Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga M’sia tekad bantu nenek asal S’pura sebatang kara di Melaka
Warga M’sia tekad bantu nenek asal S’pura sebatang kara di Melaka
Warga M’sia tekad bantu nenek asal S’pura sebatang kara di Melaka
MELAKA: Biarpun tiada pertalian darah, seorang pemandu e-hailing wanita sanggup berkongsi kasih sayang dan menjaga kebajikan seorang warga emas warga Singapura yang hidup sebatang kara di Pengkalan Perigi, Tanjung Kling, Melaka.
Cik Santy Kadir, 40 tahun, yang berasal dari Kuching, Sarawak, berkata beliau mula mengenali Cik Sarah Suanda, 85 tahun, atau lebih mesra dipanggil Nek Sarah selepas menumpangkan warga emas itu yang berjalan kaki sambil membawa barang di Pantai Puteri pada 2025.
Menurutnya, sejak pertemuan itu, hampir setiap minggu beliau menziarahi warga emas berkenaan termasuk menyediakan makanan, mencuci pakaian dan membersihkan rumahnya.
Katanya, Cik Sarah – yang berstatus penduduk tetap (PR) Malaysia – tinggal sendirian selepas kematian suaminya lebih 20 tahun lalu dan sekarang Cik Santy bersama rakannya sedang membantu menguruskan dokumentasi Cik Sarah untuk pulang ke negara asalnya.
“Sudah hampir sebulan saya berurusan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kedutaan Singapura bagi membantu menyelesaikan masalah dokumentasinya.
“Saya harap urusan ini dipermudahkan dan dapat disegerakan supaya beliau dapat kembali ke negaranya,” katanya ketika ditemui di Bukit Rambai, Melaka, lapor Harian Metro.
Menurut ibu kepada dua orang cahaya mata itu, kehilangan beberapa dokumen penting termasuk pasport menyukarkan proses berkenaan, namun beliau bersyukur kerana semua pihak terbabit, termasuk Kedutaan Singapura, memberikan kerjasama yang baik.
Katanya, tekad untuk membantu warga emas itu semakin kuat selepas Cik Sarah terjatuh dan mengalami keretakan tulang belakang sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka pada Mei lalu.
“Apabila beliau jatuh sakit, kos rawatan menjadi tinggi dan saya mula memikirkan bagaimana keadaannya pada masa akan datang.
“Mujurlah pihak Hospital Melaka memahami kes yang dihadapi Cik Sarah dan membantu dari segi penyelesaian bil rawatannya,” katanya.
Beliau berkata, warga emas itu dijangka akan ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Singapura kerana tiada waris yang mampu menjaganya.
“Bagi saya, apa yang penting ialah beliau selamat dan kebajikannya terus terpelihara seperti mana beliau tinggal di negara ini,” katanya.
Cik Santy menganggap pertemuan dengan warga emas itu sebagai satu ujian dan peluang untuk membantu golongan kurang bernasib baik, walaupun ketika kejadian beliau sedang tergesa-gesa untuk mengambil penumpang.
