Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita pastikan 15 warga S’pura selamat pulang ke tanah air dari Kashmir

Sekitar $5,000 dibelanjakan bagi kos pengangkutan, tiket penerbangan baru, makanan dan penginapan
May 11, 2025 | 4:49 PM
Warga Singapura, Cik Rafeeda merupakan pengasas bersama agensi pelancongan Global Travel Connect di India.
Warga Singapura, Cik Rafeeda merupakan pengasas bersama agensi pelancongan Global Travel Connect di India. - Foto ihsan RAFEEDA MOHAMMAD HUSSEIN

Mereka semua sudah bersedia pulang ke tanah air Singapura pada 7 Mei selepas sekitar seminggu bercuti di Kashmir, India.

Namun, berita buruk menimpa bagi sekumpulan 15 pelancong rakyat Singapura itu tatkala mereka hendak berangkat – lapangan terbang di Srinagar diumumkan tutup bagi satu latihan keselamatan, di tengah-tengah ketegangan tentera yang meningkat antara India dengan Pakistan.

Kumpulan itu sepatutnya berangkat ke New Delhi sebelum menaiki satu lagi pesawat dari New Delhi ke Singapura.

Keadaan menjadi panik dengan serta-merta, namun individu yang bertanggungjawab bagi percutian mereka, Cik Rafeeda Mohammad Hussein, dengan segera mengambil tindakan dan merancang perjalanan alternatif supaya mereka dapat pulang ke pangkuan keluarga di Singapura dengan selamat.

Ini walaupun terdapat klausa dalam pakej pelancongan yang ditandatangani kumpulan pelancong itu yang menyatakan Cik Rafeeda tidak perlu bertanggungjawab sekiranya keadaan luar dugaan, seperti penutupan lapangan terbang, berlaku.

“Saya lihat mereka seperti keluarga saya sendiri, dan saya dapat rasakan kebimbangan keluarga mereka di Singapura.

“Saya beritahu diri saya bahawa ini satu situasi di mana saya perlu bantu mereka,” kata Cik Rafeeda ketika dihubungi Berita Harian (BH) pada 11 Mei.

Cik Rafeeda, 44 tahun, seorang rakyat Singapura yang tinggal bersama suaminya, Encik Manzoor Ahmad Wangnoo – seorang rakyat India – dan tiga anak mereka di Kashmir sejak 2022.

Beliau dan suami merupakan pengasas bersama agensi pelancongan Global Travel Connect di sana.

Perkara pertama yang dilakukan Cik Rafeeda menyusuli penutupan lapangan terbang di Srinagar itu adalah untuk mendapatkan penerbangan baru dari New Delhi ke Singapura.

Mujur, beliau mendapat tiket bagi penerbangan Air India meskipun harganya lebih mahal berbanding apa yang sudah pun dibayar kumpulan pelancong itu dalam pakej sebelum itu.

Bagaimanapun, disebabkan penutupan lapangan terbang, kumpulan tersebut perlu membuat perjalanan antara 15 hingga 22 jam atau lebih ke New Delhi melalui darat – sesuatu yang membimbangkan memandangkan kumpulan pelancong tersebut termasuk golongan warga senja.

“Saya berterus-terang dengan mereka bahawa perjalanannya tidak mudah kerana kami akan perlu melalui kawasan gunung curam dan mungkin tujuh hingga lapan negeri sebelum tiba di New Delhi.

“Keadaan trafik juga mungkin teruk kerana jalannya kurang baik dan banyak penutupan jalan raya sana sini,” kata beliau, sambil menambah suaminya kemudian menempah van bagi perjalanan tersebut.

Beliau dan suami juga memastikan kumpulan tersebut mengisi perut dahulu di sebuah restoran milik mereka sebelum memulakan perjalanan.

Cik Rafeeda turut bungkuskan makanan dan buah-buahan bagi perjalanan ke New Delhi itu.

Setelah persiapan dilakukan, Cik Rafeeda mengambil keputusan mengikuti kumpulan pelancong itu dalam perjalanan ke New Delhi, walaupun perlu meninggalkan suami dan tiga anak kecilnya berusia satu hingga sembilan tahun di Srinagar.

Akhirnya, kumpulan itu tiba di New Delhi pada pagi 8 Mei. Namun, oleh sebab penerbangan mereka pada sebelah malam, Cik Rafeeda menempah bilik di sebuah hotel empat bintang supaya mereka dapat berehat sebelum berangkat ke Singapura.

Secara keseluruhannya, Cik Rafeeda berkata beliau membelanjakan tambahan sekitar $5,000 daripada koceknya sendiri bagi kos pengangkutan, tiket penerbangan baru, makanan dan penginapan, untuk kumpulan tersebut.

“Ia memang satu cabaran bagi saya, tetapi bukan satu kerugian. Bagi saya, ia satu pencapaian kerana saya dapat memenuhi tanggungjawab untuk memastikan mereka dapat pulang dengan selamat,” katanya.

“Saya rasa puas hati mereka semua sudah sampai ke pangkuan keluarga dengan selamat. Bahkan, ada antara mereka yang menghubungi saya setelah itu untuk memastikan saya juga selamat di sini,” tambah beliau.

Meskipun sudah selesai tugasnya, Cik Rafeeda kini berdepan dengan cabaran baru pula untuk pulang kepada keluarganya di Srinagar.

Suaminya memberitahu bahawa terdapat kejadian tanah runtuh dan jalan raya ditutup, dan beliau tidak akan dapat khidmat bas yang membawanya sehingga ke Srinagar.

Sebaliknya, Cik Rafeeda perlu menaiki bas dan berhenti setengah jalan di Jammu, lokasi di tengah-tengah ketegangan tentera yang sedang berlaku dan terletak sekitar lima jam dari Srinagar.

Pada mulanya, Cik Rafeeda berkata beliau berasa “agak takut” – beliau satu-satunya wanita yang memakai tudung di dalam bas, dan apabila tiba di Jammu, beliau tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk pulang ke Srinagar.

Cik Rafeeda cuba mencari pengangkutan yang dapat membawanya pulang ke Srinagar tetapi tidak berjaya.

Mujur, hasil bantuan rakan-rakan tempatan suaminya, sebuah kenderaan diaturkan buat beliau.

“Rakan-rakan suami saya yang beragama Hindu di Jammu banyak membantu saya, mereka memberi saya makan, dan mereka juga mendapatkan seorang pemandu Muslim dari Kashmir untuk membawa saya pulang ke Srinagar.

“Saya rasa bersyukur sangat kerana Allah swt mengaturkan semuanya untuk saya. Pada akhirnya, apa jua konflik yang sedang berlaku, kita semua manusia dan ia semuanya tentang perikemanusiaan,” kata beliau.

Cik Rafeeda akhirnya sampai di Srinagar pada malam 10 Mei, tetapi kali ini dikejutkan dengan perkembangan baru.

Bunyi letupan di angkasa yang disangka bunga api bagi meraikan gencatan senjata yang baru diumumkan sebenarnya peluru berpandu. Dalam beberapa minit, pasukan tentera tiba, dan keadaan menjadi kelam-kabut dan gelap-gelita dek bekalan elektrik terputus.

“Saya pernah lalui fasa keselamatan dipertingkat disebabkan ancaman pengganasan, perintah berkurung dan sebagainya. Tetapi, ini kali pertama saya lihat peluru berpandu di angkasa,” kata beliau.

Cik Rafeeda menceritakan beliau jalan kaki pulang ke rumah keseorangan diri dalam keadaan gelap itu, namun mujur beliau dibantu seorang lelaki yang menghantarnya pulang ke rumah di mana suami dan anak-anaknya sedang menanti.

Kehidupan beliau kini kembali normal di Srinagar, kata beliau, dan Cik Rafeeda bahkan masih menjalankan perniagaan agensi pelancongannya seperti biasa.

“Rezeki bagi saya ada di mana-mana, dan saya berharap ketegangan yang sedang berlaku ini akan berakhir tidak lama lagi. Harapan saya adalah agar orang tidak akan berhenti datang ke Kashmir,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg