Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sentosa tingkat biodiversiti, peruntuk koridor hijau bagi rama-rama biak

Jun 20, 2024 | 3:23 PM
Cik Thien Kwee Eng (kanan) dan Encik Khew Sin Khoon menanam pokok dalam penanaman istiadat di Sentosa pada 19 Jun.
Cik Thien Kwee Eng (kanan) dan Encik Khew Sin Khoon menanam pokok dalam penanaman istiadat di Sentosa pada 19 Jun. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dalam usaha meningkatkan jumlah rama-rama – serangga penting dalam ekosistem bagi mempertingkat biodiversiti – di pulau Sentosa, satu ruang hijau terdiri daripada lebih 3,000 spesies tumbuh-tumbuhan yang dipilih khas untuk menarik serangga itu telah diperuntukkan.

Selain menjadi sumber makanan buat ulat bulu, tumbuh-tumbuhan itu menyediakan rama-rama tempat untuk bertelur, dan menjadi sumber makanan buat burung dan lebah.

Koridor hijau seluas 500 meter persegi itu yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan seperti Marsh Holly dan Malayan Ixora, menghubungkan ruang alam semula jadi Imbiah dengan tarikan Sentosa Sensoryscape, yang turut menempatkan beberapa spesies tumbuh-tumbuhan yang menarik rama-rama.

Langkah ini lantas memudahkan pergerakan bebas rama-rama ke ruang hutan lain di Sentosa, kepulauan Selatan (Pulau Sekijang Bendera and Pulau Sekijang Pelepah) dan di tanah besar Singapura.

Pada 19 Jun, Cik Thien Kwee Eng, ketua pegawai eksekutif Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC), dan Encik Khew Sin Khoon, pengkaji rama-rama yang juga mesra dengan panggilan ‘Butterfly man’ oleh masyarakat setempat, menerajui penanaman istiadat di luar restoran 1-Flowerhill di Sentosa.

Terletak berdekatan dengan Stesen Imbiah, koridor tersebut dibuka kepada orang awam secara percuma.

Koridor hijau bagi rama-rama menghubungkan ruang alam semula jadi Imbiah dengan tarikan Sentosa Sensoryscape, 
Koridor hijau bagi rama-rama menghubungkan ruang alam semula jadi Imbiah dengan tarikan Sentosa Sensoryscape,  - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Menurut Encik Khew, rama-rama merupakan serangga penting untuk proses pendebungaan, dan juga menajdi sumber makanan untuk serangga dan binatang lain.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kajian menunjukkan bahawa rama-rama merupakan penunjuk sekitaran yang baik bagi perubahan iklim dan kesihatan alam sekitar. Tumbuh-tumbuhan dan rama-rama berkait rapat. Lebih banyak kepelbagaian yang anda lihat dalam rama-rama bererti kesihatan hortikultur tumbuh-tumbuhan anda dalam alam sekitar juga baik,” kongsi pengasas ButterflyCircle itu kepada media.

Beliau menambah bahawa rama-rama “cerewet” tentang tumbuh-tumbuhan, dan jika jenis tumbuh-tumbuhan itu ditiadakan, rama-rama tersebut boleh pupus.

Encik Khew akui bahawa ada sesetengah orang yang suka akan rama-rama tetapi tidak mahu ulat bulu kerana ulat bulu tersebut memakan daun-daun di pokok.

Bagaimanapun, beliau berkata kehadiran ulat bulu adalah penting kerana itulah proses sebelum serangga itu menjadi rama-rama.

SDC telah mengenal pasti tapak biodiversiti penting bersaiz lebih 40 hektar di Sentosa, seperti kawasan alam semula jadi Imbiah, termasuk 23 pokok-pokok warisan.

Koridor rama-rama itu bertujuan membantu pertumbuhan jumlah rama-rama, termasuk pemulihan spesies yang terancam dan mudah terjejas dengan menyediakan habitat lebih besar untuk rama-rama membiak di pulau tersebut.

Ruang hijau yang disediakan itu terdiri daripada 30 spesies tumbuh-tumbuhan berbeza yang dipilih disebabkan manfaat ekologinya dan kemampuannya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan setempat.

Rancangan jangka panjang SDC bagi koridor rama-rama termasuk mengadakan lawatan pendidikan supaya dapat berkongsi tentang usaha kemampanan Sentosa dan inisiatif sains rakyat bagi memantau jumlah rama-rama. – NUR HUMAIRA SAJAT

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg