Apabila Encik Faris Iskandar Samat dan isterinya Cik Nur Fadhilah Shuib memulakan sekolah penerbangan mereka pada 2018, mereka hampir tutup kedai kerana sambutan suam-suam kuku.
Namun berkat kesungguhan mereka dan usaha gigih menyusun semula strategi, perniagaan itu kini ‘terbang tinggi’.
Daripada hanya kira-kira 50 pelajar pada 2020 kepada kini sekitar 700 pelajar, permintaan rancak untuk perkhidmatan sekolah penerbangan swasta tempatan, Aeroviation, telah meningkat hampir 14 kali ganda dalam tempoh empat tahun lalu.
Disebabkan peningkatan pesat dalam bilangan pelajar, sekolah itu telah berpindah ke ibu pejabat yang lebih besar bukan sekali tetapi dua kali sejak penubuhannya.
Sekolah itu bertapak pada 2018 dengan ruang pejabat seluas kira-kira 500 kaki persegi. Pada 2019, sekolah itu berpindah ke ibu pejabat kedua seluas kira-kira 2,000 kaki persegi.
Kedua-dua ruang tersebut terletak di Oxley BizHub.
Untuk menampung lebih ramai pelajar dan mengembangkan perkhidmatannya bagi mengikuti trend terkini dalam industri penerbangan, Aeroviation baru-baru ini berpindah ke ibu pejabat terbaru di 30A Kallang Place pada 1 Mei, dengan keluasan 5,000 kaki persegi.
Dalam temu bual dengan Berita Harian (BH) di ibu pejabat baru mereka, Encik Faris, 31 tahun, dan Cik Nur Fadhilah, 29 tahun, berkata mereka telah meningkatkan kapasitinya untuk menampung sehingga 80 pelajar secara serentak.
Menyingkap perjalanan dan cabaran mereka setakat ini, Encik Faris berkata:
“Semasa fasa awal, kami tidak memperoleh banyak (pendapatan), jadi kami terpaksa berkongsi mi cawan untuk makan tengah hari. Selepas enam bulan, kami sebenarnya terfikir untuk menutup sahaja Aeroviation kerana ia tidak ke mana-mana.
“Kami memutuskan untuk menyusun semula strategi, dan Dhilah (Nur Fadhilah) mencadangkan untuk memasarkan syarikat kami. Untuk membuat wang, anda perlu membelanjakan wang.
“Alhamdulillah, ia adalah keputusan yang tepat kerana ia telah membantu kami berkembang.”
Beliau juga berkata Aeroviation semakin berkembang setelah seorang pelajarnya, Haazeqah Nur Atikah Abdullah, mendapat liputan berita. Beliau dipercayai merupakan wanita termuda di Singapura mendapat lesen juruterbang riadah pada 2020.
“Kelas kami mula mendapat sambutan. Dulu kami ada satu kelas serentak, kemudian kami perlahan-lahan tambah kepada dua, tiga... hingga empat kelas pada satu-satu masa.
“Ia sangat bising di ibu pejabat kami… ruang istirahat terpaksa berfungsi sebagai bilik darjah sementara kerana terdapat lebihan pelajar.
“Pada masa itu juga, penyewaan untuk ibu pejabat kedua akan berakhir dan kami berfikir sama ada kami perlu kekal atau berpindah ke ruang yang lebih besar dan kami akhirnya memutuskan untuk berpindah ke sini,” ujar pula Cik Nur Fadhilah.
Aeroviation kini mempunyai 10 pembimbing yang mendapat latihan mengikut piawaian yang sama di seluruh dunia tetapi di bawah naungan undang-undang udara negara yang berbeza.
Menurut Encik Faris, sesetengah daripada pembimbing senior Aeroviation mempunyai Penilaian Pelatih Penerbangan daripada Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).
Pembimbing junior pula, yang biasanya mengajar peserta lebih muda, memegang sama ada Lesen Rekreasi, Lesen Juruterbang Privet (PPL) atau Lesen Juruterbang Komersial (CPL) dari serata dunia, termasuk Singapura.
Ibu pejabat baru Aeroviation mempunyai 13 bilik, termasuk empat bilik darjah, empat bilik simulator penerbangan, satu bilik mesyuarat, satu ruang istirahat, satu bilik kegiatan, satu bilik kakitangan dan satu ruang istirahat pelatih.
Bilik simulator dilengkapi dengan simulator realiti maya (VR), simulator pengenalan suara kawalan udara dan juga dua simulasi penerbangan, iaitu Cessna 172 dan Diamond 20.
Menurut Encik Faris, kelas teori dan simulator untuk pelajar dewasa diadakan setiap Ahad, manakala kelas untuk kanak-kanak dan belia pula berlangsung setiap hujung minggu.
Sekitar 70 peratus pelajarnya adalah pelajar setempat manakala baki 30 peratus merupakan pelajar asing.
Encik Faris dan Cik Nur Fadhilah juga menekankan kepentingan memastikan generasi juruterbang pada masa hadapan mempunyai kemahiran dalam memanfaatkan trend dan perkembangan terkini dalam industri.
“Pada masa ini, syarikat penerbangan besar tempatan memberi banyak tumpuan kepada dron, penerbangan automatik dan pesawat baru, tetapi tidak banyak tumpuan untuk menghasilkan juruterbang yang boleh memanfaatkan semua teknologi itu pada masa depan.
“Sebab itulah kami meletakkan banyak tumpuan untuk mendidik pelajar kami tentang trend terkini.
“Saya harap apabila pelajar kami memasuki industri penerbangan pada masa depan, mereka akan diiktiraf oleh pemain industri dan akan mendapat pekerjaan dengan lebih mudah,” jelas Encik Faris.
Cik Nur Fadhilah pula berharap dengan perkembangan Aeroviation sebagai syarikat, beliau dan suaminya dapat berhubung dan mengeratkan hubungan dengan pemain industri lain.
“Kami sedang berusaha mengembangkan hubungan dalam industri penerbangan dari seluruh dunia kerana ia memudahkan kami untuk menghubungkan pelajar kami dengan peluang pekerjaan di luar Singapura,” terang Cik Nur Fadhilah.
Setakat ini, Aeroviation telah membangunkan hubungan dengan sekitar 20 pertubuhan, termasuk Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan-Singapura (ALPA-S), pertubuhan tidak mencari untung, Women in Aviation International – Singapore Chapter (WAISG), Universiti Asia Aeronautikal Embry-Riddle, dan pembuat komponen pesawat, Barrett Aerospace.
“Pertubuhan-pertubuhan ini telah menyokong kami dengan membantu kami mengembangkan jangkauan kami dan memastikan kami sentiasa dikemas kini tentang hal ehwal dan teknologi semasa dalam industri penerbangan.”
Apabila ditanya tentang perasaan mereka berpindah ke ibu pejabat baru, pasangan itu tersenyum dan menghembuskan nafas lega.
Menurut mereka, sewa setiap bulan mencecah lima angka.
“Alhamdulillah, kami bersyukur dapat berkembang dan sekarang mempunyai ibu pejabat baru ini.
“Ia sungguh mengagumkan kerana dahulu, ketika saya masih kecil dan ingin menjadi seorang juruterbang, tidak ada tempat yang menawarkan perkhidmatan atau pendidikan sedemikian,” ujar Encik Faris, yang pernah mencuba program juruterbang syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) beberapa tahun sebelum menubuhkan Aeroviation.
Bagi Cik Nur Fadhilah, beliau berharap ibu pejabat baru itu membolehkan pelajar dan peminat penerbangan bersantai dan saling mengenali satu sama lain.
Selain menyediakan ruang untuk mendidik tentang teori penerbangan, ibu pejabat baru itu juga menjadi hab forum awam, menyediakan wadah menarik untuk penggemar penerbangan mendekati karyawan dalam industri.
“Kami bangga dengan ruang ini. Akhirnya ada tempat yang sesuai untuk orang ramai duduk dan berinteraksi.
“Pada masa yang sama ia juga mengingatkan kami supaya tidak leka kerana Singapura hanyalah pasaran kecil tetapi pasaran di negara lain jauh lebih besar, jadi terdapat ruang untuk penambahbaikan,” kata Cik Nur Fadhilah.
Aeroviation kini menawar tiga program – Junior Aviator untuk pelajar cilik yang berumur tujuh hingga 12 tahun, Young Aviator untuk pelajar berumur 13 hingga 16 tahun, dan Sijil Juruterbang Rekreasi (RPC).
Untuk mendapatkan sijil RPC, pelajar mesti berusia sekurang-kurangnya 15 tahun untuk menjalani dua fasa program penerbangan.
Fasa pertama memerlukan pelajar melalui latihan darat selama 40 jam dan alat simulasi penerbangan selama 20 jam.
Dalam fasa kedua pula, pelajar akan ke Australia untuk menjalani latihan penerbangan dalam pesawat sebenar.
Fasa itu dijalankan dengan kerjasama Recreational Aviation Australia Ltd (RAAus) yang mengeluarkan sijil RPC bagi pelajar Aeroviation.
Apabila selesai kursus yang dijalani selama kira-kira empat bulan, pelajar akan menerima sijil RPC.
Ia membolehkan mereka menerbangkan pesawat riadah yang mempunyai satu atau dua tempat duduk dengan berat maksimum 600 kilogram.
Mereka hanya boleh menerbangkan pesawat di Australia.
Jumlah latihan mengikut jam yang dikumpul pelajar semasa program RPC dikreditkan untuk keperluan pelesenan masa depan, bagi memudahkan pelajar mendapatkan sijil lanjutan.
Encik Faris berkata: “Pelajar tidak dapat terbang di Singapura tetapi mereka menggunakan sijil ini bagi memperbaiki resume mereka untuk mendapat pekerjaan di syarikat penerbangan atau tentera udara.
“Biasanya pelajar akan menerima penajaan daripada sama ada syarikat atau tentera udara untuk meneruskan perjalanan mereka menjadi juruterbang.”
Kos untuk program ‘Junior Aviator’ adalah $265 sebulan; ‘Young Aviator’ $300 sebulan; dan kos program RPC adalah $16,650 secara keseluruhan, dengan bayaran ansuran serendah $2,500 sebulan.
Antara sebab Encik Faris mahu menubuhkan Aeroviation adalah untuk menjadikan bidang penerbangan mudah diakses oleh semua orang.
Beliau berkata tiada lesen diperlukan untuk menubuhkannya tetapi syarikat itu perlu melatih pelajar dengan mencapai standard yang ditetapkan oleh pihak kuasa Singapura demi keselamatan pelajar.
Minat Encik Faris terhadap bidang penerbangan bermula pada zaman kanak-kanaknya apabila beliau melihat pesawat di udara ketika keluarganya berkelah di Pantai Changi.
Encik Faris, yang mempunyai ijazah dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), mengaitkan kemahiran kejuruteraannya dengan lesen juruterbang riadah, untuk menubuhkan Aeroviation bersama isterinya.
Beliau menerima lesen juruterbang riadah di Adelaide, Australia.
Pasangan itu berkongsi bahawa mereka menerima pelaburan sebanyak $180,000 daripada seorang rakan keluarga untuk membangunkan syarikat mereka itu.
“Apabila saya semakin dewasa, saya menyedari bahawa bidang penerbangan bukan hanya tentang pesawat, ia lebih kepada pengurusan kemahiran pengemudian, kesedaran situasi, pengurusan kru dan pesawat, serta banyak lagi.
“Lama-kelamaan ia menjadi sesuatu yang saya mahu lakukan sebagai kerjaya dan saya rasa ia adalah kemahiran yang hebat untuk dipelajari oleh orang ramai juga,” terang Encik Faris.
Jika Encik Faris merupakan ‘otak’ Aeroviation, isterinya, Cik Nur Fadhilah merupakan ‘hati’ syarikat itu.
Menggunakan pengalamannya bekerja sebagai guru prasekolah selama lima tahun, Cik Nur Fadhilah menerapkan konsep STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik) untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran di Aeroviation yang sejajar dengan pendidikan yang didedahkan kepada kanak-kanak dalam kurikulum akademik mereka.
“Saya percaya adalah sangat penting untuk memupuk kanak-kanak ketika mereka masih kecil. Ini kerana pada usia itu, mereka mempelajari kemahiran baru dan mengembangkan kemahiran motor mereka dengan mudah.
“Semasa saya bekerja sebagai guru prasekolah, terdapat ramai kanak-kanak lelaki yang berkata mereka mahu menjadi juruterbang apabila mereka besar. Jadi suami saya dan saya mengambil kesempatan untuk meneroka peluang ini,” kata Cik Nur Fadhilah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg