Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekilas: S’pura pelbagai sumber elektrik, teliti simpanan minyak Asean, kekalkan rebat tenaga bersasar
Sekilas: S’pura pelbagai sumber elektrik, teliti simpanan minyak Asean, kekalkan rebat tenaga bersasar
Sekilas: S’pura pelbagai sumber elektrik, teliti simpanan minyak Asean, kekalkan rebat tenaga bersasar
1. Singapura tidak bergantung kepada satu negara bagi bekalan elektrik
Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan), Dr Tan See Leng berkata Singapura sedang mempelbagaikan sumber import tenaga boleh diperbaharui.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan media semasa satu temuramah di The Treasury pada 13 November, mengenai kenyataan seorang menteri Indonesia bahawa negara itu tidak akan membekalkan elektrik kepada Singapura sekiranya persetujuan harga gagal dicapai.
“Kami tidak meletakkan semua telur dalam satu bakul,” ujarnya.
Menurut beliau, Singapura telah memberikan sekitar 14 kelulusan bersyarat bagi projek import elektrik, termasuk dari Indonesia, selain satu atau dua projek yang telah menerima lesen bersyarat.
Beliau berkata Singapura turut bekerjasama dengan negara serantau seperti Laos, Kemboja, Vietnam dan Sarawak di Malaysia Timur, selain projek Sun Cable dari Australia.
Menjelang Singapura menggalas peranan sebagai pengerusi Asean pada 2027, Dr Tan berkata usaha akan diteruskan untuk membangunkan rangka kerja kawal selia bagi Grid Tenaga Asean.
Ini termasuk garis panduan kabel dasar laut, akses, pembayaran, tarif serta Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC).
Beliau berkata kerjasama tersebut berpotensi menarik pelaburan bernilai ratusan bilion, malah mungkin beberapa trilion dolar, ke rantau ini.
2. Kekangan tanah perlu diambil kira dalam rancangan simpanan minyak Asean
Dr Tan mengesahkan bahawa Singapura sedang terlibat dalam perbincangan mengenai kerjasama keselamatan bekalan petroleum Asean, termasuk bersama Filipina dan Brunei.
Ini menyusuli laporan Nikkei Asia pada 12 November mengenai aturan simpanan minyak melibatkan Indonesia, Thailand dan Filipina.
Menurut laporan itu, Indonesia dan Thailand bakal menyediakan kemudahan simpanan diesel serta petrol seawal 2027 yang boleh dibeli Filipina ketika kecemasan.
Namun, buat masa ini, Dr Tan berkata Singapura belum membuat sebarang keputusan dan sedang membuat penilitian kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk cabaran kekangan tanah.
“Kita sebenarnya sebuah negara kota, jadi saya fikir perbandingan (dengan negara-negara itu) tidak boleh dibuat secara langsung,” katanya.
Menurut beliau, antara perkara yang perlu diteliti oleh pemerintah ialah lokasi simpanan, saiz kemudahan, keluasan tanah yang diperlukan serta penilaian kesan terhadap alam sekitar.
Keperluan tanah bagi perumahan Bina Ikut Tempahan (BTO) dan pembangunan industri juga perlu dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan dibuat, tambahnya.
Melalui sistem yang dikenali sebagai ‘oil ticketing’ atau tiket minyak, negara yang memerlukan bekalan boleh membayar yuran terlebih dahulu.
Ini bagi mendapatkan hak membeli sejumlah minyak yang disimpan di negara lain apabila berlaku gangguan bekalan, sekali gus mengurangkan keperluan membina kemudahan simpanan sendiri.
3. Mengapa Singapura tidak memberi subsidi menyeluruh bagi harga elektrik?
Dr Tan menjelaskan bahawa Singapura tidak memilih untuk memberi subsidi menyeluruh bagi harga elektrik kerana langkah itu akan lebih menguntungkan mereka yang menggunakan tenaga dalam jumlah besar.
Beliau berkata Singapura mendapatkan sumber tenaga seperti gas asli dan minyak mentah dari luar negara, justeru subsidi menyeluruh bermakna pemerintah turut menanggung sebahagian kos penggunaan tenaga yang tinggi.
Sebaliknya, harga elektrik ditentukan berdasarkan prinsip kos marginal jangka panjang, manakala rebat diberikan secara bersasar kepada isi rumah yang memerlukan bantuan.
“Mereka yang paling memerlukan bantuan, kita akan memberikan jumlah rebat paling tinggi kepada mereka,” katanya.
Bagi syarikat pula, pemerintah menyediakan bantuan seperti Geran Kecekapan Tenaga (EEG) dan Geran Kecekapan Sumber (REG) untuk meningkatkan kecekapan operasi, tambahnya.
Dr Tan turut mengingatkan bahawa Singapura tidak mempunyai sumber tenaga semula jadi yang banyak dan menghadapi kekangan dalam mendapatkan tenaga boleh diperbaharui.
Oleh itu, beliau menekankan pentingnya penjimatan tenaga dalam kehidupan seharian, termasuk mematikan lampu dan pendingin hawa apabila tidak digunakan.