatan tersebut telah pun diselesaikan.
DLS mengetuai Penguasa Kawal Selia Perkhidmatan Undang-undang, iaitu sebuah jabatan di bawah MinLaw yang menyelia pengawalseliaan semua entiti firma guaman serta pendaftaran peguam asing di Singapura.
DLS telah mengarahkan dua firma guaman supaya membayar penalti kewangan masing-masing sebanyak $30,000 dan $100,000.
Firma guaman ketiga telah dikeluarkan notis statutori mengenai niat mengarahkannya membayar penalti kewangan sebanyak $70,000.
Keputusan muktamad akan dibuat selepas menerima dan mempertimbangkan pernyataan bertulis daripada firma tersebut, jika ada, menurut MinLaw.
Kementerian itu menambah, DLS telah menegur secara peribadi firma guaman keempat, dan juga merujuk seorang peguam kepada Persatuan Guaman Singapura untuk tindakan tatatertib.
MinLaw tidak menamakan keempat-empat firma guaman dan peguam yang dikenakan tindakan penguatkuasaan dalam kenyataan medianya.
ST telah menghubungi kementerian untuk mendapatkan maklumat lanjut.
DLS telah memutuskan bahawa tindakan pengawalseliaan lanjut tidak perlu diambil terhadap tujuh firma guaman lain.
“DLS sedang meneliti hasil siasatan bagi baki 13 firma guaman tersebut, serta mempertimbangkan sama ada mana-mana peguam yang terlibat perlu dirujuk kepada Persatuan Guaman Singapura untuk tindakan tatatertib,” ujar MinLaw.
Antara peranannya, persatuan berkenaan mengekalkan standard tingkah laku profesion undang-undang di Singapura.
MinLaw menambah bahawa firma guaman yang melanggar kewajipan antipengubahan wang haram boleh dikenakan tindakan kawalan pengawalseliaan terhadap lesen mereka.
Menjawab pertanyaan ST, seorang jurucakap MinLaw berkata firma guaman yang didapati melanggar kewajipan antipengubahan wang haram di bawah Akta Kerjaya Guaman mungkin diberi amaran, diarahkan membayar denda sehingga $100,000, atau lesen firma guaman mereka digantung atau dibatalkan.
Seorang peguam yang melanggar kewajipan antipengubahan wang haram boleh dikenakan prosiding tatatertib, yang mungkin menyebabkan penalti kewangan, penggantungan daripada amalan undang-undang, atau pemecatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg