Semangat pelajar, kakitangan Al-Ma’arif kongsi rezeki melalui daya usaha ‘Sa’eid Drive’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat pelajar, kakitangan Al-Ma’arif kongsi rezeki melalui daya usaha ‘Sa’eid Drive’

Mar 13, 2026 | 5:30 AM

Semangat pelajar, kakitangan Al-Ma’arif kongsi rezeki melalui daya usaha ‘Sa’eid Drive’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
ramadan, Al-Maarif, Sa’eid Drive, hantar makanan
Pelajar Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah berganding bahu membantu dalam pembungkusan barangan makanan kering bagi daya usaha, ‘Sa’eid Drive’. - Foto MADRASAH AL-MA’ARIF AL-ISLAMIAH

Setiap kali tibanya Ramadan, semangat berkongsi rezeki terus subur melalui daya usaha, ‘Sa’eid Drive’, anjuran Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah.

Program yang berlangsung sejak bertahun-tahun lalu itu bertujuan membantu pelajar serta kakitangan madrasah yang memerlukan, khususnya dalam menghadapi kos kehidupan yang terus mencabar.

Melalui daya usaha itu, pelbagai barangan makanan kering diagihkan kepada penerima bagi membantu mereka menyediakan hidangan harian sepanjang Ramadan.

Antara barangan yang diagih ialah beras, minuman sirap, bihun, susu tin dan keperluan asas lain untuk memasak.

Menurut Pegawai Pengumpulan Dana madrasah tersebut, Cik Siti Radhiyah Rahmat, sumbangan yang diterima datang daripada pelbagai pihak dalam masyarakat madrasah sendiri.

“Barang-barang makanan kering ini disedekahkan oleh ibu bapa pelajar serta kakitangan madrasah kami.

“Alhamdulillah, setiap tahun, sambutan yang diterima amat menggalakkan, terutama pada bulan Ramadan apabila ramai yang berlumba-lumba mahu berkongsi rezeki,” kata Cik Siti Radhiyah.

Sebelum agihan dibuat, ahli jawatankuasa sekolah terlebih dahulu mengumpul dan membungkus barangan tersebut.

Proses pengagihan pula dibantu oleh kumpulan sukarelawan serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, atau Parent Support Group (PSG), yang turut menyampaikan sumbangan ke rumah penerima.

“Kerjasama daripada PSG dan sukarelawan ini amat kami hargai kerana mereka membantu memastikan bantuan ini sampai kepada keluarga yang memerlukan,” jelasnya.

Menurut Cik Siti Radhiyah, Sa’eid Drive’ bukan sahaja bertujuan meringankan beban penerima, malah menjadi wadah mengeratkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat di madrasah tersebut.

“Ramadan adalah bulan untuk berkongsi dan membantu antara satu sama lain. Kami berharap usaha kecil ini dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

“Pada masa sama, pihak madrasah kami turut mengalu-alukan sumbangan ikhlas daripada orang ramai sepanjang bulan barakah ini.

“Sumbangan yang diterima termasuk zakat, wakaf dan juga derma bagi menyokong pelbagai keperluan serta operasi madrasah.

“Dana yang disumbangkan akan digunakan untuk pelbagai keperluan seperti menggantikan peralatan yang rosak, membiayai kerja penyelenggaraan serta membayar bil utiliti dan keperluan madrasah,” jelas Cik Siti Radhiyah.

Beliau menambah, kos anggaran bagi menampung keperluan tahunan madrasah mencecah sekitar $2 juta.

“Semoga dalam Ramadan yang mulia ini, lebih ramai yang tampil untuk menghulurkan bantuan, serta menyokong usaha madrasah dalam mendidik generasi masa depan serta memperkukuhkan pembangunan masyarakat,” tambahnya.

SEKILAS:

1. Waktu operasi Madrasah Al-Ma’arif semasa Ramadan dari 8.30 pagi hingga 4 petang. Untuk pertanyaan, sila hubungi talian 6747-9835 atau lungsuri laman web rasmi di https://almaarif.edu.sg/

2. Orang ramai boleh menyumbang melalui PayNow ke UEN: S36MM0001G dengan catatan ‘Derma’, ‘Zakat’ atau sumbangan umum di ruang ‘rujukan’.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg