Nilai disiplin dan semangat berpasukan menjadi pegangan pemain sepak takraw Sekolah Menengah Marsiling, Aniq Hasif Muhammad Hairul.
Walaupun pasukannya tewas pada peringkat awal menentang Sekolah Menengah Woodlands dalam Sukan Sekolah Nasional (NSG) 2024, pelajar berusia 16 tahun itu bangkit memimpin rakan sepasukannya sehingga muncul juara pada edisi terkini NSG 2025.
Semangat gigihnya sebagai pemain apit kanan dalam pasukannya telah membuka pintu rezeki bagi Aniq menerima Anugerah Olahragawan Muda Lelaki Terbaik Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Singapura (SSSC) bagi kategori sepak takraw.
Dia menerima anugerah itu pada Majlis Penyampaian ‘Colours Award’ (Pencapaian Dalam Kegiatan Kokurikulum), yang diadakan di Sekolah Menengah Kent Ridge pada 26 September, sebagai majlis penutup NSG 2025.
NSG 2025 disertai lebih 69,000 pelajar.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Aniq, anak kedua dalam lima beradik itu berkata: “Perkara yang saya paling gemari tentang sepak takraw ialah peluang bekerja dengan rakan sepasukan dan membina disiplin diri.
“Sebagai Naib Presiden pasukan sepak takraw di Sekolah Menengah Marsiling, saya juga harus menjadi teladan baik kepada pemain junior dan kekal konsisten dalam latihan.
“Pada mulanya, saya menghadapi kesukaran mengurus masa kerana perlu membahagikan masa saya antara keluarga, pelajaran dengan latihan.
“Sebagai pasukan, kami juga mengalami beberapa kekalahan, namun saya sentiasa ingatkan rakan sepasukan supaya berjuang habis-habisan dan memberi yang terbaik.”
Dalam NSG 2024, pasukan sepak takraw Sekolah Menengah Marsiling tewas kepada seteru utama mereka, Sekolah Menengah Woodlands, dengan keputusan 1-2.
“Walaupun begitu, kami tetap bermain sebaik mungkin. Walaupun gagal meraih kemenangan ketika itu, saya menggalakkan pasukan saya supaya memberikan saingan yang hebat,” ujarnya.
Namun, pada NSG 2025 yang berlangsung dari Januari hingga Mac, Aniq berjaya memimpin pasukannya menebus kekecewaan lalu dan dinobatkan sebagai juara Sepak Takraw Divisyen ‘B’.
“Kuncinya adalah daya tahan. Jika sesuatu tidak menjadi pada cubaan pertama, apa yang penting adalah berusaha untuk tetapkan matlamat seterusnya dan bekerjasama sebagai pasukan,” tambahnya.
Aniq bakal mewakili pasukan sepak takraw nasional Singapura bagi Sukan Sekolah Asean yang akan berlangsung di Brunei pada November 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg