Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengalaman pahit jadi pendorong belia tubuh rangkaian relawan

Usahawan, pengasas IM Volunteer Network SG gembleng tenaga lebih 400 relawan muda S’pura, M’sia, Indonesia
Oct 5, 2025 | 5:30 AM
Muhammad Imran Mean, IM Volunteer Network SG
Encik Muhammad Imran Mean berkongsi perjalanannya menubuhkan IM Volunteer Network SG yang mempunyai lebih 400 relawan di Singapura, Malaysia dan Indonesia bersama hos dan penerbit podcast NoTapis, Cik Natasha Mustafa. - Foto B Moleh KHALID BABA

Kisah hidup Encik Muhammad Imran Mean, 24 tahun, adalah bukti bahawa pengalaman pahit boleh menjadi pendorong untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Sebagai seorang remaja, Encik Imran pernah melalui saat sukar apabila dibuli hingga menyebabkan kemurungan dan pengasingan diri selama lapan bulan.

Keadaan di rumah juga tidak membantu.

Beliau dan keluarganya tinggal di sebuah rumah perlindungan yang sempit, di mana lima anggota keluarga terpaksa berkongsi satu katil dalam sebuah bilik kecil.

Mengimbau kembali kisah silam tersebut, anak sulung dua beradik yang masih bujang itu mengakui ia amat berat untuk dilalui.

Titik perubahan dalam hidup Encik Imran berlaku apabila beliau bertukar sekolah menengah.

Individu yang dahulunya pemalu itu mula menjadi lebih berani dan yakin selepas diberikan peranan kepimpinan berbeza.

“Ketika itu saya rasa seperti saya tidak mempunyai sebab untuk meneruskan kehidupan.

“Tetapi apabila diberikan peranan kepimpinan berbeza, seakan guru saya telah menggilap potensi yang baru dalam diri saya,” kata beliau, yang pernah memegang pelbagai jawatan termasuk pengawas sekolah dan pemimpin pelajar.

Semangat berkhidmat di sekolah kemudian beralih kepada kerja kemasyarakatan ketika beliau melanjutkan pelajaran dalam pengajian kembara dan pelancongan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat.

Dorongan untuk membantu orang lain akhirnya mencetuskan idea bagi Encik Imran menubuhkan rangkaian sukarelawan, IMVolunteer Network SG (IMVN), pada 2020.

“Apabila saya mula dulu, niat saya mudah saja.

“Saya teringat masa saya sendiri, bila tiada apa-apa, jadi saya fikir, jika saya ada sedikit peluang untuk bantu orang lain, saya mesti gunakan peluang itu,” jelas beliau, yang baru menamatkan pengajian Diploma Pembangunan Masyarakat di Politeknik Ngee Ann (NP).

Apa yang bermula sebagai usaha untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, kini telah berkembang menjadi sebuah rangkaian dengan lebih 400 sukarelawan belia di Singapura, Malaysia dan Indonesia.

“IMVN bukan sekadar menghulur bantuan, malah mengembalikan semangat kepada masyarakat, terutamanya belia yang berasa tiada jalan keluar,” tambanya.

Di Singapura, Encik Imran telah berjaya melibatkan lebih 400 sukarelawan belia dalam lebih 250 inisiatif masyarakat.

Rangkaian IMVN juga mengembangkan sayapnya ke Malaysia.

Sejak pasukan di Malaysia ditubuhkan pada Jun 2023, mereka telah mengagihkan makanan percuma kepada lebih 2,000 individu dengan pelbagai latar belakang, termasuk gelandangan dan masyarakat Dayak.

Usaha itu merangkumi negeri dan kawasan seperti Johor, Melaka, Kuala Lumpur, Pulau Ketam dan Kelantan.

Inisiatif Encik Imran turut mendapat perhatian sehingga beliau menerima pengiktirafan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Saya pernah tinggal di Johor, dan saya sendiri melihat bagaimana kehidupan di jalanan tidak banyak berubah walaupun selepas bertahun-tahun.

“Dari situ saya fikir, pasti ada sesuatu yang boleh kita lakukan,” kata Encik Imran.

Tidak berhenti di Malaysia, IMVN telah memperluaskan usaha mereka ke Indonesia pada Jun 2025.

Tumpuannya adalah untuk membantu masyarakat di Batam, khususnya penduduk Rumah Ruli, sebuah kawasan perumahan yang dibina secara tidak rasmi dengan kemudahan terhad.

Di sana, IMVN bekerjasama dengan sukarelawan tempatan untuk mengagihkan makanan percuma, pakaian terpakai dan menganjurkan program pembangunan masyarakat untuk kanak-kanak.

Selain menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, IMVN turut menyediakan peluang kepada belia untuk mendapatkan kemahiran praktikal dan pengalaman kerja.

Melalui kerjasama dengan perniagaan sosial di bawah Kumpulan Signaturesofimran, sukarelawan berpeluang menjana pendapatan tambahan.

Encik Imran berperanan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan tersebut.

Antara perniagaan sosial terbaru yang ditubuhkan adalah Warung Dimsum di Blok 925 Yishun, yang menjual menu unik seperti Pau Ayam Ketumbar, Siew Mai Ayam dan Har Gow Udang.

“Saya mahu belia bukan sahaja menjadi sukarelawan, malah memperoleh sesuatu untuk diri sendiri,” ujar Encik Imran.

“Sama ada kemahiran, sijil, atau sedikit wang saku.

“Daripada situ, mereka akan lebih yakin dan bersedia menghadapi apa jua cabaran pada masa hadapan,” tambahnya.

“IMVN (IM Volunteer Network SG) bukan sekadar menghulur bantuan, malah mengembalikan semangat kepada masyarakat, terutamanya belia yang berasa tiada jalan keluar.”
Encik Muhammad Imran Mean, pengasas IM Volunteer Network SG.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg