Sekitar 700 anggota jemaah S’pura teruskan umrah meski kemelut TT
Sekitar 700 anggota jemaah S’pura teruskan umrah meski kemelut TT
Keselamatan adalah keutamaan, Amtas sentiasa hubung dengan MFA untuk perkembangan terkini
Sesetengah Muslim Singapura dikatakan masih meneruskan hasrat untuk menunaikan ibadah umrah meskipun konflik di Timur Tengah sedang membara.
Pemeriksaan Berita Harian (BH) mendapati sekitar 700 anggota jemaah Singapura kini dilaporkan sudah berada di Makkah untuk menunaikan ibadah umrah mereka, dengan ramai yang lain dijadualkan berangkat ke Tanah Suci tidak lama lagi.
Antara mereka termasuk 15 jemaah di bawah agensi pelancongan tempatan Noor Mohamad Services & Travel, yang dijadualkan pulang dari Arab Saudi pada 23 Mac, menurut pengarah syarikat itu, Ustazah Juyda Noor Mohamad.
Mereka kesemuanya dilaporkan sihat dan melaksanakan ibadah umrah dengan tenang, kata beliau semasa dihubungi.
Beliau, yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), memaklumkan pihaknya menasihati rakyat Singapura agar menangguhkan dahulu rancangan perjalanan umrah, selaras dengan nasihat Kementerian Ehwal Luar (MFA) untuk menangguhkan semua perjalanan ke Timur Tengah.
Namun, bagi mereka yang sudah pun berada di sana, Amtas menegaskan bahawa mereka bekerjasama rapat dengan para pengarah syarikat anggota Amtas yang mempunyai jemaah di sana.
Amtas juga sentiasa berhubung dengan Konsulat Singapura di Jeddah bagi mendapatkan perkembangan terkini, mengutamakan keselamatan jemaah, dan memastikan langkah berjaga-jaga yang perlu dilaksanakan bagi mereka yang sudah berada di rantau tersebut.
“Buat masa ini, sekitar 15 syarikat pelancongan Islam Singapura dalam pangkalan data Amtas kini mempunyai jemaah di Tanah Suci, sama ada di Makkah atau Madinah. Ini termasuk syarikat seperti Nurhikmah Travel & Tours,” tambah Ustazah Juyda.
Beliau turut menambah, terdapat juga beberapa agensi bukan ahli Amtas yang membawa jemaah, selain rakyat Singapura yang mengerjakan umrah secara DIY (lakukan secara sendiri).
Salah seorang anggota jemaah Syukran Travels, Encik Muhamad Nufail Rosli, 31 tahun, yang mengerjakan umrah bersama keluarga, awalnya merasa bimbang untuk meneruskan perjalanan.
“Saya khuatir jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Namun, berkat nasihat dan sokongan keluarga serta rakan-rakan yang sentiasa mengingatkan saya untuk bertawakal, alhamdulillah saya dan jemaah lain selamat tiba dan berada di sini,” ujar beliau, yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa.
Amtas turut memanfaatkan kumpulan WhatsApp rasmi anggotanya bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan jemaah di sana.
“Syukur, setakat ini semua jemaah dilaporkan selamat dan tenang, khususnya dalam menghabiskan hari-hari terakhir Ramadan di Tanah Suci,” tambah Ustazah Juyda.
Amtas menasihati semua agensi yang membawa jemaah ke sana agar mendaftarkan jemaah mereka melalui sistem E-Register di MFA, serta sentiasa berhubung jika situasi berubah atau bertambah serius.
“Para jemaah juga telah dimaklumkan dan dinasihati agar mempertimbang semula perjalanan mereka.
“Bagi mereka yang tetap memilih untuk meneruskan perjalanan, mereka dinasihatkan untuk bersedia dengan kemungkinan perubahan jadual penerbangan atau kelewatan sekiranya keadaan bertambah buruk,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa terdapat jemaah yang memilih untuk meneruskan perjalanan.
Ini kerana kebanyakan daripada mereka menggunakan penerbangan dari Saudi, dan setakat ini tiada penutupan ruang udara ke Jeddah, serta penerbangan juga tidak dibatalkan bagi syarikat penerbangan tersebut.
Walaupun situasi di Timur Tengah masih tidak menentu, pada masa ini masih terlalu awal untuk membuat keputusan besar.
“Namun, setiap agensi umrah sudah mempunyai pelan kontingensi untuk memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah sentiasa diutamakan.
“Setakat ini, tiada risiko khusus dilaporkan kerana kededua kota suci, Makkah dan Madinah, masih menerima jemaah dari seluruh dunia untuk menunaikan umrah Ramadan.
“Jika keadaan berubah, keselamatan dan kesejahteraan jemaah akan terus menjadi keutamaan,” jelas beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syukran Travels, Encik Ismail Sapari, yang kini berada di Tanah Suci bersama 16 anggota jemaah berkata keselamatan jemaah adalah keutamaan, dan agensinya sentiasa berhubung dengan MFA untuk mendapatkan perkembangan terkini situasi di sana.
Syukran Travels, yang memilih penerbangan Scoot dan Saudi Airlines terutamanya pada Ramadan untuk mengelakkan penukaran pesawat ketika berpuasa, melaporkan tiada sebarang gangguan perjalanan setakat ini.
Kumpulan ini dijadualkan pulang ke Singapura pada 23 Mac setelah menunaikan ibadah umrah sejak 9 Mac lalu.
“Alhamdulillah, jemaah kami dapat melaksanakan ibadah umrah dengan selamat walaupun keadaan di Makkah padat dengan kehadiran jemaah dari seluruh dunia. Begitu juga keadaan di Madinah,” kata Encik Ismail.
Walaupun terdapat saranan untuk menangguhkan perjalanan ke Makkah, menurut beliau, ia bukanlah satu kemestian.
“Sebelum ini kami sudah bertanya kepada para jemaah jika mereka ingin teruskan perjalanan ke Tanah Suci dan ramai yang ingin tetap pergi,” katanya sambil menambah kebanyakan mereka lazimnya menunaikan umrah pada hujung Ramadan.
Bagi memastikan kesejahteraan para jemaah, agensi itu menyediakan kad SIM percuma dalam pakej mereka untuk memudahkan komunikasi antara jemaah dengan keluarga di rumah.
Selain itu, lapan lagi jemaah bakal berangkat pada hari pertama Syawal di bawah Syukran Travels, sekitar 2 pagi, untuk menunaikan ibadah umrah dan 48 jemaah umrah DIY bakal pulang pada 19 Mac.
Jurucakap MFA turut berkata dalam satu kenyataan pada 7 Mac bahawa rakyat Singapura dinasihati agar menangguhkan semua perjalanan ke rantau itu.
Mereka yang sedang berada di Timur Tengah digalakkan untuk mendaftar secara elektronik dengan MFA di https://eregister.mfa.gov.sg/ supaya mereka boleh dihubungi jika diperlukan.
Dalam perkembangan berkaitan, Scoot Airlines turut membatalkan penerbangan dari Singapura ke Jeddah sehingga 28 Mac begitu juga bagi Singapore Airlines (SIA).

