Tahun 2025 merupakan detik penuh bermakna bagi Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik.
Anggota Parti Pekerja (WP) berusia 36 tahun itu mula bergelar ayah setelah menimang cahaya mata pertama – seorang bayi perempuan – pada Ogos.
Bukan itu sahaja, malah penampilan sulungnya dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025 pada Mei sebagai anggota calon GRC Sengkang pula menyaksikan pasukannya mencatatkan kemenangan.
Ia sekali gus membuka jalan baginya untuk sekali lagi mencatat detik pertama yang amat dinanti-nantikannya apabila beliau mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen (AP) secara rasmi semasa pembukaan penggal Parlimen baru pada 5 September.
Encik Abdul Muhaimin telah mengisi kekosongan dalam barisan AP GRC Sengkang menyusuli peletakan jawatan mantan AP kawasan itu, Cik Raeesah Khan, pada 2021.
Ini menjadikan beliau salah seorang daripada empat AP kawasan undi itu setelah WP menewaskan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan 56.31 peratus undi.
Anggota WP yang lain ialah Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim dan Encik Louis Chua.
Dalam jawapan bertulis kepada Berita Harian (BH) baru-baru ini, Encik Abdul Muhaimin berkongsi bahawa beliau sedang giat mempersiapkan diri untuk menyampaikan hujah sulungnya apabila Parlimen bersidang.
AP yang menerajui kawasan Compassvale itu berkata:
“Pengalaman sebagai AP sepenuh masa bagi penggal pertama (sejauh ini) bermanfaat kerana saya dapat memberikan dedikasi sepenuhnya kepada peranan dan tanggungjawab saya.
“Dengan Parlimen bersidang pada September, saya juga mempunyai waktu untuk membuat persediaan bagi ucapan sulung.”
Antara persiapan beliau sebelum memasuki Parlimen ialah mengambil kursus pembangunan dasar di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Beliau telah menamatkan kursus empat hari itu dan menyifatkannya sebagai pengalaman yang memperkaya ilmu pengetahuannya dalam pembentukan dasar awam, kata Encik Abdul Muhaimin dalam satu hantaran Facebook pada 22 Ogos.
Encik Abdul Muhaimin berkata beliau harus peka dengan metodologi dan proses pembentukan sesebuah dasar agar dapat meneliti dengan lebih dekat dasar sedia ada dan memastikan ia memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.
“Peranan saya, seperti yang telah diamanahkan rakyat menerusi keputusan (melalui) kotak undi, adalah untuk menjadi suara penduduk di Parlimen, dan saya akan lakukan yang terbaik bagi memastikan tiada warga Singapura tersisih,” katanya.
Berhubung isu yang menjadi tumpuannya, beliau merancang mengetengahkan dasar-dasar yang berteraskan keluarga.
“Pengalaman peribadi sebagai seorang yang baru bergelar ayah sudah tentunya dapat memberi pandangan berharga dan membantu saya mengenal pasti jurang terhadap mana-mana dasar yang mungkin perlu ditangani,” jelas anak sulung empat beradik itu.
Di samping itu, beliau turut menjelaskan bahawa latar belakangnya sebagai pengurus hartanah di bawah Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) selama hampir 10 tahun dan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan boleh dimanfaatkan untuk “meneliti rancangan pembangunan Singapura dari segi prasarana”.
Lulusan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu pernah bertugas sebagai Pengurus Kanan Hartanah di bawah AHTC sejak tamat pengajian pada 2015.
Menurut profil LinkedIn Encik Abdul Muhaimin, beliau mengundurkan diri daripada jawatan tersebut sejak Jun.
Ini memandangkan beliau turut dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Penganjur dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) WP – badan penggubal dasar utama parti itu – baru-baru ini.
Jika beliau memegang jawatan di bawah AHTC dan CEC WP pada satu-satu masa, ia boleh menimbulkan percanggahan kepentingan, ujarnya.
Encik Abdul Muhaimin turut menambah, beliau mahu menumpukan sepenuh perhatian pada tugasnya sebagai AP sepenuh masa.
“Tuntutan tinggi sebagai AP sepenuh masa memerlukan dedikasi yang tinggi untuk memahami keperluan penduduk, membuat persediaan demi tugas di Parlimen, dan mengimbangi tanggungjawab sedemikian dengan kehidupan keluarga, lebih-lebih lagi dengan kelahiran anak perempuan saya baru-baru ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau akur meskipun mempunyai pengalaman mengendali majlis bandaran, menyelia penduduk daripada segenap lapisan usia adalah cabaran yang agak berbeza.
Meskipun dianggap muka baru dalam kalangan AP GRC Sengkang, beliau sudah mula mencurahkan bakti di Compassvale sejak 2023.
Antara lain, Encik Muhaimin giat membantu dalam sesi bertemu penduduk (MPS) serta acara kemasyarakatan seperti pengagihan bubur Ramadan.
BH pernah melaporkan pada April penglibatan Encik Abdul Muhaimin dalam WP adalah lebih lama – sejak 2019.
Apabila GRC Sengkang dibentuk semasa GE2020, beliau terlibat dalam kempen WP dengan menjadi ejen mengundi dan ejen mengira undi.
Encik Abdul Muhaimin berkata: “Berbanding dengan pengalaman saya semasa di bawah AHTC, Sengkang amat unik kerana ia terdiri daripada blok kediaman yang lebih padat dan baru.
“Di sebalik demografi Sengkang yang rata-rata merangkumi golongan lebih muda, (tetap) lumrah untuk melihat penduduk warga senja bercampur gaul dan berkumpul bersama rakan-rakan di kedai kopi.”
Dari segi cabaran selaku AP penggal pertama sejauh ini, beliau perlu memahami teras isu yang dialami penduduk dan mencari penyelesaian terbaik bagi mereka.
Ini satu cabaran yang beliau sahut dengan rela dan hati terbuka demi berkhidmat kepada rakyat, katanya.
“Matlamat saya adalah untuk bantu membina landskap politik yang bersifat lebih terangkum dan seimbang, dengan semua suara (rakyat Singapura) didengari,” tambah beliau.
“
“Peranan saya, seperti yang telah diamanahkan rakyat menerusi keputusan (melalui) kotak undi, adalah untuk menjadi suara penduduk di Parlimen, dan saya akan lakukan yang terbaik bagi memastikan tiada warga Singapura tersisih.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg