Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Selam’ keluar dari zon selesa demi pengalaman luar biasa
‘Selam’ keluar dari zon selesa demi pengalaman luar biasa
Kuasai pelbagai kemahiran baru, bina keyakinan diri antara pengalaman paling berharga dalam usaha raih lesen selam skuba di Pulau Tioman
‘Selam’ keluar dari zon selesa demi pengalaman luar biasa
Dalam kamus Gen Z, ‘side quest’ merujuk kepada kegiatan di luar rutin harian – daripada mencuba kafe baru atau menyertai kelas seni, hingga merancang pengembaraan spontan pada hujung minggu.
Bagi saya, ‘side quest’ kali ini membawa saya jauh dari keriuhan daratan, menyelami kedalaman di bawah permukaan laut.
Bersama seorang teman, saya memutuskan untuk ke Pulau Tioman di Malaysia bagi mendapatkan lesen selam skuba air terbuka atau ‘open water’ melalui program selam Universiti Nasional Singapura (NUS) bersama Blue Reef Scuba dan menginap di Resort Island Reef.
Meskipun perjalanan itu hanya berlangsung sepanjang hujung minggu, jadual kami padat dengan latihan, perjalanan darat dan laut serta empat sesi selaman yang perlu diselesaikan sebelum memperoleh sijil tersebut.
Sebelum menjejakkan kaki ke Pulau Tioman, kami melalui sesi latihan intensif di kolam renang – medan ujian untuk menguasai peralatan selam dan kemahiran asas sebelum menempuh laut terbuka.
Antara kemahiran kritikal yang dipelajari ialah mask clearing, iaitu teknik mengosongkan air dari topeng selam.
Kami diajar untuk membiarkan air masuk, kemudian mengeluarkannya dengan hembusan nafas yang terkawal melalui hidung.
Teorinya mudah, namun realitinya di dalam air jauh lebih mencabar.
Apabila topeng dipenuhi air dan pandangan menjadi kabur, naluri semula jadi saya mendesak untuk segera timbul ke permukaan.
Namun, saya belajar menguasai diri, bernafas dengan tenang melalui pengawal atur atau regulator dan meletakkan kepercayaan penuh pada setiap tunjuk ajar jurulatih.
Selain itu, kami juga dilatih untuk mendapatkan semula dan membersihkan regulator sekiranya ia terlepas daripada mulut, sebuah kemahiran penting demi keselamatan di bawah permukaan.
Kami juga diajar cara mengawal apungan menggunakan alat kawalan apungan atau buoyancy control device (BCD).
Dengan imbangan udara yang teliti, tubuh seakan melayang tenang di keheningan air, menjauhi henjutan ke dasar mahupun sentuhan pada nisan karang yang rapuh.
Saat menyelam, ritma equalising menjadi peneman wajib bagi meredakan tekanan di telinga, seiring kedalaman yang kian mencengkam.
Di sini, setiap ayunan kaki adalah sebuah tarian baru; satu kembara untuk mempelajari semula makna pergerakan di dunia yang serba asing ini.
Kami berlatih menggunakan sirip kaki dan menyesuaikan kedudukan tubuh agar dapat bergerak dengan lebih cekap tanpa mengganggu pasir di dasar laut atau menggunakan terlalu banyak tenaga.
Selain itu, kami turut mempelajari langkah kecemasan, termasuk cara berkongsi sumber udara dengan rakan sekiranya bekalan udara kehabisan atau berlaku kerosakan pada peralatan.
Kami juga diajar cara naik ke permukaan dengan selamat dan terkawal jika berlaku keadaan yang tidak dijangka.
Setiap kemahiran yang dipelajari di kolam bukan sekadar latihan.
Teknik tersebut perlu dipraktikkan semula semasa sesi selam di laut terbuka di Pulau Tioman.
Ramai mungkin tertanya-tanya: adakah seseorang perlu menjadi perenang yang handal sebelum boleh belajar menyelam?
Jawapannya, tidak semestinya.
Saya sendiri bukanlah seorang perenang yang begitu cekap.
Namun, seseorang masih perlu mempunyai keyakinan asas ketika berada di dalam air demi keselamatan.
Semasa sesi kolam, kami perlu menjalani ujian keyakinan dalam air dengan berenang sejauh 200 meter tanpa berhenti serta bertahan selama 10 minit di dalam air tanpa berpaut pada tepi kolam.
Ujian tersebut membuatkan saya sedar kursus menyelam bukan sekadar pengalaman santai untuk bergambar bersama hidupan laut.
Ia memerlukan daya tahan, disiplin dan kesediaan untuk kekal tenang apabila berhadapan dengan keadaan yang tidak dijangka.
Selepas menyelesaikan latihan asas tersebut, perjalanan kami ke Pulau Tioman bermula pada petang Jumaat.
Kami berkumpul di kampus Kent Ridge NUS sebelum bertolak ke Terminal Feri Mersing di Johor.
Selepas perjalanan darat selama lima jam, kami menaiki feri menuju ke Pulau Tioman pada lewat malam.
Setibanya di tempat penginapan kira-kira 1 pagi, kami hanya mempunyai beberapa jam untuk berehat sebelum memulakan hari yang panjang.
Pada pagi Sabtu, selepas bersarapan dan menghadiri taklimat bersama jurulatih, kami bersiap sedia untuk turun ke laut.
Bagi memastikan setiap peserta dapat dipantau dengan teliti, kami dibahagikan kepada kumpulan kecil dengan nisbah seorang jurulatih bagi empat peserta.
Nisbah itu memberi ruang kepada jurulatih untuk memeriksa keadaan setiap penyelam, memastikan teknik dilakukan dengan betul dan memberi bantuan segera sekiranya ada peserta yang berasa kurang selesa di dalam air.
Bagi penyelam kali pertama seperti saya, kehadiran jurulatih yang sentiasa berada berdekatan turut memberi keyakinan tambahan.
Memakai set lengkap peralatan menyelam buat kali pertama bukanlah sesuatu yang mudah.
Tangki udara di belakang badan terasa berat ketika berada di atas bot.
Pergerakan juga menjadi lebih perlahan dan kekok apabila perlu berjalan sambil membawa pelbagai peralatan.
Namun, sebaik sahaja masuk ke dalam air, berat tersebut terasa jauh lebih ringan.
Cabaran sebenar bermula apabila saya perlu membiasakan diri bernafas menggunakan regulator.
Bernafas di bawah air terasa asing pada mulanya – bunyi setiap tarikan dan hembusan nafas kedengaran lebih jelas daripada biasa.
Saya juga perlu mengingatkan diri supaya tidak menahan nafas dan terus bernafas dengan perlahan meskipun berasa gementar.
Ketika berada di permukaan, saya masih dapat melihat bot dan langit di atas kepala.
Namun, apabila kami mula turun sedikit demi sedikit, dunia di sekeliling berubah.
Bunyi dari luar semakin tenggelam dan digantikan dengan bunyi gelembung udara.
Cahaya matahari menembusi permukaan laut, sementara ikan-ikan kecil berenang di sekitar kawasan terumbu karang.
Pada ketika itu, saya berasa kagum tetapi pada masa yang sama masih berhati-hati.
Saya perlu memberi perhatian kepada kedudukan badan, cara menggunakan sirip kaki dan isyarat tangan daripada jurulatih.
Di bawah air, kami tidak boleh berbual seperti biasa – segala komunikasi dilakukan melalui isyarat tangan.
Isyarat ‘okey’ menjadi antara yang paling penting kerana ia digunakan untuk memastikan setiap penyelam berada dalam keadaan baik sepanjang sesi.
Sepanjang hujung minggu itu, kami perlu melengkapkan empat sesi selam di laut terbuka.
Setiap selam memberi peluang untuk menguji semula kemahiran yang dipelajari di kolam dan membina keyakinan secara berperingkat.
Ada kalanya, saya terlalu sibuk memikirkan teknik pernafasan sehingga terlupa untuk menikmati pemandangan di sekeliling.
Namun, apabila semakin selesa, saya mula berani mendongak, melihat kawasan terumbu karang dan menghargai ketenangan yang sukar ditemukan di darat.
Berada di bawah air membuatkan saya sedar banyak perkara yang biasanya dilakukan ‘secara automatik’ perlu dipelajari semula.
Saya perlu mengawal pernafasan, menyesuaikan apungan dan bergerak dengan lebih perlahan.
Sedikit perubahan pada cara saya bernafas juga boleh mempengaruhi kedudukan tubuh di dalam air.
Dalam kehidupan harian, kita sering terbiasa bergerak pantas – mengejar tugasan, membalas mesej dan memikirkan perkara seterusnya yang perlu dilakukan.
Namun, semasa menyelam, saya terpaksa memperlahankan langkah.
Saya hanya perlu memberi perhatian kepada satu perkara pada satu-satu masa: menarik nafas, menghembus nafas dan memastikan diri kekal tenang.
Kehadiran seorang teman turut menjadikan pengalaman itu lebih bermakna.
Dalam selam skuba, ‘buddy system’ atau sistem kawan merupakan bahagian penting dalam memastikan keselamatan penyelam.
Kami perlu saling memeriksa peralatan, kekal berdekatan dan memastikan keadaan satu sama lain baik-baik sahaja sepanjang berada dalam lautan.
Pengalaman tersebut mengajar saya keberanian tidak semestinya perlu dibina sendirian.
Ada kalanya, kita menjadi lebih berani mencuba sesuatu yang baru kerana tahu ada seseorang yang turut melalui pengalaman itu bersama kita.
Selepas menyelesaikan sesi selam terakhir pada pagi Ahad, kami membersihkan peralatan dan mengemas barang sebelum meninggalkan Pulau Tioman.
Perjalanan singkat itu ternyata jauh berbeza daripada hujung minggu biasa.
Saya masih jauh daripada menjadi seorang penyelam berpengalaman.
Masih banyak kemahiran yang boleh diperbaiki, khususnya dalam mengawal apungan dan bergerak dengan lebih yakin di bawah air.
Namun, sijil air terbuka itu menjadi peringatan bahawa saya pernah mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang pada awalnya terasa asing dan sedikit menakutkan.
Pengembaraan juga tidak semestinya memerlukan cuti panjang atau jadual perjalanan yang rumit.
Kadangkala, satu hujung minggu sudah memadai untuk mencipta pengalaman yang akan dikenang lama.
Bagi mereka yang sedang mencari ‘side quest’ seterusnya, mungkin sudah tiba masanya untuk memilih sesuatu yang sedikit mencabar, sesuatu yang memaksa kita melangkah keluar daripada zon selesa, mempercayai diri sendiri dan melihat dunia dari sudut pandang yang berbeza.
Bagi saya, sudut pandang itu kebetulan berada beberapa meter di bawah permukaan laut.
Cara dapatkan sijil selam skuba
Padi ialah singkatan bagi Professional Association of Diving Instructors, sebuah pertubuhan latihan selam skuba yang diiktiraf secara meluas di peringkat antarabangsa.
Menurut laman rasminya, Padi telah beroperasi selama 60 tahun dan mempunyai rangkaian sekitar 6,600 pusat selam serta resort di seluruh dunia.
Lebih 30 juta penyelam telah menerima pensijilan Padi.
Bagi penyelam baru, sijil Padi Open Water Diver merupakan antara laluan asas untuk mempelajari teori menyelam, menjalani latihan di kawasan air terkawal seperti kolam renang dan melengkapkan sesi selaman di laut terbuka.
Antara syarat asasnya adalah berenang sejauh 200 meter tanpa henti serta terapung atau bertahan di dalam air selama 10 minit tanpa bantuan.
Pusat selam, penyedia kursus di S’pura
Jika anda merancang untuk mengambil lesen menyelam atau menyertai ekspedisi selam skuba, berikut adalah beberapa pusat selam bertauliah di Singapura yang boleh anda tinjau:
1. Blue Reef Scuba
Tawar kursus air terbuka lengkap serta pakej perjalanan menyelam, termasuk ke Pulau Tioman.
Alamat: 12 Bussorah Street, Singapura 199433
Telefon: 6635-8422
2. Simply Scuba
Pusat latihan Padi yang menyediakan kursus air terbuka dengan pilihan latihan/selaman sama ada di perairan tempatan atau Pulau Tioman.
Alamat: 32 Netheravon Road, Singapura 508508
Telefon: 9387-6383
3. The Dive Company
Sedia kursus air terbuka dengan fleksibiliti untuk menghabiskan latihan di Singapura atau melalui perjalanan hujung minggu ke Pulau Tioman.
Alamat: 213A Lavender Street, Aras 2, Singapura 338770
Telefon: 6396-0946
4. GS-Diving
Beri tumpuan kepada kursus air terbuka Padi dengan sesi latihan dalam kumpulan lebih kecil untuk perhatian yang lebih peribadi.
Alamat: 178 Paya Lebar Road, #03-03, Singapura 409030
Telefon: 9800-0539
5. Singapore Oceanarium (S.E.A. Aquarium)
Tawar pengalaman unik bagi kursus Padi Open Water Diver yang merangkumi e-pembelajaran, latihan amali dalam air terkawal dan selaman terbuka di dalam Open Ocean mereka.
Alamat: Resorts World Sentosa, 24 Sentosa Gateway, Sentosa Island, Singapura 098137
Pembaca disarankan menyemak terus dengan setiap penyedia mengenai jadual, yuran, kelengkapan yang disertakan dan lokasi selaman kerana butirannya boleh berubah.
