Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurutera muda satukan belia, bina masyarakat bersukan melalui Salaam Sports

Oct 5, 2025 | 5:30 AM
Salaam Sports, Cik Hairawanie Hairudinsah
Sebagai pengasas Salaam Sports, Cik Hairawanie Hairudinsah menggunakan pengalamannya dalam bersukan untuk mewujudkan ruang bagi belia berkumpul, bersaing secara sihat dan menjalin persahabatan melalui pelbagai kegiatan sukan. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi Cik Hairawanie Hairudinsah, sukan bukan sekadar hobi.

Pada usia 26 tahun, jurutera mekanikal di syarikat perundingan, Arup Singapore Pte Ltd, itu sudah lama menanam semangat sukan sejak zaman remajanya.

Di sekolah menengah, beliau aktif bermain bola keranjang, dan sehingga 2024, Cik Hairawanie masih bersaing dalam sukan bola lantai.

“Saya boleh digelarkan sebagai seorang yang ‘sporty’.

“Tapi saya selalu terfikir bagaimana cara terbaik untuk berkongsi minat saya dalam sukan dan menggalakkan lebih ramai orang bersukan,” tambahnya.

Daripada idea itu lahirlah Salaam Sports, inisiatif akar umbi yang bertujuan menyatukan belia daripada pelbagai latar belakang.

Sejak 2023, Salaam Sports menjadi wadah untuk golongan belia berkumpul, beriadah dan membina jalinan melalui pelbagai kegiatan sukan.

Sesi bersukan itu diadakan setiap bulan dan menawarkan peluang bagi orang awam mencuba sukan yang berlainan seperti bola sauk (lacrosse) dan dodgeball.

Jenis sukan yang diadakan pada bulan itu akan diumumkan melalui wadah media sosial Salaam Sports di Instagram dan Telegram.

Ditanya mengenai semangat “Kita Dahulu”, lulusan Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu berkata inisiatif tersebut memberi makna yang lebih mendalam pada sesi sukan yang dijalankan.

Menurut Cik Hairawanie, program seperti itu menyediakan ruang yang inklusif untuk semua.

“Sukan adalah kegiatan yang inklusif. Melalui pergaulan dengan orang ramai, ia juga memberi golongan belia motivasi untuk mengamalkan gaya hidup aktif,” jelas anak sulung daripada tiga beradik itu.

Sejak memulakan inisiatif tersebut, beliau menyaksikan ramai belia berusia 20 hingga 30 tahun mengambil bahagian dalam kegiatan yang dianjurkan oleh Salaam Sports.

Kini, Salaam Sports turut menjadi wadah bagi anak muda mengembangkan jaringan sosial dan menjalin persahabatan secara santai.

Dengan sesi yang kini diadakan secara percuma sekali sebulan, Cik Hairawanie berharap Salaam Sports akan terus berkembang dari segi skala pada masa hadapan.

Beliau berhasrat memperluaskan inisiatif itu ke lebih banyak kawasan kejiranan di seluruh Singapura, malah suatu hari nanti, menganjurkan sesi khas untuk warga emas.

Namun, bagi merealisasikan impian itu, beliau berharap dapat menjalin kerjasama dengan pihak pemerintah.

“Jika inisiatif seperti Salaam Sports dapat bekerjasama dengan pihak pemerintah, kesannya lebih besar.

“Lokasi dan sokongan kewangan akan membolehkan kami menganjurkan lebih banyak kegiatan secara lebih kerap,” katanya.

Dengan tekad untuk menyediakan ruang sukan untuk semua, Cik Hairawanie menegaskan bahawa beliau akan terus mengusahakan inisiatif itu selagi ia memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya berharap Salaam Sports dapat diteruskan bertahun-tahun lamanya.

“Kami akan teruskan inisiatif ini selagi ada yang mendapat manfaat daripadanya,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg