Pengalaman percutian di Kashmir, India, yang seharusnya berakhir dengan perasaan gembira dan senang bertukar menjadi panik dan bimbang tatkala sekumpulan 15 pelancong rakyat Singapura dimaklumkan lapangan terbang di Srinagar ditutup secara tiba-tiba pada hari mereka patut berangkat pulang.
Ini lebih-lebih lagi sedang kawasan itu berada di tengah-tengah ketegangan tentera yang sedang meningkat antara India dengan Pakistan.
Bagaimanapun, nasib sekumpulan rakyat Singapura itu bertukar cerah hasil bantuan dan usaha gigih individu yang bertanggungjawab bagi percutian mereka, Cik Rafeeda Mohammad Hussein, yang bertekad memastikan mereka dapat pulang ke pangkuan keluarga di Singapura dengan selamat.
Cik Rafeeda, 44 tahun, seorang rakyat Singapura yang tinggal bersama suaminya, Encik Manzoor Ahmad Wangnoo – seorang rakyat India – dan tiga anak mereka di Kashmir sejak 2022. Beliau dan suami merupakan pengasas bersama agensi pelancongan Global Travel Connect di sana.
Cik Rafeeda dengan segera berusaha mendapatkan tiket penerbangan baru ke Singapura untuk kumpulan itu, di samping memastikan kesejahteraan mereka terjaga.
Bahkan, beliau mengikuti mereka dalam perjalanan ke New Delhi selama 24 jam melalui darat untuk memastikan kumpulan itu tiba di destinasi dan dapat berlepas ke Singapura dengan selamat.
Kumpulan itu selamat sampai di Singapura pada 9 Mei.
“Bagi saya, yang penting, mereka semua dapat pulang dengan selamat kepada keluarga mereka,” kata Cik Rafeeda, ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 11 Mei.
Walau bagaimanapun, Cik Rafeeda sendiri kemudian menghadapi pelbagai cabaran dalam melakukan perjalanan pulang ke rumah di Srinagar.
Namun, beliau menempuh cabaran tersebut dan dengan bantuan rakan-rakan suaminya, akhirnya sampai ke pangkuan suami dan tiga anaknya dengan selamat di Srinagar.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 7 Mei telah menasihatkan rakyat Singapura agar menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke wilayah Jammu dan Kashmir di India, dan juga Pakistan, dek “situasi keselamatan tidak menentu antara kedua-dua negara” itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg