Lebih 3,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam sektor pengangkutan awam dalam beberapa tahun mendatang, sejajar dengan peluasan rangkaian rel dan penambahbaikan perkhidmatan bas di Singapura.
Daripada jumlah itu, sekitar 2,000 jawatan baru melibatkan sektor rel, manakala lebih 1,000 lagi dalam sektor perkhidmatan bas, menurut Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, semasa melawat Pusat Pertukaran Bas Punggol Coast yang baru pada 20 Mei.
Antara tenaga kerja yang diperlukan sektor rel, termasuk juruteknik, jurutera, serta pakar dalam bidang analitik data dan keselamatan siber.
Laluan Daerah Jurong (JRL) dijadualkan untuk dibuka secara berperingkat antara 2027 dengan 2029, manakala 12 stesen pertama Laluan Rentas Pulau (CRL) dijangka siap menjelang 2030, lapor The Straits Times (ST).
Sektor perkhidmatan bas pula memerlukan tenaga kerja yang merangkumi pemandu bas, juruteknik dan jurutera – semuanya perlu memiliki kemahiran untuk menyokong langkah peralihan kepada penggunaan bas elektrik.
Ini sejajar dengan sasaran pemerintah untuk memastikan separuh daripada bas awam di Singapura menggunakan kuasa bateri menjelang 2030.
Menurut Encik Chee, pengendali pengangkutan awam perlu menambah tenaga kerja, berikutan peluasan perkhidmatan bas di bawah Program Peningkatan Rangkaian Bas (BCEP), satu inisiatif bernilai $900 juta yang dilancarkan pada Julai 2024 bagi meningkatkan keterhubungan bas awam untuk penduduk di kawasan perumahan baru.
Ketika ditanya bagaimana Pemerintah merancang menarik lebih ramai pekerja ke sektor pengangkutan awam, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan strategik – termasuk Kesatuan Sekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) – untuk mendekati graduan baru serta individu yang sedang membuat peralihan kerjaya.
Bonus penyertaan dan pelbagai insentif akan ditawarkan, termasuk program rujukan untuk pekerja pengangkutan awam sedia ada bagi mengesyorkan rakan mereka menyertai sektor ini.
“Ia merupakan bidang kerja yang sangat bermakna, dan kami berharap dengan peluasan rangkaian rel dan perkhidmatan bas ini, lebih ramai rakyat Singapura akan menyertai kami sebagai pekerja pengangkutan awam,” katanya.
Mengenai latihan untuk melatih pekerja mengendalikan bas elektrik, Encik Chee berkata Pemerintah telah bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk membekalkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan.
Bagi mereka yang sedang membuat peralihan kerjaya atau yang mungkin belum berpeluang menghadiri kursus sebegini, beliau berkata terdapat program yang disediakan di bawah skim pendidikan dan latihan berterusan.
Encik Chee menjelaskan bahawa latihan itu memerlukan proses berterusan, dan terdapat ramai pelajar yang berminat bekerja dengan teknologi baru – termasuk menggunakan analitik data bagi meningkatkan proses membuat keputusan dan penyelenggaraan.
Pihak media turut mengemukakan soalan kepada Encik Chee mengenai pelbagai topik lain, termasuk kadar penggunaan kenderaan elektrik (EV) di sini.
Beliau berkata penerimaan EV lebih tinggi adalah satu “trend yang baik”, dan berharap agar harga EV terus menurun seiring dengan kemajuan teknologi, serta prestasi bateri EV juga bertambah baik.
EV menyumbang 40.2 peratus daripada jumlah pendaftaran kereta dalam tiga bulan pertama 2025, sekaligus mencatatkan rekod tertinggi baru.
Encik Chee menambah bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan terus menyokong pemasangan tempat megecas EV di tempat letak kereta awam dan kondominium.
Apabila ditanya jika beliau menjangkakan kekal di MOT atau berpindah ke kementerian lain selepas langkah penyusunan semula Kabinet akan datang, Encik Chee berkata:
“Anda perlu tunggu pengumuman penyusunan semula Kabinet oleh Perdana Menteri. Apapun jawatan yang saya pegang, sama ada dalam bidang pengangkutan atau lain-lain, saya akan terus lakukan sebaik mungkin.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg