Di sebalik cabaran menarik generasi muda, beberapa penggiat seni dan budayawan menekankan bahawa seni tradisional Melayu bukan sekadar persembahan estetika, malah ia wadah untuk berdakwah, menanam nilai moral serta membina jati diri masyarakat.
Pengasas bersama Orkestra Sri Temasek (OrST), Encik Hanafi Idrus, berpendapat masyarakat Melayu perlu mewariskan seni dan budaya sendiri kepada anak bangsa kerana ia sebahagian daripada fitrah sebagai manusia.
Menurut Encik Hanafi, yang mesra dengan panggilan Afi Hanafi, jika manusia kehilangan salah satu aspek kehidupan seperti budaya, mereka akan menjadi kurang manusiawi.
“Kalau kita singkirkan budaya daripada kehidupan kita, apa yang tinggal? Kita akan jadi manusia yang tiada jiwa, tiada seni dan akhirnya pemikiran kita juga akan terjejas.
“Saya percaya, seperti yang sering disebut oleh para seniman, seni dan budaya inilah yang menjadikan kita lebih manusiawi,” kata Encik Hanafi, yang juga pengasas kumpulan persembahan syair Melayu klasik, Syairpura.
Di samping itu, penggiat budaya, Encik Muhammad Ilyia Kamsani, melihat seni tradisional Melayu sebagai wadah penting untuk membentuk jati diri dan nilai masyarakat.
Kumpulan seni, katanya, menunjukkan tradisi kita bukan sekadar hiasan estetika, tetapi wadah yang membawa nilai sejagat seperti hormat, integriti dan tanggungjawab sosial.
“Dengan menekankan nilai moral seperti rasa hormat, integriti dan tanggungjawab terhadap masyarakat, kumpulan ini bantu membentuk jati diri budaya bagi generasi muda Melayu yang berakar dan bermakna.
“Asas nilai bersama ini secara semula jadi memupuk semangat perpaduan yang lebih kukuh, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Melayu, tetapi juga dalam cara kita berinteraksi dengan masyarakat yang lebih luas,” jelasnya.
Sementara itu, pengasas bersama dan pengarah muzik OrST, Encik Megat Muhammad Firdaus Mohd, berharap lebih ramai anak muda akan memilih mendalami muzik Melayu sebagai bidang pengajian akademik.
Ini supaya Singapura dapat melahirkan lebih ramai pemuzik tradisional Melayu pada masa hadapan.
Dengan cara itu, beliau berharap pendedahan terhadap muzik tradisional Melayu dapat dikembangkan di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti.
“Afi dan saya sudah menjadi sebahagian daripada golongan penerus, dan kini kami perlu mencari pelapis pula.
“Kami sudah mengenal pasti beberapa pemuzik muda, tetapi masih belum pasti sama ada mereka mampu meneruskan legasi ini.
“Kami lihat dalam bidang tarian, pelapis memang ramai. Tapi dalam bidang muzik tradisional, masih sukar untuk dicari,” ujarnya.
Ahli jawatankuasa Persatuan Hadrah dan Kompang Singapura (Pehaks), Encik Muhammad Shahid Haron, berpendapat bahawa hadrah dan kompang mempunyai nilai unik – ia bukan sekadar seni persembahan, tetapi juga wadah dakwah.
Beliau berkata setiap lagu hadrah bermula dengan selawat dan berlandaskan dakwah. Liriknya, yang banyak diambil daripada kitab, pula memuji Allah swt dan Nabi saw.
“Tak semua orang lahir untuk jadi ustaz, tapi menerusi hadrah atau kompang, mereka tetap boleh berdakwah dan melestarikan budaya... ibarat dua dalam satu,” terangnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg