Murid darjah enam, Renee Er, 12 tahun, berikrar untuk berjalan lebih banyak berbanding menaiki kereta, serta memadamkan lampu apabila keluar dari bilik untuk menjimatkan tenaga.
Ia merupakan sebahagian daripada 30 ikrar yang dibuat murid sekolah rendah pada 16 Julai semasa pelancaran pameran kemampanan bergerak baru Sentosa di Sekolah Rendah Corporation di Jurong West.
Pelancaran itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial.
Pameran yang dimuatkan dalam sebuah lori berwarna jingga terang yang telah diubah suai itu akan melawat sekolah rendah selama setahun setengah akan datang.
Ia bertujuan mendidik murid tentang amalan hidup lebih mampan – termasuk cara hidup, makan dan bermain – yang dapat mengurangkan jejak karbon mereka, lapor The Straits Times (ST).
Di pameran itu, murid diberikan kad markah dan diperkenalkan dengan pilihan makanan, tabiat gaya hidup, kaedah perjalanan atau kegiatan yang boleh ditemui di pulau peranginan Sentosa.
Setiap pilihan mempunyai markah berbeza berdasarkan sejauh mana ia mesra alam sekitar dan mereka akan mengumpul mata kemampanan berdasarkan pilihan yang dibuat.
Murid yang telah melengkapkan kad markah mereka boleh menebus sebuah buku cerita karya penulis tempatan, Cik Ruth Wan-Lau, berjudul Timmy And Tammy At Sentosa, apabila mereka melawat pulau tersebut.
Selain pameran tersebut, terdapat lima stesen kegiatan di mana para pelajar boleh membuat rantai kunci, atau keychain, menggunakan sepanduk terpakai Sentosa, menulis ikrar untuk menjalani kehidupan dengan lebih mesra alam sekitar dan mengasingkan plastik yang dibawa dari rumah.
Penolong Ketua Eksekutif Sentosa Development Corporation, Encik Lee Cheh Hsien, berkata pihaknya ingin “mendekati golongan yang belum pernah melawat Sentosa” dan berharap pameran itu dapat “memberi pemahaman yang lebih mendalam tentang apa yang telah dipelajari di sekolah”.
Meskipun pameran itu disasarkan kepada sekolah rendah, Encik Lee berkata Sentosa turut mengadakan lawatan pembelajaran yang disesuaikan bagi golongan usia lain.
Ini termasuk lawatan ke Siloso Beach Resort, di mana para peserta dapat belajar tentang proses menghasilkan kompos makanan menggunakan tong cacing, serta mengikuti kelas tanaman berpasu.
Selain itu, terdapat juga program lawatan menjelajah pulau-pulau pesisiran Singapura, Uncovering Singapore Coasts, di Singapore Oceanarium.
Tarikan itu sebelum ini dikenali sebagai S.E.A. Aquarium dan akan dibuka semula kepada orang ramai mulai 24 Julai.
Bagi Renee, melihat obor-obor di Singapore Oceanarium merupakan kegiatan kegemarannya di Pulau Sentosa.
Jika berpeluang melawat pulau itu lagi, Renee berkata dia akan cuba untuk tidak menaiki kereta, sebaliknya akan berjalan kaki dari pusat beli-belah VivoCity ke sana.
“Saya belajar banyak perkara di pameran hari ini. Ia sangat menyeronokkan dan menarik,” ujar Renee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg