Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semua motosikal baru mesti dilengkapi brek antikunci mulai Apr 2027

Sep 16, 2025 | 8:11 PM
motosikal, sistem brek antikunci, ABS, Apr 2027
Sistem brek antikunci mengurangkan risiko motosikal tergelincir. - Foto ST

Semua motosikal yang baru didaftarkan di Singapura mesti dilengkapi sistem brek antikunci (ABS) mulai 1 April 2027.

Sistem brek antikunci mengurangkan risiko motosikal tergelincir dengan mengawal tekanan brek dan mengekalkan kestabilan motosikal, semasa penunggang menekan brek secara mengejut.

Mengumumkan keperluan baru itu dalam satu kenyataan pada 16 September, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), menyatakan motosikal sedia ada yang tidak mempunyai sistem brek antikunci tidak perlu dipasang semula dengan sistem tersebut.

Sekitar separuh daripada motosikal di Singapura sudah pun dilengkapi sistem brek antikunci pada akhir 2024, lapor The Straits Times (ST).

LTA menambah bahawa industri motosikal mempunyai tempoh peralihan selama 18 bulan untuk menghabiskan stok motosikal sedia ada dan membawa masuk model baru yang dilengkapi sistem tersebut.

Dengan keperluan baru itu, Singapura akan menjadi negara Asean pertama yang mewajibkan pemasangan sistem brek antikunci pada semua motosikal baru, menurut LTA.

LTA menjelaskan langkah tersebut bertujuan meningkatkan keselamatan penunggang dan pembonceng motosikal, serta pengguna jalan raya lain.

Memetik satu kajian antarabangsa yang diterbitkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2020, LTA menyatakan motosikal yang dilengkapi sistem tersebut mempunyai kadar kemalangan maut 37 peratus lebih rendah, berbanding motosikal tanpa sistem itu.

Laporan keadaan trafik jalan raya tahunan Polis Trafik 2024 menunjukkan kemalangan maut yang melibatkan penunggang motosikal naik 20.8 peratus, manakala kematian penunggang dan pembonceng motosikal meningkat 25 peratus pada 2024, berbanding 2023.

Langkah terkini itu diambil selepas kemas kini dibuat kepada keperluan topi keledar motosikal, yang akan membolehkan lebih banyak topi keledar yang diluluskan, disediakan di Singapura mulai 1 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg