Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sentiasa bersedia urus panggilan perubatan di Tanah Suci

Jul 5, 2024 | 6:24 PM
Dr Mumtaz Mohamed Yusoff, 33 tahun, menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Perubatan pasukan perubatan Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ketika menguruskan jemaah haji Singapura di Arab Saudi antara 8 Jun dengan 1 Julai.
Dr Mumtaz Mohamed Yusoff, 33 tahun, menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Perubatan pasukan perubatan Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ketika menguruskan jemaah haji Singapura di Arab Saudi antara 8 Jun dengan 1 Julai. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sepanjang lebih tiga minggu memimpin pasukan yang ditugaskan untuk menjaga kesihatan jemaah haji Singapura di Arab Saudi, lebih separuh daripada tempoh itu, pasukan tersebut mengendali sekurang-kurangnya satu panggilan perubatan setiap hari.

Demikian antara pengalaman yang dilalui Ketua Pegawai Perubatan (CMO), Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Dr Mumtaz Mohamed Yusoff, 33 tahun, lebih-lebih lagi memandangkan kesemua 900 jemaah haji Singapura melaksanakan rukun Islam itu di bawah cuaca ekstrem.

Dr Mumtaz, yang menggalas tugas itu antara 8 Jun hingga 1 Julai, berkata ia merupakan amanah yang rela beliau penuhi demi kemaslahatan tetamu undangan istimewa ke Tanah Suci itu.

“Ketika membesar, saya telah menerima banyak bantuan daripada masyarakat jadi ini satu peluang bagi saya membalas budi,” kata Dr Mumtaz, 33 tahun, yang pernah dilaporkan media membesar dalam keluarga susah.

“Harapan untuk menerima ganjaran daripada Allah swt juga mendorong saya berkhidmat kepada jemaah,” kata beliau, penerima biasiswa dan siswazah jurusan perubatan Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2015.

Menurut Dr Mumtaz, tugas pasukannya adalah memantau keadaan kesihatan jemaah haji Singapura secara kerap dan memastikan pengendalian operasi klinik – daripada tahap rujukan, rawatan dan pengagihan ubat – berjalan lancar.

Pasukan perubatan SPAO itu merangkumi tiga pegawai perubatan, dua jururawat dan empat pegawai yang mengendali urusan pentadbiran dan operasi haji.

Pasukan itu bekerjasama dengan lagi 12 pegawai perubatan Arab Saudi daripada syarikat MEDEX.

Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim (depan, empat dari kanan), dan Ketua Pegawai Perubatan, SPAO, Dr Mumtaz Mohamed Yusoff (depan, dua dari kanan), bergambar bersama pasukan SPAO dan pasukan MEDEX dari Arab Saudi.
Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim (depan, empat dari kanan), dan Ketua Pegawai Perubatan, SPAO, Dr Mumtaz Mohamed Yusoff (depan, dua dari kanan), bergambar bersama pasukan SPAO dan pasukan MEDEX dari Arab Saudi. - Foto MUIS

Tugas bermula pada 7 pagi setiap hari, kata Dr Mumtaz, dengan pasukannya perlu memantau kesihatan jemaah, dan berhubung dengan ejen penjualan (GSA) pakej haji dan umrah yang mengendali kelompok-kelompok jemaah.

Klinik beroperasi dari 8 pagi hingga 11 malam.

Di luar tempoh tersebut, pegawai perubatan SPAO perlu sentiasa bersedia mengendali kes kecemasan jika berlaku.

Pegawai SPAO membuat pemeriksaan ke atas seorang jemaah di klinik SPAO.
Pegawai SPAO membuat pemeriksaan ke atas seorang jemaah di klinik SPAO. - Foto MUIS

“Pasukan perubatan kami selalunya bangun pada waktu fajar, dan kadangkala dibangunkan pada tengah malam kerana ada panggilan cemas.

“Pada hari yang sibuk di klinik, kami hanya dapat berehat selepas 12 tengah malam atau 1.30 pagi sehingga laporan harian diselesaikan,” jelasnya.

Dr Mumtaz berkata tugasnya di Arab Saudi semakin sibuk semasa jemaah berwukuf – iaitu ibadah yang dilakukan semasa jemaah berada di Arafah pada 15 Jun, bersamaan 9 Zulhijah, dan juga semasa tempoh melontar jamrah di Mina.

“Kami menerima satu atau dua panggilan setiap hari sejak Arafah,” kata Dr Mumtaz.

Ini disebabkan cuaca panas dan juga rasa letih yang dialami jemaah, katanya.

Cuaca pada ketika itu dilaporkan mencecah lebih 40 darjah Celsius.

Namun rata-rata semuanya kes ringan.

Dalam rumusannya setelah selesai ibadah haji pada penghujung Jun, Ketua Delegasi Haji Singapura 2024, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri, berkata tiada jemaah Singapura yang terjejas teruk akibat cuaca panas terik itu.

Seorang jururawat SPAO, Cik Sabariah Mohd Said (merah jambu), membantu seorang ahli jemaah.
Seorang jururawat SPAO, Cik Sabariah Mohd Said (merah jambu), membantu seorang ahli jemaah. - Foto MUIS

Dr Mumtaz juga berkata pasukannya telah membuat persiapan sejak Februari – sekitar empat bulan sebelum berangkat ke Arab Saudi dari segi fizikal dan mental.

Ini termasuk menjalani latihan bersama pegawai kebajikan untuk melakukan simulasi bagi mengendali beberapa senario kecemasan yang boleh berlaku sewaktu haji, selain membuat senaman secara kerap bagi kecergasan jasmani yang baik sebelum haji.

“Kami juga perlu menyediakan diri dari segi mental terhadap persekitaran pekerjaan yang mencabar, waktu bertugas yang lama, dan sentiasa bersedia menyesuaikan diri kepada keadaan yang mudah berubah dengan cepat,” kata Dr Mumtaz lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg