PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A Samad, diperintah membela diri oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 18 November, atas tiga tuduhan rasuah bernilai RM2.8 juta ($0.84 juta) berkait pelaburan agensi kerajaan, Felcra Bhd, pada 2023.
Ini bermakna pasangan suami isteri ini sekali lagi perlu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menjawab tuduhan terhadap mereka, lapor Harian Metro.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan mereka pada 7 September 2023 lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Cik Maziah Mohaide dan Encik Law Chin How selaku perayu. Datuk Bung Moktar, 65 tahun, dan Datin Zizie Izette, 46 tahun turut diwakili peguam.
Pada 7 September 2023, Datuk Bung Mokhtar dan Datin Zizie Izette, yang juga seorang pelakon dibebaskan setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2 September 2022, yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri.
Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan pada 18 September tahun sama.
Mengikut tuduhan pertama dan kedua, Datuk Bung Mokhtar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 pada 3 Mei 2019, sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui isterinya, Datin Zizie Izette, di Public Bank Cawangan Taman Melawati, Kuala Lumpur, pada 12 Jun 2015.
Bagi tuduhan ketiga, Datuk Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Datin Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.
Dalam pada itu Datin Zizie Izette turut didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Pendakwaan terhadap Datuk Bung Moktar dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM, sementara Datin Zizie Izette didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg