Sekitar 17,000 belia, berumur 15 hingga 24 tahun, di Singapura didapati tidak bersekolah, bekerja atau menjalani latihan pada 2023.
Ini mewakili 4.1 peratus belia di negara ini, peningkatan daripada 3.7 peratus pada 2013.
Walaupun angka tersebut kekal di bawah purata sejagat iaitu 22.4 peratus pada 2020, ia masih perkara membimbangkan, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua.
“Angka ini bersamaan dengan kira-kira 17,000 belia yang tidak dapat mencapai potensi penuh mereka dan mungkin berisiko tersisih daripada masyarakat,” tambahnya.
Beliau berkata demikian pada 25 September semasa Persidangan Khidmat Belia yang dianjurkan buat kali pertama di Singapura, untuk membincangkan isu berkaitan sokongan terhadap belia bermasalah, termasuk ‘belia tersembunyi’, atau hidden youth.
Belia tersembunyi adalah mereka yang mengasingkan diri daripada masyarakat dan duduk di rumah bagi jangka masa lama.
Kumpulan belia dalam lingkungan umur 15 hingga 24 tahun, tidak aktif dalam pekerjaan, pendidikan atau latihan, juga dikenali dengan akronim ‘belia Neet’.
Sekitar 300 pekerja sosial, pendidik dan penggubal dasar menghadiri persidangan tiga hari anjuran agensi perkhidmatan sosial, Fei Yue Community Services, bersama Persatuan Khidmat Belia (Singapura).
Badan masyarakat seperti Care Corner dan Fei Yue, telah berjaya membantu beberapa belia ‘Neet’ untuk kembali ke dalam masyarakat, namun lebih banyak boleh dilakukan untuk menyokong dan mengurangkan bilangan mereka, kata Encik Chua.
Beliau menekankan kepentingan unit keluarga yang kukuh dalam membantu membendung masalah itu.
Pada persidangan yang dianjurkan di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu, beliau turut bercakap mengenai perubahan dunia yang dihadapi belia hari ini.
“Kita hidup dalam dunia penuh berlebihan – maklumat berlebihan, konsumerisme berlebihan,” ujar Encik Chua.
“Tetapi anehnya, kita juga berada dalam dunia penuh kekurangan. Kita kekurangan pendukung emosi dalam hidup kita. Kita kekurangan interaksi sosial fizikal dan bersemuka dalam kehidupan kita.”
Pekerja sosial menekankan isu baru muncul berkaitan belia tersembunyi.
Encik Benjamin Yeo, penolong pengarah di Fei Yue, berkata isu belia tersembunyi menjadi masalah selepas pandemik Covid-19, apabila mereka sedar mereka boleh tinggal di rumah buat tempoh lama, sering kali tertumpu pada peranti mereka.
“Kerja ini memerlukan banyak sumber, serta penglibatan pekerja sosial dengan setiap belia selama purata tiga tahun sebelum mereka berjaya diintegrasikan semula (ke dalam masyarakat),” jelas Encik Yeo.
Menurut pekerja sosial, belia tersembunyi biasanya mempunyai harga diri yang rendah, kurang kemahiran sosial, hubungan kurang baik bersama rakan dan keluarga, di samping prestasi rendah di sekolah.
Ramai daripada mereka beralih ke dunia siber dan menjadi terasing secara sosial.
Justeru, Encik Yeo menyeru lebih ramai majikan untuk bekerjasama dengan badan khidmat belia untuk membantu belia ‘Neet’ meneroka minat mereka dalam laluan kerjaya yang berbeza.
Beliau juga mengajak lebih banyak penyelidikan tempatan untuk menyelidik isu itu supaya dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai tentang belia tersembunyi, dan seterusnya dapat menyokong mereka dengan lebih berkesan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg