Topik diikuti
Pergi ke BHkuEra AI: Bukan sekadar latihan, firma perlu reka semula struktur kerja
Semak aliran tugas agar pekerja berpeluang guna kemahiran baharu secara bermakna, tingkat daya penghasilan
Era AI: Bukan sekadar latihan, firma perlu reka semula struktur kerja
Selama bertahun-tahun, Singapura telah membangunkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) yang kukuh.
Latihan dan alat kecerdasan buatan (AI) kini tersedia dan mudah digunakan rakyat Singapura, dengan Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) melancarkan 200 kursus berkaitan AI.
Pendekatan yang mengutamakan kemahiran juga semakin diberi penekanan.
Namun, ketika AI mengubah dunia pekerjaan, cabaran Singapura bukan sekadar melengkapkan pekerja dengan kemahiran baharu, tetapi memastikan tempat kerja berkembang cukup pantas untuk memanfaatkan kemahiran tersebut.
Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa pelancaran Pesta SkillsFuture pada 16 September 2026, pekerja tidak boleh diketepikan dalam proses perubahan perniagaan.
Perkara ini semakin mendesak dalam era AI.
AI penjana sudah mengubah tugas dan aliran kerja, manakala AI berasaskan ejen dijangka semakin mengubah cara kerja diatur dan keputusan dibuat.
Sementara itu, AI yang lebih maju, seperti AI ramalan atau AI autonomi, akhirnya boleh mengubah keseluruhan pekerjaan dan model perniagaan.
Perbincangan mengenai AI sering tertumpu pada cabaran kemahiran.
Namun, bagi banyak pertubuhan, cabaran yang lebih besar mungkin terletak pada reka bentuk kerja.
Kajian firma penasihat strategi dan teknologi, Deloitte pada 2026 mendapati, walaupun 84 peratus organisasi meningkatkan pelaburan dalam AI, hanya 20 peratus melaporkan pulangan yang ketara daripada pelaburan tersebut.
Salah satu sebabnya adalah banyak syarikat menumpukan usaha meningkatkan kefahaman dan kemahiran AI tanpa mereka bentuk semula kerja untuk memanfaatkan keupayaan baharu teknologi itu.
Organisasi perlu mereka bentuk semula tugas dan aliran kerja agar pekerja berpeluang menggunakan kemahiran baharu mereka secara bermakna di tempat kerja.
Risiko utamanya bukanlah isu pekerja kurang berkemahiran, sebaliknya wujud jurang apabila tenaga kerja yang telah dilatih menggunakan AI terperangkap dalam sistem kerja yang belum bersedia memanfaatkan teknologi tersebut.
Tinjauan kajian terbaharu kami yang diketengahkan dalam Singapore Labour Journal (Jurnal Tenaga Kerja Singapura) terbitan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) mendapati latihan, reka bentuk semula pekerjaan dan perubahan perniagaan perlu dihubungkan dengan lebih erat.
Hakikatnya, mempelajari kemahiran tidak bermakna kemahiran itu digunakan di tempat kerja.
Nilai sebenar latihan terletak pada keupayaan pekerja memanfaatkan kemahiran baharu dalam tugasan sebenar untuk meningkatkan daya penghasilan, di samping memacu pembangunan kemahiran berterusan demi manfaat masa depan pekerja.
Penggunaan AI bukan sekadar cabaran kemahiran, malah turut berkait rapat dengan reka bentuk kerja dan pembaharuan perniagaan.
Sebagai contoh, menghantar pekerja mengikuti kursus AI sahaja tidak mencukupi jika syarikat belum menentukan perubahan pada pekerjaan, tanggungjawab dan aliran kerja.
Pekerja juga perlu dilibatkan dalam usaha pembaharuan ini. Dengan kata lain, kerja perlu direka bentuk semula bersama pekerja.
Pengurus yang menyelia pekerja secara langsung memainkan peranan penting.
Mereka menentukan sebahagian besar tugas harian pekerja.
Dengan mengenal pasti peluang menggunakan kemahiran baharu dan memberi pekerja tugas berbeza, pengurus menjadi penghubung penting antara latihan dengan amalannya di tempat kerja.
Secara lebih luas, pembelajaran di tempat kerja, sokongan penyelia, pembelajaran sesama rakan sekerja dan penyertaan pekerja penting dalam membantu mereka menggunakan kemahiran baharu, menghasilkan inovasi dan menyumbang dengan lebih berkesan.
Kami sedar reka bentuk semula kerja memerlukan masa, sumber dan keupayaan yang mungkin tidak dimiliki firma kecil.
Firma yang menghadapi kekangan kos, ia mungkin melihat usaha mereka bentuk semula keseluruhan pekerjaan sebagai langkah yang mungkin sukar dan kurang berkesan.
Namun, firma tidak perlu melakukannya sendirian.
Syarikat boleh memanfaatkan sokongan sedia ada, termasuk daya usaha mereka bentuk semula pekerjaan SWDA serta Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) NTUC, yang menggabungkan perubahan perniagaan, reka bentuk semula pekerjaan dan pembangunan tenaga kerja.
Melalui Geran CTC, syarikat boleh menerima sokongan bagi projek pembaharuan yang meningkatkan daya penghasilan serta membuka peluang kerjaya dan kenaikan gaji untuk pekerja.
Syarikat pembekal kelengkapan pejabat tempatan, Evergreen Group, menjadi contoh pelaksanaan pendekatan ini.
Melalui projek Geran CTC, syarikat itu memperkenalkan sistem pesanan elektronik berkuasa AI yang mengurangkan kerja pengendalian pesanan secara manual sebanyak kira-kira 60 peratus.
Dengan menggunakan teknologi untuk mengambil alih tugas sedia ada, syarikat itu membolehkan pekerja menumpukan perhatian kepada tugas bernilai lebih tinggi, seperti mengurus hubungan pelanggan dan menggunakan data untuk menambah baik pengurusan bekalan.
Perubahan itu membolehkan syarikat mengendalikan 40 peratus lebih banyak pesanan, di samping memberikan kenaikan gaji kepada pekerja.
Gabungan penggunaan teknologi, reka bentuk semula pekerjaan dan pembangunan kemahiran dapat meningkatkan daya penghasilan, memperkukuh prestasi perniagaan serta menghasilkan pekerjaan dan manfaat yang lebih baik untuk pekerja.
Oleh itu, matlamatnya bukan sekadar menggunakan teknologi untuk mengambil alih sebanyak mungkin tugas.
Syarikat perlu menilai dengan teliti bidang yang membolehkan teknologi meningkatkan keupayaan pekerja, bidang yang masih memerlukan sumbangan khusus manusia, serta cara menjadikan pekerjaan lebih produktif, mampan dan bermakna.
Inilah asas reka bentuk semula kerja yang berteraskan manusia, iaitu menggunakan teknologi untuk menambah baik pekerjaan sambil memastikan pekerja turut terlibat dan meraih manfaat daripada perubahan yang dipacu AI.
Tatkala Singapura memperkasa penggunaan AI secara meluas, komitmen bagi memastikan tiada pekerja yang terpinggir adalah kritikal, memandangkan kesan peralihan teknologi ini berbeza mengikut segmen tenaga kerja.
Syarikat contoh, syarikat wajib meneliti kesan rombakan reka bentuk kerja ini ke atas kebajikan penjaga yang kembali bertugas, lulusan baharu yang memulakan kerjaya, serta pekerja pertengahan dan lanjut usia yang sedang melalui fasa peralihan kerjaya.
Peluang daripada AI dan mereka bentuk semula kerja harus dapat dimanfaatkan oleh pekerja pada setiap peringkat kerjaya.
Singapura telah banyak melabur untuk membantu pekerja memperoleh kemahiran baharu dan menggunakan teknologi terkini.
Melalui daya usaha, inisiatif AI-Ready SG NTUC, anggota NTUC juga boleh memanfaatkan Program Bantuan Latihan Kesatuan (Utap) untuk mengurangkan kos langganan alat AI dan kursus yang layak.
Fasa pembangunan kemahiran seterusnya perlu menyelaraskan cara pekerja belajar, perniagaan berubah dan pekerjaan direka bentuk semula.
Latihan membina kemahiran, manakala reka bentuk semula kerja membuka peluang untuk menggunakannya.
Seiring kepesatan teknologi AI, tumpuan kini harus terarah kepada pembahagian tugas manusia, penstrukturan semula kerja syarikat, serta kaedah optimum untuk teknologi memacu prestasi pekerja.
AI harus digunakan untuk memperkukuh keupayaan manusia dan memberi manfaat bukan sahaja kepada majikan, bahkan juga pekerja yang turut menikmati hasil pembaharuan tersebut.
NTUC boleh terus memperjuangkan kepentingan dan menyokong setiap pekerja demi gaji, kebajikan dan prospek pekerjaan yang lebih baik, kerana setiap pekerja penting.
Kertas kajian penuh diterbitkan Singapore Labour Journal, Jilid 5.
Encik Shawn Seah Timbalan Pengarah Strategi, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), dan Dr Silin Yang, Timbalan Pengarah (Pusat Amalan Kemahiran Dahulu) di Institut Pembelajaran Orang Dewasa.
“
“Hakikatnya, mempelajari kemahiran tidak bermakna kemahiran itu digunakan di tempat kerja. Nilai sebenar latihan terletak pada keupayaan pekerja memanfaatkan kemahiran baharu dalam tugasan sebenar untuk meningkatkan daya penghasilan, di samping memacu pembangunan kemahiran berterusan demi manfaat masa depan pekerja. Penggunaan AI (kecerdasan buatan) bukan sekadar cabaran kemahiran, malah turut berkait rapat dengan reka bentuk kerja dan pembaharuan perniagaan. Sebagai contoh, menghantar pekerja mengikuti kursus AI sahaja tidak mencukupi jika syarikat belum menentukan perubahan pada pekerjaan, tanggungjawab dan aliran kerja.”