Sekitar 90 pelajar daripada 18 sekolah menengah telah menghadiri Kem Wartawan Muda GengG anjuran Berita Harian di bangunan SPH Media pada 2 Jun.

Semasa hari pertama acara dua hari itu, peserta mendengar perkongsian dan mengemukakan soalan kepada pempengaruh TikTok serta pengasas bersama syarikat SGFR, Cik Nur Alya Roziz atau lebih dikenali sebagai @lycheelahalamak.

Sesi sidang berita tersebut dikendalikan oleh wartawan Berita Harian, Cik Nur’ Ashiqin Ramadan.

Dalam sesi interaktif tersebut, para peserta bertanya tentang perjalanan Cik Nur Alya sebagai pencipta kandungan, cabaran membina jenama di media sosial serta pengalaman mengusahakan perniagaan bedak sejuk.

Perkongsian Cik Nur Alya memberi inspirasi kepada para pelajar untuk meneroka dunia kewartawanan, keusahawanan dan penciptaan kandungan digital.

Kem ini disokong Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).