Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemarak seni tempatan warnai Lapangan Terbang Changi hasil kerjasama dengan NAC
Semarak seni tempatan warnai Lapangan Terbang Changi hasil kerjasama dengan NAC
Low Yen Ling: Usaha cipta pengalaman pertama, terakhir yang unik buat 70j pelancong setiap tahun di samping persembah identiti S’pura kepada dunia
Semarak seni tempatan warnai Lapangan Terbang Changi hasil kerjasama dengan NAC
Pengunjung boleh menjangkakan pelbagai khazanah seni yang rencam di Lapangan Terbang Changi, termasuk peluang menikmati program dan pameran puisi sastera Singapura yang interaktif.
Turut disajikan adalah persembahan secara langsung oleh pemuzik Singapura baharu di samping karya pemasangan seni visual, yang membawa anda menyelami takrifan mendalam di sebalik ciptaannya pada Minggu Seni Singapura (Saw).
Ini didedahkan Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, ketika berucap pada satu upacara di mana Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC) ditandatangani di Balai Pelepasan Terminal 4 di Lapangan Terbang Changi pada 27 April.
Upacara tersebut turut diwarnai persembahan muzik dan sajian kesusasteraan secara langsung.
Kata Cik Low yang merupakan tetamu terhormat pada acara itu: “Dengan mempamerkan warisan seni kita yang kaya di Lapangan Terbang Changi, kita bukan sahaja mencipta pengalaman pertama dan terakhir yang unik bagi kira-kira 70 juta pelancong setiap tahun, malah turut mempersembahkan identiti Singapura yang tersendiri kepada dunia.”
Melalui pemeteraian MOU antara CAG dan NAC, kerjasama tiga tahun akan terjalin bagi memberi lebih banyak peluang kepada penggiat seni tempatan untuk mempamerkan bakat mereka di Lapangan Terbang Changi, sekali gus memperluas pendedahan seni Singapura kepada audiens sejagat.
Pemeteraian MOU ini khusus menyasarkan pelancong yang berhenti atau melintasi Lapangan Terbang Changi.
Antara persembahan yang pada acara pelancaran pada 27 April termasuk sajian merdu daripada penyanyi-penulis lagu tempatan, Shazza, 25 tahun, atau nama sebenarnya, Shareefa Aminah Abdul Shariff.
Shazza yang mencipta lagunya sendiri dan pernah menerima Anugerah Jauhari Harapan 2023, yang disampaikan Berita Harian (BH) untuk anak muda cemerlang, berkata beliau menghargai platform yang diwujudkan melalui kerjasama NAC dan Lapangan Terbang Changi ini, khususnya untuk membangun semangat artis tempatan sepertinya.
“Penonton tempatan cenderung untuk lebih pasif setiap kali menonton persembahan, dan sebagai sebahagian penonton itu sendiri sepanjang saya dewasa, saya rasa mereka bukan jenis yang mencari muzik tempatan secara aktif.
“Jadi penting untuk kita wujudkan platform seperti ini di Lapangan Terbang Changi supaya orang ramai dapat menghayati muzik tempatan dan menyedari bahawa kita sebenarnya mempunyai karya seni yang baik,” katanya ketika ditemui BH.
Shazza juga berharap dapat menghasilkan dan mempersembahkan lebih banyak lagu dalam bahasa Melayu, sekali gus mempromosikan muzik Melayu kepada pengunjung antarabangsa di Lapangan Terbang Changi.
Apabila ditanya tentang impak platform ini kepada artis sepertinya, beliau berkata: “Ia membuatkan orang berhenti seketika dan sedar, ‘Eh, ada muzik Singapura rupanya’.
“Ini bukan sesuatu yang pelancong biasanya dapat nikmati melainkan mereka menaiki MRT ketika berada di Singapura. Setiap kali saya membuat persembahan, itulah soalan yang saya harap orang akan mula tanya, apa lagi yang ada di luar sana.”
Sementara itu, penyair tempatan, Crispin Rodrigues, yang mendeklamasikan puisi secara langsung semasa acara tersebut, berkata beliau memilih puisi bertemakan perjalanan dan rumah bagi disesuaikan dengan suasana Lapangan Terbang Changi.
“Apabila saya menyusun puisi untuk set ini, saya memikirkan tentang perjalanan, rumah dan asal usul.
“Lapangan Terbang Changi ialah titik pertemuan orang yang datang dan pergi. Jadi ruang ini sesuai untuk saya berkomunikasi dengan golongan ini, membolehkan mereka merenung dan pada masa yang sama diperkenalkan kepada seni Singapura,” katanya lagi.
