Topik diikuti
Pergi ke BHkuSektor perakaunan S’pura tambah peluang kerja, naik gaji sedang firma persiap pekerja hadapi AI
Sektor perakaunan S’pura tambah peluang kerja, naik gaji sedang firma persiap pekerja hadapi AI
Sektor perakaunan S’pura tambah peluang kerja, naik gaji sedang firma persiap pekerja hadapi AI
Sektor perakaunan Singapura menambah pekerjaan dan menaikkan gaji median bagi semua peringkat jawatan yang ditinjau pada 2025, sedang kecerdasan buatan (AI) mengubah tugas akauntan dan kemahiran yang mereka perlukan.
Tenaga kerja sektor itu meningkat 579 jawatan, atau 2.7 peratus, kepada 22,362 orang, manakala pendapatan naik 5.1 peratus kepada sekitar $3.7 bilion, menurut Tinjauan Entiti Perakaunan 2026 oleh Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra).
Lebih 1,200 peluang pekerjaan dilaporkan, dengan sekitar 80 peratus dalam bidang audit, jaminan dan khidmat nasihat perniagaan.
Pertumbuhan itu berlaku ketika firma perlu mempersiap pekerja menilai analisis AI dan membuat keputusan berdasarkannya.
Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Cik Jasmin Lau, berkata proses automatik tugas rutin menimbulkan persoalan tentang cara akauntan muda membina pertimbangan profesional, dalam ucapannya di Persidangan Institut Akauntan Bertauliah Singapura (ISCA) pada 11 November.
Tugas seperti penyelarasan rekod kewangan dan penyediaan awal dokumen kini mula dikendalikan AI, sedangkan tugas itu selama ini membantu pekerja muda menimba pengalaman.
“Sedang firma semakin banyak menggunakan teknologi untuk melaksanakan tugas ini, saya berharap mereka turut memikirkan cara membantu pekerja muda mengasah kepekaan untuk mengenal pasti apabila sesuatu kelihatan tidak kena,” katanya.
Pelaksanaan tugas secara automatik boleh menjadikan pekerjaan peringkat permulaan lebih menarik, namun majikan perlu menyediakan latihan dan tanggungjawab sebenar.
Tinjauan tahunan Acra melibatkan 238 entiti perakaunan, mewakili 92 peratus anggaran pendapatan sektor itu.
Khidmat nasihat perniagaan menerajui pertumbuhan pendapatan, manakala audit dan jaminan menyumbang hampir separuh pendapatan keseluruhan.
Penduduk Singapura mengisi 522 daripada 579 jawatan tambahan itu, menjadikan jumlah tenaga kerja penduduk Singapura dalam sektor tersebut seramai 17,027 orang.
Gaji bulanan median pembantu audit tahun pertama meningkat daripada $3,000 kepada $3,400, manakala gaji pegawai bersekutu tahun pertama naik daripada $4,200 kepada $4,600.
Gaji median pegawai bersekutu kanan tahun pertama meningkat daripada $5,400 kepada $5,800, pengurus tahun pertama daripada $7,750 kepada $8,250, manakala pengarah tahun pertama daripada $13,500 kepada $14,500.
Selain pengambilan pekerja, firma turut mengutamakan kemahiran baharu.
Penggunaan AI, etika dan tadbir urus menjadi keutamaan latihan pekerja bagi 67 peratus peserta tinjauan bagi tiga tahun akan datang, diikuti kemahiran mengolah dan mempersembahkan data secara lebih mendalam bagi 45 peratus peserta.
ISCA turut menandatangani memorandum persefahaman (MOU) lima tahun dengan lima politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) bagi menyediakan pembelajaran AI, projek industri, bimbingan dan latihan amali.
Lebih 3,000 pelajar telah mendaftar dalam Program Celik AI ISCA.
Cik Lau menegaskan bahawa akauntan tetap bertanggungjawab menilai kewajaran analisis AI.
“Alat AI boleh menghasilkan analisis dengan pantas. Namun, seseorang masih perlu menilai sama ada analisis itu munasabah dan bertanggungjawab terhadapnya.”
Mengekalkan pekerja berpengalaman turut menjadi keutamaan, terutama apabila semakin ramai perlu menjaga anak kecil dan ibu bapa lanjut usia, tambah beliau.
ISCA juga merintis FlexConnect, yang menghubungkan akauntan berpengalaman dengan perniagaan yang memerlukan tenaga kerja sementara atau kepakaran kewangan khusus.
Inisiatif itu merangkumi pekerjaan sambilan, kontrak dan berasaskan projek, termasuk menggantikan pekerja yang bercuti panjang. Lebih 100 tenaga karyawan menyatakan minat sejak September 2026.
Ernst & Young dan Nexia Singapore PAC menerima Anugerah Transformasi Tenaga Kerja Sektor Perakaunan atas usaha memperbaharui pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.
Cik Lau berkata walaupun teknologi berubah, tanggungjawab utama kerjaya perakaunan tetap memastikan orang ramai yakin terhadap angka kewangan.