Tidak mahu ketinggalan dalam perbualan dan perbincangan bersama rakan sekerja lebih muda, Cik Salmiah Salam, mengambil keputusan menyelami dengan lebih mendalam tentang kecerdasan buatan (AI).

Ia bagi membolehkan beliau agar sentiasa dapat mengikuti perkembangan teknologi baharu yang sedang hangat diperbualkan dalam kalangan masyarakat, khususnya rakan sekerjanya.

Menyingkap perjalanannya dalam memperoleh kemahiran AI, Cik Salmiah, 63 tahun, yang bekerja di syarikat perundingan sumber manusia selama 27 tahun, berkata:

“Saya perasan AI kini merupakan teknologi yang kerap dibincangkan dan diterapkan dalam pekerjaan.

“Malah, di tempat saya bekerja, AI juga telah berleluasa diajarkan kepada para pekerja.

“Ramai pekerja muda yang semakin cekap dan pantas menggunakan AI.

“Jadi, saya juga tidak mahu ketinggalan memahami, sekali gus menguasai AI yang berpotensi membantu saya dalam pekerjaan.”

Cik Salmiah telah mendaftarkan diri dalam kursus, Generative AI Essentials and Tools for Business Professionals (Asas AI Generatif dan Alatan untuk Karyawan Perniagaan), kendalian NTUC LearningHub, selama dua hari.

Tanpa memiliki pengetahuan yang meluas tentang AI, Cik Salmiah menjalani kursus dan latihan tersebut dengan minda yang terbuka.

Melalui kursus tersebut, beliau telah diberi pencerahan tentang pelbagai wadah AI yang dapat membantunya menyelaras dan memudahkan tugasan sebagai seorang pegawai bersekutu, pakar sokongan jualan.

Sebelum ini, apabila beliau perlu menyediakan laporan bulanan masyarakat dan juga pemantauan kewangan, beliau akan dibanjiri dengan lambakan maklumat yang perlu disusun semula.

Lazimnya ia akan mengambil masa panjang untuk mengatur semula maklumat tersebut.

Namun, cabaran itu telah dimudahkan dengan AI yang mampu menyelaras maklumat dengan sekelip mata dan tepat.

Secara tidak langsung, Cik Salmiah juga dapat menyiapkan laporan buat syarikatnya dengan lebih lancar, cepat dan berkesan.

Dengan pencerahan tentang AI melalui kursus yang dijalani, Cik Salmiah menjadi semakin terpanggil dan bersemangat untuk terus meningkatkan kemahirannya.

Sikap itu tercetus daripada pemikirannya yang percaya akan pembelajaran berterusan yang boleh dilakukan, tanpa mengira peringkat usia.

Walaupun pada awalnya beliau tidak dapat menafikan terdapat sedikit kesukaran menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, ia tidak menghambat dirinya untuk terus tekun memburu ilmu pengetahuan terkini.

Justeru, dengan pengalaman menyertai kursus AI dan menerapkannya dalam kerja harian, Cik Salmiah lebih giat bertukar pendapat sesama rakan sekerja yang lebih muda tentang AI.

Ibu seorang anak berusia 36 tahun itu berkongsi:

“Hari ini dunia semakin berkembang pesat dengan kemajuan teknologi baharu.

“Justeru, saya percaya kita harus selalu ada keinginan untuk mempelajari ilmu dan kemahiran baharu ini.

“Kita juga harus bersikap terbuka dan berlapang dada untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran yang dinamik hari ini.”

Tidak merancang untuk bersara dalam masa terdekat, Cik Salmiah ingin terus merebut peluang peningkatan kemahiran dan ilmu, khususnya dalam bidang AI jika berkesempatan.

“Saya juga percaya sama ada seseorang itu sedang bekerja ataupun tidak, dia harus sentiasa mempunyai sikap ingin tahu dan semangat belajar sepanjang hayat,” jelasnya.

“Hari ini dunia semakin berkembang pesat dengan kemajuan teknologi baharu. Justeru, saya percaya kita harus selalu ada keinginan untuk mempelajari ilmu dan kemahiran baharu ini.”
Cik Salmiah Salam.