SIA lanjut batal penerbangan kerana isu Timur Tengah
Singapore Airlines (SIA) telah membatalkan lebih banyak penerbangan antara Singapura dengan Dubai sehingga 28 Mac di tengah-tengah ketegangan berterusan di Timur Tengah.
Syarikat penerbangan itu, dalam kenyataan di laman webnya pada 11 Mac, memaklumkan pembatalan penerbangan SQ494 (Singapura ke Dubai) dan SQ495 (Dubai ke Singapura) disebabkan “keadaan politik sejagat di Timur Tengah”.
Pembatalan yang dilanjutkan itu menyusuli pengumuman awal pada 1 Mac bahawa sejumlah 26 penerbangan SIA dan Scoot antara 28 Februari dengan 7 Mac telah dibatalkan selepas Amerika Syarikat dan Israel menyerang sasaran di Iran.
SIA sebelum ini mengumumkan di Facebook pada 5 Mac bahawa penggantungan penerbangan SQ494 dan SQ495 akan berterusan sehingga 15 Mac.
Dalam kenyataan terbaharunya pada 11 Mac, SIA berkata: “Pelanggan yang terjejas akan ditempatkan semula pada penerbangan lain atau boleh memohon bayaran balik untuk tiket yang tidak digunakan.”
Mereka yang membuat tempahan melalui ejen pelancongan atau syarikat penerbangan rakan kongsi dinasihatkan supaya menghubungi pihak tersebut secara langsung untuk mendapatkan bantuan, tambahnya.
Syarikat penerbangan itu juga menggesa penumpang mengemas kini butiran hubungan atau melanggan notifikasi telefon bimbit bagi menerima maklumat terkini mengenai status penerbangan mereka.
Scoot, anak syarikat SIA, turut membatalkan lebih banyak penerbangan antara Singapura dan Jeddah sehingga 17 Mac.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu memaklumkan di laman webnya pada 10 Mac bahawa penerbangan TR596 (Singapura ke Jeddah) dan TR597 (Jeddah ke Singapura) dibatalkan kerana “keadaan politik sejagat di Timur Tengah”.

