Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan terus bekerjasama dengan pihak atau badan yang terlibat dalam khidmat korban bagi memperkukuh urusan korban pada masa akan datang, kata Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.

Beliau memberi jaminan sedemikian selepas solat Hari Raya Aidiladha di Masjid Assyakirin pada 27 Mei, di mana beliau juga akur akan rasa kecewa yang menyelubungi jiwa sebahagian sohibul (pelaksana) korban susulan kegenjotan urusan korban melibatkan empat masjid di Singapura tahun ini (2026).

Pada 23 Mei lalu, orang ramai dimaklumkan sekitar 400 haiwan korban dari Australia yang dikendalikan syarikat pengendali korban, The Meat Brothers Pte Ltd, tidak sempat dihantar ke Singapura menjelang Hari Raya Aidiladha.

Ini disebabkan syarikat itu tidak sempat mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Australia.

Perkara itu menyebabkan sebahagian sohibul korban yang terjejas berasa kecewa.

Mereka kemudian diminta mempertimbangkan pilihan alternatif seperti menjalankan ibadah korban di Australia, dengan daging tersebut dihantar langsung kepada mereka, melaksanakan korban di Medan, Indonesia, melalui rakan kongsi yang dipercayai dengan daging diagihkan kepada asnaf serta masyarakat setempat mahupun menerima pulangan penuh bayaran yang sudah dilangsaikan.

Ketika diminta mengulas isu ini, Cik Rahayu menggesa masyarakat agar melihat cabaran korban yang dihadapi sebagai peluang mengukuhkan hubungan sesama sendiri dan menampilkan sikap prihatin antara satu sama lain, sambil menyifatkannya sebagai semangat sebenar di sebalik ibadah korban.

“Ini adalah satu cabaran yang menguji kita sebagai satu masyarakat, tetapi ia memberi kita peluang untuk menyelesaikannya dengan cara baik.

“Yang penting, masyarakat dapat bersama dan bersatu pada hari bermakna ini dalam semangat korban yang amat dialu-alukan. Saya harap ini sesuatu yang dapat kita terus perkasakan dalam masa akan datang,” tambah beliau.

Cik Rahayu turut menekankan peranan berbeza yang dimainkan setiap pihak dalam pengurusan ibadah korban.

“Bagi pihak masjid, tanggungjawab mereka adalah untuk menyediakan lokasi. Sebenarnya, urusan korban ini adalah urusan pengendali korban berlesen yang harus menjalankan urusan mereka.

“Ini adalah salah satu perkara yang kita perlu prihatinkan,” ujar Cik Rahayu.

Butiran lanjut mengenai usaha memperkukuh urusan korban di Singapura akan dikongsi kelak, jelas Muis ketika dihubungi BH.

Cik Rahayu hadir sebagai tetamu terhormat bagi sesi solat pertama di Masjid Assyakirin pada 7 pagi.

Sekitar 7,500 anggota jemaah menghadiri solat Aidiladha di masjid itu yang mengendalikan tiga sesi solat berasingan.

Sambutan Aidiladha tahun ini turut menyaksikan lautan jemaah menghadiri solat Aidiladha, dengan masjid serata Singapura menyediakan sekitar 240,000 ruang solat.

Sebanyak 20,300 ruang solat turut disediakan di 44 lokasi kumpulan kariah.

Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, turut menyampaikan khutbah Aidiladha di masjid tersebut, di mana beliau menekankan makna pengorbanan bukan sekadar penyembelihan haiwan korban:

“Aidiladha mengajar kita makna pengorbanan yang lebih luas.

“Ia bukan sekadar menyembelih haiwan korban, tetapi juga kesediaan untuk tunduk kepada petunjuk Allah swt meskipun ia memerlukan kita menyesuaikan diri dengan keadaan, tanpa mengorbankan prinsip,” katanya.

Cik Rahayu juga merakamkan penghargaan kepada kakitangan masjid, sukarelawan dan pekerja yang menjayakan solat Aidiladha di masjid-masjid serta lokasi solat sementara di estet-estet seluruh Singapura.

“Saya gembira dapat peluang melakukan solat Aidiladha bersama Masjid Assyakirin pagi ini dan melihat usahasama kakitangan masjid, sukarelawan serta semua yang hadir, yang bekerjasama menyediakan tempat solat dan memudahkan urusan ini.

“Bukan sahaja di masjid-masjid tetapi juga di merata estet di Singapura, ramai yang terlibat membantu usaha ini. Saya rasa ini sesuatu yang amat dialu-alukan oleh masyarakat kita yang sentiasa mahu beribadah bersama,” tambahnya.