Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Senisini ingin sedia ruang seni lebih mesra bagi belia S’pura

Oct 5, 2025 | 5:30 AM
Syafiqah Yusof, senisini
Cik Iffah Syafiqah Yusof bertekad memperkenalkan seni kepada masyarakat dengan menyediakan ruang inklusif dan mesra, di mana belia boleh berkarya dan terlibat dalam kegiatan kreatif dalam suasana santai. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Seni sering dianggap sebagai sesuatu yang eksklusif – hanya untuk golongan tertentu atau mereka yang benar-benar berjiwa seni.

Namun, bagi Cik Iffah Syafiqah Yusof, 26 tahun, seni tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang ‘menggerunkan’.

Cik Iffah, yang kini bertugas sebagai penganalisis dan memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan daripada London School of Economics (LSE), England, mengakui pernah berasa janggal ketika mengunjungi galeri seni di London.

“Meskipun saya minat seni, ruang seperti itu tetap membuat saya rasa janggal.

“Lebih-lebih lagi, saya jarang sekali melihat orang yang serupa dengan diri saya berada di ruang seperti ini,” katanya kepada Berita Minggu (BM) baru-baru ini.

Pengalaman itu membangkitkan tekadnya untuk mewujudkan ruang seni yang lebih mesra dan terbuka.

Setibanya di Singapura dan memulakan kerjaya dalam bidang korporat sebagai penganalisis, Cik Iffah memutuskan untuk mencari jalan supaya dapat terus berkarya dan menyalurkan minatnya dalam bidang seni.

Justeru, beliau memutuskan untuk mengumpulkan beberapa rakan dan menubuhkan Senisini – singkatan bagi “seni di sini”.

Projek itu dijalankan oleh 13 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang.

Matlamat utama Senisini adalah untuk memasyarakatkan seni, dengan menyediakan ruang terbuka dan inklusif bagi belia menzahirkan kreativiti mereka, sama ada melalui lukisan, susunan bunga, mengait, atau bentuk seni lain.

Bagi Cik Iffah, inisiatif seperti itu penting supaya semua lapisan masyarakat berpeluang terlibat dan merasai pengalaman seni secara langsung.

‘Kelab seni’ Senisini – yang biasanya diadakan secara bergerak atau ‘pop-up’ di kawasan berbeza seperti Haji Lane, rumah kedai atau kolong blok – menyediakan ruang tidak formal bagi peserta berkarya dengan selesa.

Bahan disediakan secara percuma dan peserta digalak melukis atau menghasilkan karya seni masing-masing, atau sekadar duduk dan memerhati.

“Saya sedar apa yang dirasakan golongan belia dalam dunia kreatif dan cabaran untuk terus berkarya di Singapura.

“Kami tahu jenis ruang yang diperlukan dalam dunia seni untuk menjadikannya lebih mesra, dan apabila diberikan kebebasan untuk mewujudkan ruang seperti itu, di situlah kesan sebenar kepada masyarakat akan tercapai,” katanya.

Sejak ditubuhkan, Senisini telah berkembang meliputi kelab filem dan juga sesi ‘Show & Tell’ di mana peserta boleh membentangkan karya seni mereka – sama ada portfolio reka bentuk grafik ataupun filem ringkas yang dihasilkan.

Namun bagi Cik Iffah, nilai terbesar Senisini ialah keupayaannya mewujudkan ruang bersama yang selamat.

Beliau berharap dengan mengurangkan halangan untuk berkarya, Senisini dapat membantu membina budaya kreatif yang lebih inklusif di Singapura.

Menjelang hujung 2025, Senisini dijangka menganjurkan beberapa program di bawah inisiatif senisomethingnew bersama Wisma Geylang Serai.

Inisiatif itu bertujuan menyatukan budaya dan warisan melalui kegiatan seni bagi orang awam.

Antara kegiatan yang ditawarkan termasuk mewujudkan ruang mendengar, untuk memperkenalkan semula belia kepada muzik Melayu klasik serta bengkel berkaitan tanda dan simbol yang terdapat di kedai-kedai sekitar Geylang Serai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg