Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemangat kesukarelawanan sokong tabung peningkatan Masjid Ar-Raudhah
Semangat kesukarelawanan sokong tabung peningkatan Masjid Ar-Raudhah
Sebuah masjid bukan sekadar tentang bangunan, bahkan tentang insan-insan yang sentiasa ada di sebaliknya.
Setiap tenaga yang disumbang, setiap nilai yang dihulur dan setiap masa diluang, menjadi sebahagian usaha bersama dengan terus menghidupkan Masjid Ar-Raudhah.
Melalui semangat kesukarelawanan dan sokongan daripada masyarakat, Projek Peningkatan Masjid Ar-Raudhah terus melangkah ke hadapan.
Apa yang mungkin kelihatan seperti sumbangan kecil, sebenarnya membawa makna yang besar apabila dilakukan bersama.
Sokongan daripada pelbagai pihak, bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat demi memastikan peningkatan masjid dapat direalisasikan, demi manfaat jemaah.
63 SUKARELAWAN, 80 TABUNG TIN
Antara daya usaha yang dijalankan ialah kutipan tabung menerusi ‘Kutipan di Seluruh Singapura pada Jumaat’ pada 11 September lalu.
Program ini melibatkan sukarelawan Masjid Ar-Raudhah dengan memegang tabung di beberapa masjid di seluruh Singapura.
Bagi menyokong pelaksanaan kutipan ini, Masjid Ar-Raudhah menyediakan 80 tabung tin untuk ditempatkan di beberapa masjid seluruh Singapura.
Seramai 63 sukarelawan tampil mendaftar bagi menjayakan kutipan tersebut.
Mereka terdiri daripada sukarelawan dan pegawai masjid yang bersama-sama meluangkan masa serta tenaga sepanjang program berlangsung.
Kutipan ini merupakan salah satu usaha mendapatkan dana bagi menyokong kerja peningkatan dan pembaikan Masjid Ar-Raudhah yang sedang dilaksanakan secara berperingkat.
SUKARELAWAN NADI PENTING
Sukarelawan merupakan antara tonggak penting dalam menggerakkan dan memakmurkan sesebuah masjid.
Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, sokongan sukarelawan banyak membantu memastikan program dan daya usaha masjid dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
“Dalam usaha memakmurkan masjid, kerjasama antara generasi muda dengan golongan lebih berusia amat penting.
“Setiap generasi ada kekuatan dan pengalaman berbeza.
“Golongan lebih berusia dapat berkongsi pengalaman, pandangan dan bimbingan, manakala golongan muda membawa tenaga, idea serta pendekatan baharu yang dapat membantu menghidupkan pelbagai kegiatan masjid.
“Saya percaya dengan kerjasama serta penglibatan masyarakat daripada pelbagai usia, masjid kita dapat terus berfungsi sebagai pusat ibadah, kebajikan dan pembangunan masyarakat.
“Semoga semangat yang ada dalam kalangan semua, tidak berhenti setakat program ini sahaja.
“Diharapkan, kita dapat bersama lagi mengimarahkan masjid serta memberikan manfaat kepada masyarakat setempat pada masa akan datang,” katanya.
JASA DAN SUMBANGAN DIKENANG
Masjid Ar-Raudhah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua sukarelawan, masjid-masjid yang memberi kerjasama, serta jemaah dan dermawan yang telah menyumbang sepanjang usaha kutipan dana ini dijalankan.
Masjid Ar-Raudhah kini sedang melaksanakan kerja peningkatan di bawah Projek Peningkatan Masjid (MUP).
Namun, masjid masih beroperasi seperti biasa, dengan kegiatan keagamaan dan khidmat kepada masyarakat diteruskan sepanjang tempoh pembangunan.
Selain kutipan tabung, masyarakat juga boleh terus menyokong usaha pembangunan ini melalui Wakaf Masjid Ar-Raudhah pada kadar $50 bagi setiap lot, pembelian Kupon Amal Arnold’s Chicken, serta sumbangan secara langsung kepada dana masjid.
Setiap sumbangan, sama ada dalam bentuk tenaga, masa ataupun kewangan, amat bermakna dalam membantu merealisasikan hasrat menyediakan sebuah masjid yang lebih selesa, mesra jemaah dan sesuai dengan keperluan masyarakat pada masa hadapan.
Cara menghulur sumbangan kepada Projek Peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ dan dikirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.