Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semua majlis bandaran terima penilaian tertinggi bagi tadbir urus korporat, kecuali Ang Mo Kio

Didapati tidak terbitkan perubahan jawatan anggota dilantik, gagal selesai pemindahan dana sebelum tarikh akhir berkanun
Dec 18, 2025 | 4:44 PM
ang mo kio, mnd, ang mo kio town council
Kecuali Majlis Bandaran Ang Mo Kio, semua majlis bandaran menerima penilaian tertinggi untuk tadbir urus korporat, menurut laporan pengurusan majlis bandaran terkini terbitan Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 18 Disember. - Foto ST

Semua majlis bandaran menerima penilaian tertinggi, iaitu penilaian hijau untuk tadbir urus korporat, kecuali Majlis Bandaran Ang Mo Kio (AMKTC).

Demikian menurut laporan pengurusan majlis bandaran terkini yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 18 Disember.

MND berkata AMKTC menerima penilaian kuning kerana majlis bandaran itu didapati mempunyai dua kesilapan pentadbiran.

Penilaian hijau adalah yang tertinggi, diikuti dengan kuning dan merah.

AMKTC didapati tidak menerbitkan perubahan pada jawatan naib pengerusi dan anggota yang dilantik semula dalam warta elektronik pemerintah sebelum tarikh akhir berkanun.

Majlis bandaran itu juga gagal menyelesaikan pemindahan dana yang diperlukan ke dalam dua akaun banknya, termasuk dana terikatnya, sebelum tarikh akhir berkanun untuk suku pertama tahun kewangan 2024.

Ia menerbitkan perubahan jawatan dan memindahkan dana selepas tarikh akhir yang ditetapkan, menurut laporan itu, yang merangkumi tahun kewangan dari April 2024 hingga Mac 2025.

Laporan terkini itu merupakan semakan prestasi pengurusan terakhir bagi 17 majlis bandaran sebelum penyusunan semula sempadan kawasan undi bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang diadakan pada 3 Mei.

Menyusuli GE2025, dua majlis bandaran baru – di Jalan Kayu dan Punggol – telah dibentuk, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan majlis bandaran kepada 19.

Laporan tersebut mencerminkan prestasi majlis bandaran dalam penyata kewangan, laporan juruaudit dan pematuhan terhadap Akta Majlis Bandaran dan peraturan sepanjang tahun kewangan yang tertera.

MND berkata ia telah mengenal pasti dua kejadian ketidakpatuhan terhadap Akta Majlis Bandaran dan Peraturan Kewangan Majlis Bandaran bagi AMKTC – meliputi estet di GRC Ang Mo Kio, SMC Kebun Baru dan SMC Yio Chu Kang.

“Oleh kerana ketidakpatuhan tersebut berlaku akibat kesilapan pentadbiran yang telah diperbetulkan, ia dianggap sebagai dua pemerhatian dengan tahap kesilapan yang tidak serius,” kata kementerian itu.

Tiga majlis bandaran lain – Nee Soon, Pasir Ris-Punggol dan Sengkang – pula didapati tidak mendapatkan persetujuan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sebelum memulakan kerja di ruang berkongsi.

Ketiga-tiga majlis bandaran itu kemudian meminta persetujuan dan HDB telah meluluskannya.

Memandangkan semua pelanggaran itu mempunyai tahap kesilapan tidak serius, majlis bandaran sedemikian diberi penilaian hijau, tambah laporan tersebut.

MND turut mendapati semua majlis bandaran secara umumnya melaporkan lebihan untuk tahun kewangan 2024.

Kementerian itu berkata: “Dengan mengekalkan kedudukan kewangan yang mampan, majlis bandaran boleh terus melaksanakan lebih banyak projek penambahbaikan bandar yang memberi manfaat kepada penduduk.”

Di samping itu, MND berkata pemerintah akan terus memantau kedudukan kewangan majlis bandaran dan bekerjasama dengan mereka untuk memastikan kemampanan kewangan jangka panjang bagi majlis bandaran masing-masing.

Laporan yang diterbitkan pada 18 Disember itu merupakan bahagian kedua daripada laporan tahunan yang dikeluarkan MND.

Bahagian pertama laporan itu diterbitkan pada pertengahan 2025 bagi menilai prestasi majlis bandaran dalam aspek operasi seperti kebersihan dan penyelenggaraan estet.

Semua majlis perbandaran menerima penilaian hijau dalam laporan yang dikeluarkan pada Jun itu.

Untuk 2026, MND tidak akan menerbitkan laporan operasi atau tadbir urus bagi tahun kewangan 2025, iaitu dari April 2025 hingga Mac 2026.

Ini bertujuan memberi tempoh peralihan kepada majlis bandaran yang baru dibentuk atau disusun semula selepas GE2025, agar mereka dapat menstabilkan operasi masing-masing selepas sebarang proses penyerahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg