Topik diikuti
Pergi ke BHkuSelepas 30 tahun ‘menghilang’, bekas atlet istimewa ski air S’pura kini pelukis jalanan di KL
Selepas 30 tahun ‘menghilang’, bekas atlet istimewa ski air S’pura kini pelukis jalanan di KL
Penyesalan hanyut dalam glamor dikenali hingga terputus hubungan dengan arwah ibu disingkap di samping jerih payah jual lukisan RM20 demi kelangsungan hidup
Selepas 30 tahun ‘menghilang’, bekas atlet istimewa ski air S’pura kini pelukis jalanan di KL
Hampir 30 tahun selepas dilaporkan hilang oleh Berita Harian (BH) di Singapura, mantan atlet ski air Singapura, Encik Dasuki Johari, kini ditemui menjual karya lukisan potretnya di jalanan kota Kuala Lumpur yang sibuk.
Selain penglibatannya dalam sukan ski air, beliau pernah dikenali aktif menulis sajak-sajak ‘blues’ demi memberi suntikan kesegaran dan nafas baharu kepada dunia penulisan tempatan sekitar awal tahun 1990-an.
Suatu ketika dahulu, Encik Dasuki pernah mengharumkan nama Singapura apabila meraih pingat gangsa di Kejohanan Ski Air Sedunia bagi Orang Cacat Kedua di Australia pada 1995.
Namun, beliau yang kini berusia 58 tahun, sekadar bergantung pada tempahan lukisan arang serta sumbangan orang ramai untuk meneruskan kehidupan seharian.
Encik Dasuki dilahirkan tanpa kedua-dua belah kaki atau kondisi yang dikenali sebagai amputasi kongenital.
Pada era 1990-an, beliau juga dikenali dengan gelaran ‘Dasuki Skate’ kerana kelibatnya sering dilihat meluncur lincah di sekitar Bukit Batok, dengan menggunakan papan gelongsor sebagai pengganti kaki untuk bergerak.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) di Jalan Tuanku Abdul Rahman baru-baru ini, jelas terpancar pada wajahnya rasa penyesalan ketika mengenang kembali perjalanan hidup yang membawanya jauh dari tanah kelahiran di Singapura.
“Selepas menang gelaran juara dunia, saya terlalu seronok menikmati kehidupan.
“Saya ke sana sini, berkawan dengan ramai orang dan menikmati glamor yang datang bersama kejayaan itu di Singapura. Sampai saya tidak ingat untuk pulang ke rumah,” katanya.
“Kalau tanya saya, sejujurnya, saya tak nak duduk di Malaysia lagi. Saya macam menyesal juga tukar kerakyatan.
“Saya boleh buat benda yang sama di Singapura. Mengapa saya tidak buat di sana?” tambah beliau.
Ibunya, Cik Sapiah Musa, buat kali pertama, melaporkan kehilangan anaknya itu kepada akhbar BH pada 1995.
Empat tahun kemudian, pada 1999, Encik Dasuki sekali lagi meninggalkan flat dua bilik beliau di Tanglin Halt.
Detik itulah, menurutnya, kali terakhir beliau berada di sisi ibunya sebelum menerima berita mengenai pemergian wanita itu pada 30 Julai 2007.
“Kalau masa boleh diputar semula, kalau sempat lagi, sepatutnya saya balik rumah, duduk berbincang dengan arwah mak, dan tidak biarkan perkara itu berlarutan sampai kami tidak sempat bertemu lagi.
“Saya tak sempat jumpa arwah mak sebelum dia meninggal dunia. Itu yang saya kesalkan sampai sekarang,” jelasnya.
Encik Dasuki yang kini menetap di Jalan Masjid India, akhirnya, melepaskan kerakyatan Singapura untuk menjadi warganegara Malaysia pada 2023 dan menghabiskan hari-harinya menjual lukisan potret pada harga bermula RM20 (sekitar $6) sekeping.
Rutin hariannya bermula seawal 10 pagi.
Perjalanan dari kediamannya di Jalan Masjid India ke lokasi beliau mencari rezeki di Jalan Tuanku Abdul Rahman mengambil masa kira-kira 15 minit.
Hasil karyanya dihamparkan di atas sehelai kain sarung berwarna biru, lengkap dengan nombor WhatsApp serta maklumat akaun bank bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan ikhlas.
Sekeping nota tulisan tangan bertulis, ‘Terima kasih, semoga anda sekeluarga diberi kesihatan selalu,’ dilekatkan pada tabungnya sebagai tanda penghargaan kepada penyumbang.
Beliau sendiri berlindung di bawah payung yang disandarkan pada ‘teman setia’ beliau – sebuah kerusi roda elektrik.
Kerusi roda pertama, katanya, pernah rosak berhampiran pusat beli-belah SOGO, hanya beberapa meter dari lokasi beliau mencari rezeki.
“Masa itu saya langsung tak boleh bergerak dan terkandas di tepi jalan disebabkan alat pengawal kerusi roda (controller) yang rosak. Harga untuk menukarnya sekitar RM600, tetapi saya pun tak pasti sama ada alat gantinya sesuai atau tidak.
“Mujur, atas jasa baik seorang rakan lama di Singapura, beliau memindahkan wang kepada saya untuk membeli kerusi roda baharu yang saya gunakan sekarang,” jelas Encik Dasuki.
Namun, nada suaranya berubah sayu seraya menambah: “Tetapi, saya tahu bantuan seperti itu tak datang dua kali.”
Dengan Permit Seniman Kota 2026, Encik Dasuki dibenarkan menjalankan kegiatan seni dan berniaga secara sah di lokasi yang ditetapkan sehingga Disember 2026.
Permit yang dikeluarkan majlis bandar raya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu membolehkan penggiat seni jalanan menjalankan aktiviti secara sah di lokasi yang ditetapkan.
Inisiatif itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada persiapan bandar raya itu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan matlamat mengiktiraf penggiat seni jalanan sebagai antara penyumbang kepada sektor pelancongan serta identiti budaya Kuala Lumpur.
“Permit ini ibarat sumber rezeki saya. Tanpanya, saya tak tahu macam mana saya nak terus berniaga. Semalam ada operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ramai peminta sedekah di kawasan tempat saya melukis diarah beredar. Tapi saya selamat sebab ada permit ini,” katanya.
Pendapatannya, kata beliau, banyak bergantung pada jumlah pengunjung yang melintasi kawasan itu.
Beliau mengakui masih ada rezeki yang boleh dicari hingga lewat petang, namun masalah rabun malam memaksanya menamatkan perniagaan sekitar 3 petang setiap hari.
Pada bulan yang ‘lebih baik’ seperti Ramadan, beliau mampu memperoleh antara RM100 dengan RM200 sehari.
Namun, pada kebanyakan hari, beliau terapaksa akur pulang dengan tiada pendapatan langsung.
Keadaan beliau yang pernah melalui kekangan kewangan pernah menyebabkan Encik Dasuki terdedah kepada penipuan pinjaman.
“Saya tak tahu pada masa itu, saya masih mentah dalam hal penipuan. Orang-orang ini kata kalau nak pinjam RM2,000 dengan bayaran balik lebih RM100 sebulan, saya perlu bayar RM200 dahulu sebagai yuran setem (stamp duty).
“Saya pun masukkan wang itu ke dalam akaun bank. Selepas itu, mereka terus hilang.
“Kejadian itu berlaku sekali pada 2025 dan sekali lagi tahun ini,” akurnya.
Lebih mencabar buat Encik Dasuki kini kerana beliau masih bergelut untuk meneruskan kehidupan dengan pendapatan yang tidak menentu.
Ini termasuk sewa bilik di Jalan Masjid India, yang mencecah RM450 (kira-kira $142) sebulan, selain kos pengangkutan menerusi kad konsesi Rapid Mesra dengan bayaran RM10 (sekitar $3) bagi setiap tambah nilai, iaitu kadar tambang konsesi untuk individu kurang upaya (OKU) berdaftar di Malaysia, menurut beliau.
Keadaan ini jauh berbeza baginya yang pernah menyimpan hasrat untuk menjejakkan kaki ke Stadium Anfield bagi menyaksikan sendiri pasukan kesayangannya, Liverpool, beraksi.
Namun, impian itu kini telah digantikan dengan harapan untuzk membeli sebuah kerusi roda elektrik yang dapat memberinya keselesaan dan sekali gus, membolehkannya terus mencari rezeki secara halal.
Kerusi roda elektrik yang ingin dimiliki Encik Dasuki itu dilengkapi sandaran belakang yang boleh dilaraskan, yang diharap dapat mengurangkan sakit belakang yang dialaminya, selain membolehkannya berehat dengan lebih selesa.
“Sekarang saya dah tak ada impian besar lagi. Saya cuma berharap, dengan jasa baik orang ramai, saya dapat kumpul duit untuk beli kerusi roda elektrik baharu. Kalau dapat hiadup lebih selesa sedikit dan terus cari rezeki, itu pun sudah cukup besar ertinya bagi saya,” katanya pasrah.
