Selepas berehat selama dua tahun daripada tugas sebagai pegawai pusat panggilan untuk menjaga dua cucunya, Cik Mezawati Mohammad, memutuskan untuk kembali bekerja kerana kebosanan.

Namun kali ini, sebelum melangkah kembali bertugas di pusat panggilan berbeza, beliau, yang telah berkhidmat selama 30 tahun di syarikat sebelumnya, bertekad menimba pengetahuan dan kemahiran baharu.

Cik Mezawati, 61 tahun, ingin memastikan dirinya kekal relevan serta mampu menyesuaikan diri dengan teknologi yang berkembang pesat pada masa kini khususnya, kecerdasan buatan (AI).

Justeru, beliau telah mendaftarkan diri bagi kursus, Agentic AI for Business Process Workflow Automation (AI Agentik untuk Automasi Aliran Kerja Proses Perniagaan), kendalian NTUC LearningHub, selama tiga hari pada akhir 2024.

Ketika diminta berkongsi tentang perjalanannya kembali ke alam pekerjaan, beliau berkata:

“Selepas menjaga cucu-cucu saya dari 2023 hingga 2024, saya memberitahu anak perempuan saya yang saya ingin kembali bekerja.

“Saya pun mula membuat kajian untuk melihat apakah perkara yang sedang dibincangkan secara luas hari ini sebagai persiapan untuk saya kembali bekerja.

“Ternyata, AI merupakan topik yang kerap kali dibicarakan.

“Kemudian, secara kebetulan, apabila saya melungsuri Facebook, saya dapati ada kursus AI yang ditawarkan NTUC.

“Saya pun mendaftarkan diri.”

Sebelum memulakan kursus AI tersebut, Cik Mezawati perlu menjalani satu sesi temu duga untuk menjelaskan tahap pemahamannya tentang AI.

“Kajian dan bacaan yang saya lakukan terlebih dahulu membantu saya memahami tentang AI.

“Jadi saya seronok dan teruja apabila saya kongsikan tentang pengetahuan saya walaupun saya sudah dalam peringkat usia senja,” kata ibu dua anak berusia 31 dan 33 tahun itu.

Melalui kursus yang berlangsung selama dua hari itu, Cik Mezawati telah diperkenalkan kepada beberapa wadah AI seperti Gemini, Copilot dan ChatGPT.

Beliau juga dibimbing untuk memberi arahan atau panduan yang tepat kepada AI.

Berbekalkan ilmu baharu dan lebih mendalam, Cik Mezawati dapat mengamalkan penggunaan AI dalam pekerjaannya setelah kembali bertugas sebagai pegawai di sebuah pusat panggilan.

Beliau juga kini berupaya memberikan respons khidmat pelanggan yang lebih berkesan dan pantas.

“AI benar-benar membantu saya dalam menyempurnakan kerja saya dengan lebih cepat dan berkesan.

“Sebelum ini, saya harus merangka respons sendiri melalui e-mel atau panggilan kepada pelanggan.

“Namun, kini rangka itu telah dapat disediakan AI dan saya hanya tinggal mengemaskan atau menyesuaikan kepada keperluan pelanggan,” jelas beliau.

Bagaimanapun, dalam kekaguman dan keasyikan tentang keberkesanan AI yang banyak membantu pekerjaannya, Cik Mezawati tetap berpendapat bahawa nilai insani atau campur tangan manusia serta pemikiran kritikal tetap amat penting.

“Apabila AI menawarkan rangka respons mereka, saya tetap harus membacanya semula dan menilai dengan kritis.

“Adakala AI tidak dapat hasilkan respons yang mengandungi rasa kemanusiaan seperti empati.

“Jadi, sebagai manusia dan pekerja, saya harus menitikberatkan hal tersebut dalam berinteraksi dengan manusia atau pelanggan yang berkeperluan,” tambahnya.

AI (kecerdasan buatan) benar-benar membantu saya dalam menyempurnakan kerja saya dengan lebih cepat dan berkesan. Sebelum ini, saya harus merangka respons sendiri melalui e-mel atau panggilan kepada pelanggan. Namun, kini rangka itu telah dapat disediakan AI dan saya hanya tinggal mengemaskan atau menyesuaikan kepada keperluan pelanggan.”
Cik Mezawati Mohammad.