Topik diikuti
Pergi ke BHkuGoogle perluas kerjasama AI dengan kumpulan penjagaan kesihatan awam
Inisiatif termasuk program ramalan kesihatan penduduk dan ujian alat kecerdasan buatan (AI) untuk amalan klinikal
Google perluas kerjasama AI dengan kumpulan penjagaan kesihatan awam
Google akan memperluas kerjasama dengan institusi penjagaan kesihatan awam Singapura, menurut para eksekutif kanan syarikat gergasi teknologi itu semasa Sidang Puncak Google for Health yang julung kalinya diadakan di Singapura pada 29 Oktober.
Kerjasama itu termasuk program pendigitalan kesihatan penduduk bersama NHG Health untuk memperluas usaha pencegahan penyakit melalui ramalan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Google juga akan menubuhkan pusat penyelidikan baharu di Singapura, dengan saintis penyelidikan dan jurutera perisian yang berpangkalan di sini.
Pengarah Urusan Google Singapura, Encik Ben King, berkata syarikat itu berharap dapat membangunkan teknologi AI penjagaan kesihatan di Singapura untuk digunakan di seluruh dunia.
“Dengan menggabungkan kepakaran teknikal kami dengan institusi kesihatan bertaraf dunia dan tenaga mahir Singapura, kita dapat membina sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan, serta memperluas inovasi ini dari Singapura ke seluruh dunia,” katanya.
Program pendigitalan kesihatan penduduk itu menggunakan model ramalan yang menggabungkan pangkalan data kesihatan penduduk NHG tanpa maklumat pengenalan individu dengan alat analisis geospatial Google.
Data iklim, alam sekitar serta petunjuk carian dan tingkah laku boleh digunakan untuk meramalkan risiko kesihatan seperti penyakit kronik dan kelemahan fizikal.
Pembimbing kesihatan berasaskan AI kemudian boleh memberikan nasihat gaya hidup yang sesuai dengan keadaan individu serta panduan pencegahan kepada penduduk.
Melalui makmal penyelidikan AInya, Google DeepMind, Google juga akan bekerjasama dengan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) untuk menguji dan menilai inisiatif penyelidikan antarabangsa mengenai AI sebagai pembantu klinikal bagi mengkaji bagaimana teknologi itu dapat meningkatkan keupayaan petugas klinikal.
Melalui kerjasama ini, Google mahu menilai ketepatan, keselamatan dan kegunaan maklum balas AI berdasarkan ukuran klinikal yang ditetapkan.
Tetamu kehormat, Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, berkata inisiatif bersama NHG itu akan membantu memperluas penjagaan kesihatan daripada hospital ke kawasan kejiranan dan rumah.
“Nilai terbesar AI mungkin bukan terletak pada keupayaannya mempercepat penjagaan kesihatan yang dilaksanakan hari ini,” katanya.
“Sebaliknya, AI membolehkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang sebelum ini sukar disediakan secara meluas.”
Inisiatif itu menyusuli kerjasama AI peringkat nasional dengan Google yang diumumkan awal tahun ini untuk menggunakan model AI tercanggih syarikat itu bagi menangani pelbagai cabaran dan peluang dalam masyarakat.
Encik Tan berkata kerjasama itu membolehkan Singapura membangunkan dan mengesahkan kesahihan aplikasi AI penjagaan kesihatan yang akhirnya mungkin digunakan di seluruh dunia.
“Ketika AI semakin pesat berkembang, bagaimana kita dapat memanfaatkan keupayaannya untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara selamat, bertanggungjawab dan meluas?” katanya.
“Google membawa teknologi tercanggih, manakala sistem kesihatan kita memahami keperluan penjagaan kesihatan paling mendesak. Itulah pentingnya kerjasama ini.”
Naib Presiden Google merangkap Pengurus Besar Google Research, Dr Yossi Matias, berkata pusat penyelidikan baharu di Singapura itu akan bekerjasama dengan pasukan Google di seluruh dunia untuk meningkatkan kecekapan model AI termaju.
Pusat itu juga akan bekerjasama dengan universiti tempatan, termasuk Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), untuk membangunkan bakat penyelidikan dan menyokong penyelidikan saintifik.
“Singapura memiliki institusi penyelidikan bertaraf dunia, strategi AI nasional yang berpandangan jauh serta sistem penjagaan kesihatan yang bersedia memanfaatkan AI,” katanya.
Beliau menambah, pusat itu akan membolehkan Google memperluas penyelidikan kesihatan semasa, termasuk MedGemma, model AI sumber terbuka untuk kegunaan perubatan, ke dalam sistem penjagaan kesihatan tempatan.
Encik Tan berkata penemuan penting dalam penyelidikan sains dan perubatan boleh digunakan dalam amalan klinikal, namun kejayaannya tidak boleh dianggap terjamin.
“Penemuan baharu membuka peluang,” tambahnya. “Sistem yang baik mengubah peluang itu menjadi hasil nyata.”
Beliau menegaskan bahawa aplikasi AI perlu menjalani ujian ketat sebelum digunakan dalam amalan klinikal, diikuti pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan dan keberkesanannya.
“Model AI yang canggih tidak semestinya meningkatkan tahap kesihatan,” katanya.
“Ia perlu menghubungkan data yang boleh dipercayai, sesuai dengan aliran kerja sebenar, membantu golongan profesional membuat keputusan lebih baik, menghasilkan bukti dan manfaat serta mendapat kepercayaan pesakit dan pengguna.”