Seorang murid Darjah 4 dari Sekolah Rendah Fairfield Methodist (FMS) telah didekati dua remaja yang cuba menjual rokok elektronik, atau ‘vape’ kepadanya.
Kejadian itu berlaku pada 25 Julai, ketika murid tersebut sedang berjalan pulang dari sekolah dan dihampiri dua remaja lelaki di tempat melintas pejalan kaki sekitar Dover Rise.
Murid tersebut menolak tawaran itu dan terus berlalu pergi.
Pengetua FMS (Sekolah Rendah), Cik Soh Mei Foong, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa pihak sekolah telah melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Cik Soh berkata: “Para pelajar telah dimaklumkan tentang kejadian itu dan diingatkan supaya tidak berinteraksi dengan orang tidak dikenali, serta memaklumkan kepada orang dewasa yang dipercayai sekiranya dihampiri oleh orang tidak dikenali atau mencurigakan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak sekolah akan memantau kawasan sekitar sekolah selepas waktu tamat persekolahan.”
Ibu bapa turut berkongsi butiran mengenai kejadian itu dalam beberapa kumpulan sembang.
Seorang ibu, yang mahu dikenali sebagai Cik Wong, berkata anak perempuannya di FMS (Sekolah Menengah) memberitahu bahawa para pelajar telah dimaklumkan semasa perhimpunan pagi pada 28 Julai bahawa laporan polis telah dibuat menyusuli kejadian tersebut.
“Saya risaukan keselamatan anak saya kerana mereka masih muda dan mungkin tidak tahu akibat penggunaan ‘vape’, khususnya ‘Kpod’,” kata Cik Wong, 49 tahun.
‘Kpod’ ialah rokok elektronik yang dicampur dengan bahan-bahan dadah seperti etomidate.
Penyalahgunaan etomidate melalui ‘vape’ boleh menyebabkan kekejangan otot, masalah pernafasan dan gangguan mental.
Ibu bapa dalam kumpulan sembang itu turut menyeru agar orang dewasa lebih peka terhadap kehadiran individu tidak dikenali berhampiran kawasan sekolah.
Kementerian Pendidikan (MOE) memberitahu ST bahawa keselamatan pelajar adalah keutamaan, dan menegaskan bahawa kakitangan sekolah serta pegawai keselamatan sentiasa berwaspada terhadap sebarang aktiviti mencurigakan yang boleh mengancam pelajar.
“Kakitangan sekolah telah diberikan bahan (yang diperlukan) untuk mencegah tabiat merokok dan ‘vape’, serta garis panduan untuk melaporkan kes kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA).
“Ini termasuk papan tanda ‘No Vaping’ (Dilarang Mengambil ‘Vape’) yang ditampal di kawasan sekolah,” jelas jurucakap MOE.
Kementerian itu menambah bahawa para pemimpin sekolah dan pegawai utama turut berkongsi bahan pendidikan serta kerap mengadakan perbincangan berkaitan hal pelajar.
Ini termasuk kerjasama dalam merangka strategi untuk menangani isu pelajar dengan lebih berkesan di sekolah, termasuk kes berkaitan rokok dan ‘vape’.
MOE turut menekankan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha mencegah penggunaan ‘vape’ dan penyalahgunaan dadah.
Sejak 2023, MOE telah bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan HSA untuk mengeluarkan nasihat bersama kepada ibu bapa pelajar sekolah rendah, menengah, maktab rendah dan institut berpusat melalui aplikasi ‘Parents Gateway’ pada setiap penggal.
“Nasihat ini menekankan pengharaman ‘vape’ di sisi undang-undang serta kesan buruknya terhadap kesihatan, meningkatkan kesedaran mengenai isu ini, serta berkongsi petua berguna untuk membantu ibu bapa berbincang dan menyokong anak-anak mereka,” kata jurucakap MOE.
Anggota Parlimen (AP) Telok Blangah, Cik Rachel Ong, telah menyiarkan kejadian itu di akaun Facebook dan Instagram beliau.
“Kejadian ini berlaku pada waktu siang. Mujur, budak lelaki (murid Darjah 4) itu tahu untuk berjalan meninggalkan mereka (remaja yang cuba menjual ‘vape’), tetapi tidak semua anak kita tahu cara untuk bertindak,” tulis Cik Ong di akaun Instagram miliknya.
Cik Ong juga menggesa ibu bapa agar berbincang dengan anak-anak mereka tentang cara bertindak dalam situasi sebegini.
Pada 2024, seramai 2,000 pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga institut pengajian tinggi dilaporkan memiliki atau menggunakan ‘vape’.
Jumlah ini meningkat berbanding 800 kes pada 2022 dan 900 kes pada 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg