Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terkandas di Kashmir: Pelancong S’pura tempuh perjalanan darat 24 jam ke New Delhi

May 10, 2025 | 8:48 PM
Cik Maimunah (enam dari kanan, bertudung hitam) bersama rakan-rakannya tiba di Singapura pada 9 Mei setelah menempuh perjalanan darat 24 jam dari Srinagar, Kashmir, ke New Delhi, semata-mata untuk menaiki pesawat dan pulang ke Singapura
Cik Maimunah (enam dari kanan, bertudung hitam) bersama rakan-rakannya tiba di Singapura pada 9 Mei setelah menempuh perjalanan darat 24 jam dari Srinagar, Kashmir, ke New Delhi, semata-mata untuk menaiki pesawat dan pulang ke Singapura - Foto MAIMUNAH ALI/FACEBOOK

Penghujung percutian yang sepatutnya santai di Kashmir, India, bertukar menjadi ujian ketahanan mental dan fizikal buat Cik Maimunah Ali, 67 tahun, selepas terpaksa menempuh perjalanan darat selama 24 jam untuk ke New Delhi, menyusuli penutupan Lapangan Terbang Srinagar pada 7 Mei.

Cik Maimunah, pemilik kedai busana Mona J, merupakan antara 15 rakyat Singapura yang terkandas di Srinagar, Kashmir, selepas penerbangan dihentikan serta-merta susulan konflik ketenteraan yang meningkat antara India dengan Pakistan.

Kumpulan pelancong itu baru sahaja menamatkan lawatan selama seminggu di Kashmir, apabila dimaklumkan bahawa Lapangan Terbang Srinagar akan ditutup sehingga 15 Mei. Ketika itu mereka sedang menunggu untuk menaiki pesawat.

“Kami sudah pun berada di lapangan terbang dan bersedia untuk pulang tetapi kami dapat tahu daripada ejen pelancongan bahawa lapangan terbang itu ditutup.

“Tiada siapa menjangkakan ini akan berlaku kerana kami semua sudah menerima pas menaiki pesawat,” kata Cik Maimunah yang melancong bersama rakan-rakan yang juga berusia 60an tahun.

Ketika dihubungi Berita Harian, ibu tiga anak itu menjelaskan bahawa meskipun sedar tentang konflik ketenteraan antara India dengan Pakistan, beliau tidak terfikir bahawa ia akan menjejas perjalanannya sehingga tahap ini.

“Kita sudah merancang melancong bersama sejak tujuh bulan yang lalu dan kami semua sangat menantikan percutian ini,” tambahnya.

Dengan tiada penerbangan tersedia sementara penerbangan sambungan mereka dari New Delhi pula sudah pun berlepas, Cik Maimunah, dan baki 14 ahli kumpulan bersama di bawah ejen syarikat pelancongan Global Travel Connect yang berpangkalan di India, mengambil keputusan melakukan perjalanan darat menaiki bas.

Perjalanan dari Srinagar ke New Delhi yang lazimnya mengambil masa 14 jam berlarutan hingga hampir 24 jam akibat permukaan jalan raya yang teruk dan mereka membuat beberapa perhentian untuk berehat.

“Saya tidak pernah melakukan perjalanan seperti ini dan memang tidak mudah bagi saya serta rakan-rakan yang sudah lanjut usia.

“Walaupun keadaan bukan mudah, saya dan rakan-rakan tetap bersikap positif dan hanya berdoa kami semua sampai New Delhi dengan selamat,” katanya.

Setiba di New Delhi selepas hampir 24 jam dalam perjalanan, kumpulan beliau berehat di sebuah hotel sebelum membuat keputusan selanjutnya.

Beliau sebenarnya dijadualkan menaiki pesawat Singapore Airlines (SIA) pada 10 Mei, kumpulannya membuat keputusan sebulat suara menempah semula penerbangan pulang yang lain supaya mereka dapat tiba di Singapura pada hari yang lebih awal.

Cik Maimunah dan rakan-rakannya menaiki pesawat Air India. Menurut Cik Maimunah, beliau selamat sampai ke tanah air pada pagi 9 Mei.

Meskipun diuji, Cik Maimunah tetap melihat pengalaman itu sebagai satu kenangan manis.

“Kashmir sangat cantik dan saya akan menggalakkan orang ramai untuk kunjungi tempat itu

“Kami betul-betul menikmati percutian ini sehinggalah hari terakhir dan saya mungkin akan datang lagi ke Kashmir,” katanya.

“Tapi jika anda suruh saya melalui perjalanan 24 jam sekali lagi, saya akan menolak permintaan itu,” selorohnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg