Topik diikuti
Pergi ke BHkuSelepas 28 tahun, pemilik Hanis Montessori akur semakin mencabar urus prasekolah
Selepas 28 tahun mengendalikan prasekolah, pengasas Hanis Montessori, Cik Jamelah Sulaiman, telah menyaksikan landskap pendidikan awal kanak-kanak berubah dengan ketara.
Daripada peningkatan standard dan keperluan kawal selia kepada persaingan mendapatkan tenaga pendidik berpengalaman.
Kini, Hanis Montessori mengendalikan lima pusat – dua daripadanya menawarkan pendidikan tadika, manakala tiga lagi turut menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak.
Berkongsi dengan Berita Minggu (BM) Cik Jamelah berkata:
“Landskap hari ini jauh lebih berbeza daripada ketika kami mula beroperasi. Walaupun banyak perubahan telah membantu meningkatkan mutu dan profesionalisme pendidikan prasekolah, ia juga meningkatkan kos dan kerumitan untuk mengendalikan sebuah pusat.
“Permintaan terhadap pendidikan prasekolah berkualiti kekal kukuh, tetapi pengendali berdepan kos sewa dan tenaga kerja yang meningkat, perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, keperluan kawal selia serta keperluan mengekalkan yuran yang mampu dibayar keluarga.”
Bagi pengendali prasekolah Islam, cabaran itu turut melibatkan usaha menyediakan pendidikan berkualiti sambil menerapkan nilai rohani, membina akhlak dan jati diri dalam persekitaran pembelajaran.
“Persekitaran operasi kini sangat mencabar dan semakin kompleks.
“Walaupun permintaan terhadap pendidikan prasekolah berkualiti kekal kukuh, pengendali berdepan kos sewa dan tenaga kerja yang meningkat, perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, keperluan kawal selia serta keperluan mengekalkan yuran yang mampu dibayar keluarga,” kata Cik Jamelah kepada BM.
Menurut beliau, banyak prasekolah Islam beroperasi sebagai entiti swasta dengan subsidi terhad atau tanpa geran pemerintah, menjadikan usaha menyerap kenaikan kos sambil mengekalkan mutu program semakin sukar.
Antara tekanan terbesar, kata Cik Jamelah, adalah mendapatkan dan mengekalkan tenaga pengajar berpengalaman.
Beliau berkata pengendali prasekolah Islam swasta kini perlu bersaing dengan pengendali pemerintah yang mampu menawarkan pakej gaji, faedah dan insentif lebih menarik.
Keadaan itu menyukarkan mereka mengekalkan guru yang telah dilatih dan dibangunkan selama bertahun-tahun.
“Apabila tenaga pendidik berpengalaman meninggalkan kami, kami kehilangan bukan sahaja tenaga kerja tetapi juga pengalaman berharga, kesinambungan serta hubungan dengan kanak-kanak dan keluarga mereka.
“Pada masa yang sama, kami perlu terus melabur dalam latihan dan pembangunan guru untuk memastikan mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan sektor yang semakin berkembang,” ujar beliau.
Kos sewa turut menjadi satu lagi tekanan besar kerana ia adalah perbelanjaan tetap yang terus meningkat, di samping bahan pembelajaran latihan, penyelenggaraan dan pematuhan peraturan.
Cik Jamelah berkata, sebagai pengendali swasta, pihaknya mempunyai ruang terhad untuk memindahkan keseluruhan kenaikan kos kepada ibu bapa kerana keluarga juga berdepan peningkatan kos sara hidup.
Keadaan itu menjadikan kelangsungan pengendali kecil dan berasaskan agama semakin mencabar, terutama apabila mereka mempunyai akses terhad kepada subsidi atau geran pemerintah.
“Bagi pengendali yang lebih kecil dan berasaskan agama, dengan ruang kewangan dan sokongan pembiayaan yang terhad, cabaran ini boleh menjadi sangat sukar untuk ditanggung.
“Oleh itu, kami merasakan perkembangan yang berlaku baru-baru ini perlu dilihat sebagai sebahagian daripada perbincangan yang lebih luas mengenai kelangsungan jangka panjang pengendali prasekolah Muslim,” katanya.
Bagi membantu memastikan sektor itu terus bertahan, Cik Jamelah berharap sokongan dapat diberikan dalam bidang tenaga kerja, kos sewa dan pembiayaan, selain kerjasama lebih erat antara agensi pemerintah, organisasi masyarakat dengan pengendali prasekolah.
Selepas hampir tiga dekad berkhidmat kepada masyarakat, beliau berkata Hanis Montessori kekal komited menyediakan pendidikan awal kanak-kanak dalam persekitaran yang memupuk nilai Islam.
“Kelangsungan prasekolah Muslim bukan hanya isu perniagaan.
“Ia juga merupakan isu masyarakat, kerana pusat-pusat ini menyediakan keluarga satu pilihan penting untuk mendapatkan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dalam persekitaran Islam,” katanya lagi.
PERBEZAAN AOP, POP DAN PENGENDALI SWASTA
Terdapat dua skim pemerintah – Skim Pengendali Utama (AOP) dan Skim Pengendali Rakan Kongsi (POP) – yang menyokong prasekolah yang menawarkan pendidikan awal serta khidmat penjagaan kanak-kanak dan bayi. Prasekolah ini perlu mengehadkan yuran mereka.
AOP
Pengendali prasekolah di bawah skim ini mendapat tahap sokongan paling tinggi daripada pemerintah untuk menyediakan pendidikan berkualiti pada yuran yang berpatutan. Biasanya pengendali lebih besar.
POP
Pengendali menerima sokongan pemerintah, pada tahap lebih rendah berbanding AOP. Biasanya pengendali lebih kecil dan sederhana. Had yurannya lebih tinggi berbanding AOP.
Pengendali swasta
Pengendali yang tidak berada di bawah skim AOP atau POP dan lazimnya menanggung kos operasi sendiri, termasuk sewa dan tenaga kerja.
Namun, mereka boleh memanfaatkan inisiatif lain seperti program dan geran untuk meningkatkan kemahiran pendidik serta meningkatkan produktiviti menerusi huraian teknologi.
