Sektor perakaunan Singapura menambah pekerjaan dan menaikkan gaji median bagi semua peringkat jawatan yang ditinjau pada 2025, sedang kecerdasan buatan (AI) mengubah tugas akauntan dan kemahiran yang mereka perlukan.

Tenaga kerja sektor itu bertambah 579 jawatan, atau 2.7 peratus, daripada 21,783 pada 2024 kepada 22,362 pada 2025, manakala pendapatan naik 5.1 peratus kepada sekitar $3.7 bilion.

Demikian menurut Tinjauan Entiti Perakaunan 2026 oleh Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra).

Lebih 1,200 peluang pekerjaan dilaporkan dalam entiti perakaunan, dengan sekitar 80 peratus dalam khidmat audit dan jaminan, serta nasihat perniagaan.

Pertumbuhan itu berlaku ketika syarikat-syarikat menghadapi cabaran mempersiapkan pekerja bagi tugas yang semakin banyak melibatkan penelitian terhadap analisis hasil janaan AI, serta tugas membuat keputusan berdasarkan analisis tersebut.

Pemangku Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Jasmin Lau, berkata memandangkan tugas rutin kini diautomasikan, majikan perlu memikirkan bagaimana akauntan muda akan mengembangkan daya pertimbangan yang secara tradisi diperoleh melalui kerja-kerja sedemikian.

Cik Lau berkata demikian dalam ucapannya di Persidangan Institut Akauntan Bertauliah Singapura (ISCA) pada 11 November di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.

Tugas seperti penyelarasan rekod kewangan dan penyediaan draf awal merupakan antara tugas yang kini mula dikendalikan AI, sedangkan tugas itu selama ini membantu pekerja muda menimba pengalaman dalam bidang mereka, tambah beliau.

“Sedang firma semakin banyak menggunakan automasi untuk melaksanakan tugas ini, saya berharap mereka turut memikirkan cara membantu pekerja muda mengasah kepekaan untuk mengenal pasti apabila sesuatu kelihatan tidak kena,” katanya.

Pelaksanaan tugas secara automatik, jika dilakukan dengan baik, boleh menjadikan pekerjaan peringkat permulaan lebih menarik, namun majikan perlu berusaha melatih kakitangan muda dan memberi mereka tanggungjawab sebenar, tambah Cik Lau.

Tinjauan tahunan Acra itu melibatkan 238 entiti perakaunan, mewakili 92 peratus anggaran pendapatan sektor tersebut.

Khidmat nasihat perniagaan menerajui pertumbuhan pendapatan, manakala audit dan jaminan menyumbang hampir separuh pendapatan keseluruhan.

Penduduk Singapura mengisi 522 daripada 579 jawatan tambahan itu, menjadikan jumlah tenaga kerja penduduk Singapura dalam sektor tersebut seramai 17,027 orang.

Gaji bulanan median pembantu audit tahun pertama meningkat daripada $3,000 kepada $3,400; manakala gaji kakitangan bersekutu tahun pertama naik daripada $4,200 kepada $4,600.

Gaji median bagi kakitangan bersekutu kanan tahun pertama meningkat daripada $5,400 kepada $5,800; gaji median pengurus tahun pertama daripada $7,750 kepada $8,250; manakala gaji median pengarah tahun pertama naik daripada $13,500 kepada $14,500.

Selain pengambilan pekerja, firma turut mengutamakan kemahiran baharu.

Aplikasi, etika, dan tadbir urus AI menduduki kedudukan teratas dalam keutamaan pembangunan tenaga kerja bagi tempoh tiga tahun akan datang, seperti yang dinyatakan oleh 67 peratus responden, diikuti oleh analitik data lanjutan dan visualisasi sebanyak 45 peratus.

Untuk membantu menyediakan bakal pekerja, ISCA telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) lima tahun dengan kesemua lima politeknik serta Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Kerjasama ini akan mewujudkan peluang untuk pembelajaran AI secara amali, projek industri, bimbingan, serta latihan industri.

Lebih 3,000 pelajar politeknik dan ITE telah mendaftar dalam Program Celik AI (AI Fluency Programme) anjuran ISCA.

Cik Lau menegaskan bahawa akauntan tetap bertanggungjawab menilai kewajaran analisis AI.

“Alat AI boleh menghasilkan analisis dengan pantas. Namun, seseorang masih perlu menilai sama ada analisis itu munasabah, dan bertanggungjawab terhadapnya,” katanya.

Mengekalkan pekerja berpengalaman turut menjadi keutamaan, terutama apabila semakin ramai perlu menjaga anak kecil dan ibu bapa lanjut usia, tambah beliau.

ISCA sedang menjalankan projek rintis FlexConnect untuk menghubungkan golongan profesional perakaunan berpengalaman yang mencari aturan kerja fleksibel, dengan perniagaan yang memerlukan tenaga kerja kewangan sementara atau pakar dalam bidang tersebut.

Daya usaha itu merangkumi pekerjaan sambilan, kontrak dan berasaskan projek, termasuk tugasan bagi menggantikan pekerja yang bercuti panjang.

Lebih 100 tenaga karyawan menyatakan minat sejak September 2026.

Ernst & Young dan Nexia Singapore PAC menerima Anugerah Transformasi Tenaga Kerja Sektor Perakaunan atas usaha mereka semula pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.

Anugerah itu disampaikan oleh Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja dengan kerjasama ISCA, serta mendapat sokongan daripada ACRA dan Lembaga Pembangunan Ekonomi.

Cik Lau berkata walaupun peralatan teknologi berubah, namun tanggungjawab teras kerjaya perakaunan tetap sama, iaitu memberikan keyakinan kepada orang ramai terhadap perangkaan kewangan.