Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua calon bebas GE2025 mohon jadi NMP

Nov 6, 2025 | 9:18 PM
nmp, calon bebas, darryl lo, jeremy tan
Calon bebas GE2025, Encik Darryl Lo (kiri) dan Encik Jeremy Tan, telah mengemukakan permohonan untuk dipertimbangkan di bawah skim Anggota Parlimen Dilantik (NMP). - Foto ST

Dua calon bebas yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) Mei lalu kini turut menawarkan diri untuk dipertimbangkan sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP).

Pencalonan bagi pusingan pelantikan kali ini ditutup pada 6 November, 4.30 petang.

Sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas (SSC) yang terdiri daripada lapan anggota dan dipengerusikan oleh Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, akan menemu bual dan menilai calon yang layak.

Menurut akhbar The Straits Times (ST), tiada calon daripada masyarakat pencinta seni atau alam sekitar yang tampil memohon kali ini.

Jumlah keseluruhan permohonan biasanya akan diumumkan Pejabat Setiausaha Parlimen dalam beberapa hari.

Dua pendatang baru politik iaitu Encik Darryl Lo, 28 tahun, dan Encik Jeremy Tan, 35 tahun, memberitahu hasrat mereka untuk menjadi NMP berbeza.

Dalam GE2025, Encik Lo bertanding di Radin Mas, Kawasan Undi Perseorangan (SMC), dan memperoleh 23.52 peratus undi, manakala Encik Tan bertanding di SMC Mountbatten dengan 36.18 peratus undi.

Ini merupakan peratusan tertinggi bagi calon bebas sejak GE 1972.

Encik Lo, yang memohon pada 29 Oktober, melahirkan keinginannya mewakili suara muda Singapura dalam isu jaminan pekerjaan, kos sara hidup dan perumahan.

“Golongan muda akan menanggung kesan jangka panjang dasar-dasar ini, jadi pandangan mereka mesti diwakili,” katanya.

Encik Tan, yang menghantar permohonan pada 5 November, berkata beliau ingin menggalakkan rakyat Singapura yang berfikiran bebas agar turut menyumbang kepada negara.

“Ramai rakyat Singapura cemerlang dalam bidang masing-masing, dan saya berharap permohonan saya memberi galakan kepada mereka,” jelasnya yang terlibat dalam bidang perundingan dan pelaburan itu.

Beliau menambah dengan hanya Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) di Parlimen ke-15, skim NMP boleh menambah kepelbagaian pandangan politik.

Skim NMP yang diperkenalkan pada 1990 bertujuan memastikan pelbagai suara diwakili dalam Parlimen.

Bagi setiap penggal Parlimen, sembilan NMP boleh dilantik selama dua setengah tahun.

Calon harus pernah memberi sumbangan cemerlang dalam khidmat awam atau bidang seperti seni, budaya, sains, perniagaan, bidang profesional, sosial atau pergerakan pekerja.

Parlimen menjelaskan SSC tidak mendedahkan senarai penuh calon bagi mengelakkan individu berbakat rasa terhalang untuk memohon pada masa hadapan.

Namun, calon masih bebas mengumumkan sendiri pencalonan mereka.

Selain menemu bual calon, SSC turut mendapatkan pandangan Anggota Parlimen (AP) yang dipilih.

Senarai calon terpilih akan diserahkan kepada Presiden untuk pelantikan NMP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg