Topik diikuti
Pergi ke BHkuSelami keajaiban hidupan laut di pameran imersif Pusat Sains S’pura
Selami keajaiban hidupan laut di pameran imersif Pusat Sains S’pura
Pengalaman VR, rakaman ekspedisi belum pernah ditayang antara tarikan ‘ONE Ocean: Every Action Ripples’
Selami keajaiban hidupan laut di pameran imersif Pusat Sains S’pura
Seekor memerang animasi berenang lincah melalui hutan kelpa maya, sedang sebuah kapal selam kuning terang membimbing pengunjung dengan ceria agar merentasi padang rumput laut, kumpulan plankton mikroskopik dan sekitaran lautan lain.
Pengalaman realiti maya (VR) ini merupakan sebahagian pameran imersif baharu oleh Pusat Sains Singapura, yang diberi nama ‘ONE Ocean: Every Action Ripples’ (Selautan: Setiap Tindakan Beri Kesan).
Dianjurkan dengan kerjasama yayasan tidak mengaut untung bagi penyelidikan dan pemuliharaan marin Perancis, Yayasan Tara Ocean, pameran tersebut membuat kemunculan sulung sejagatnya di Singapura pada 30 Mei.
Ia memberi pengunjung peluang meneroka lautan dalam melalui rakaman ekspedisi yang belum pernah ditayangkan sebelum ini, serta menampilkan imbasan interaktif yang menonjolkan penemuan penyelidikan lautan sepanjang lebih dua dekad.
Apabila pengunjung melangkah masuk ke dalam replika Stesen Tara Polar – sebuah balai cerap dan makmal yang mengkaji kawasan semula jadi Artik – mereka dapat menyelami cara pengkaji menjalankan kajian di salah satu lokasi paling terpencil di dunia melalui pelbagai jenis media dan papan maklumat.
Diterbitkan syarikat media digital Perancis, Ride FX, pameran itu menampilkan sembilan zon lain, dengan setiap satu memberi tumpuan kepada aspek ekosistem marin berbeza.
Dalam satu bahagian khas pameran mengenai sekitaran marin Singapura, pengunjung boleh melihat dari dekat spesimen hidupan yang ditemui di pesisiran tempatan, seperti ubur-ubur reben dan udang karang.
Bahagian tersebut juga mengetengahkan isu ancaman terhadap hidupan laut, di samping usaha pemuliharaan yang sedang dijalankan pertubuhan penyelidikan, sekolah dan sukarelawan.
Sebuah bilik imersif pula akan membawa pengunjung menerokai tujuh keajaiban lautan menerusi tayangan 360 darjah, yang membolehkan mereka melihat hidupan laut seperti lintah laut berwarna-warni dan meneroka tempat menarik seperti Terumbu Sawar Besar (Great Barrier Reef).
Dalam zon Symphonies of the Ocean, para pengunjung boleh menjadi ‘deejay lautan’ dengan mengadun bunyi yang dirakam semasa ekspedisi lautan, seperti panggilan dolfin dan pergerakan aisberg.
Sementara itu, menerusi zon Legends of the Ocean, para tetamu boleh mempelajari mengenai pelbagai legenda laut terkenal termasuk kisah raksasa laut Kraken dan Pulau Kusu.
Para pengunjung juga boleh mempelajari tentang ‘kuasa luar biasa’ mikroorganisma marin – daripada keupayaannya menyerap karbon dioksida sehingga menghasilkan oksigen – dalam bahagian khas mengenai hidupan mikroskopik.
Di stesen mewarna pula, para pengunjung boleh menukarkan lakaran mereka menjadi lukisan animasi hidupan laut, manakala reruai foto berkuasa kecerdasan buatan (AI) sedia mengubah suai wajah pengunjung menjadi penjelajah laut atau makhluk mitos.
Penerbit Eksekutif Ride FX, Encik Elia Vermander, berkata beliau memanfaatkan teknik penceritaan bagi menterjemahkan hasil penyelidikan marin kepada sebuah pameran yang mampu menyuntik rasa teruja dan kagum dalam kalangan pengunjung.
“Pameran hari ini sebahagian besarnya bertujuan memberi inspirasi dan membangkitkan rasa ingin tahu orang ramai, yang kemudian diharap dapat mendorong mereka untuk membuat kajian sendiri mengenai topik seperti karbon biru dan terumbu karang,” katanya.
Ketua Eksekutif Lembaga Pusat Sains, Cik Tham Mun See, berkata:
“Lautan mengawal iklim kita, memperkukuh sistem makanan kita, dan menjadi tempat tinggal kepada kepelbagaian biologi yang memastikan kelangsungan kehidupan di planet ini.
“Namun, bagi kebanyakan kita, lautan dilihat seakan sesuatu yang jauh atau sesuatu yang diambil mudah.
“Kami mahu setiap pengunjung, tidak kira usia atau latar belakang, pulang dengan rasa keterikatan terhadap lautan, dan keyakinan bahawa tindakan mereka, sekecil mana sekalipun, mampu memberi kesan meluas melangkaui apa yang dapat dilihat oleh mereka,” tambahnya.
Cik Tham berharap pengunjung akan terdorong untuk memainkan peranan mereka dalam pemuliharaan lautan, lebih-lebih lagi kerana isu perubahan iklim menjadi semakin mendesak untuk ditangani.
Setiausaha Agung Yayasan Tara Ocean, Encik Sebastien Ruiz, menambah:
“Mustahil untuk kita lakukan sesuatu bersendirian, (justeru itu) ia amat penting untuk kita bertindak secara bersama.
“Pameran ini merupakan langkah pertama untuk melibatkan golongan muda dan orang lain, kerana jika kita menyayangi sesuatu, kita akan mahu melindunginya.”
Pameran tersebut akan berlangsung sehingga 3 Januari 2027.
Tiket boleh dibeli di laman web https://www.science.edu.sg/whats-on/one-ocean, yang turut menawarkan kemasukan percuma ke Pusat Sains Singapura.
