Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekilas fakta menarik tenaga nuklear
Apakah reaktor modular kecil (SMR) dan reaktor Generasi IV?
Sekilas fakta menarik tenaga nuklear
Reaktor modular kecil (SMR) merupakan reaktor nuklear maju dengan kapasiti kuasa sehingga 300 megawatt elektrik (MW).
Ini sekitar satu pertiga daripada kapasiti penjanaan loji kuasa nuklear tradisional, menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Kini, terdapat lebih 100 reka bentuk SMR dan reaktor Generasi IV dalam proses pembangunan. Ini termasuk SMR yang memanfaatkan teknologi penyejukan air dan Reaktor Disejukkan Gas Suhu Tinggi.
SMR merupakan reaktor modular kompak yang boleh dibina di kilang lalu dipasang terus di lokasi projek.
Reka bentuk Generasi IV meneroka kitaran bahan api maju serta bahan pendingin alternatif yang berpotensi mengurangkan sisa radioaktif tahan lama secara signifikan.
Berikut beberapa fakta menarik teknologi tersebut yang sedang dikaji untuk Singapura:
Lebih selamat, kompak dan modular
- Sistem pasif dan proses semula jadi dalam reaktor- seperti graviti - kurangkan keperluan campur tangan manusia
- Loji SMR mengandungi jumlah bahan radioaktif yang lebih rendah, sekali gus mengehadkan kesan sekiranya kemalangan berlaku di loji.
- Komponen boleh dibina di dalam kilang sebelum dipasang di tapak pembinaan.
Zon penampan keselamatan lebih kecil
- Tertakluk kepada reka bentuk SMR, ciri keselamatan dan saiz kecil bermakna zon keselamatan jauh lebih kecil berbanding loji nuklear konvensional.
- Menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), terdapat reka bentuk SMR yang mempunyai zon penampan keselamatan beberapa ratus meter.
- Ini berbanding zon penampan keselamatan loji nuklear konvensional yang lazimnya merangkumi radius antara 15 km dengan 30 km.
- Sebagai gambaran, jarak Singapura dari timur hingga ke barat sekitar 27 km.
Satu SMR untuk 546,000 flat HDB
- Sebuah flat HDB empat bilik secara purata menggunakan 380.7 kWh elektrik sebulan, iaitu bersamaan 4,568.4 kWh setahun.
- Sebuah SMR berkapasiti 300MW mampu membekalkan tenaga kepada sehingga 546,000 unit flat dalam setahun.
- Demikian menurut tafsiran data Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) oleh pakar Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura (SNRSI).
Keluasan reaktor SMR Rolls-Royce
- Reka bentuk SMR ini memenuhi ruang sekitar tiga padang bola sepak
- Mempunyai kapasiti kuasa sehingga 470MW
Pelet Uranium setinggi satu inci
- Sebagai gambaran, Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng, pernah menampilkan bagaimana lima pelet uranium setinggi satu inci mampu menjana jumlah tenaga elektrik yang sama seperti satu kolam renang Olimpik penuh dengan gas asli.
Kitar hayat loji yang amat panjang
- Menurut SNRSI, loji tenaga nuklear boleh beroperasi selama 40 hingga 60 tahun
- Sekiranya dilaksanakan, Singapura memerlukan ekosistem tenaga kerja, kepakaran dan keupayaan penyelidikan tempatan yang kukuh untuk menyokong operasi tersebut.
Setakat ini, Singapura belum membuat keputusan terhadap tenaga nuklear, tetapi telah mengukuhkan keupayaan untuk mengkaji sumber energy itu dalam beberapa tahun yang lalu.