Topik diikuti
Pergi ke BHkuSeorang individu disah hidap TB aktif selepas saringan di Bedok
Seorang individu disah hidap TB aktif selepas saringan di Bedok
Seorang individu disah hidap TB aktif selepas saringan di Bedok
Latihan saringan tuberkulosis (TB) di Bedok Central telah selesai, dengan seorang individu setakat ini disahkan menghidap penyakit TB aktif, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), pada 19 Mei.
Individu tersebut telah memulakan rawatan, berada dalam keadaan baik, dan tidak lagi berjangkit selepas melengkapkan rawatan dua minggu, katanya.
CDA menambah pengesanan kontak sedang dijalankan bagi mengenal pasti dan menilai kontak rapatnya.
Seramai 3,525 penyewa, pekerja dan individu yang sering mengunjungi Heartbeat@Bedok, Pusat Makanan & Pasar Blok 216 Bedok, dan Pusat Perjudian Singapore Pools Bedok di Blok 215, telah menjalani saringan TB sejak 2 Mei.
Daripada jumlah tersebut, 14.4 peratus, atau 509 individu, memperoleh keputusan ujian darah yang positif dan memerlukan pemeriksaan x-ray dada selepas itu.
Daripada 447 individu yang menjalani pemeriksaan x-ray dada, seorang daripadanya didapati menghidap TB aktif dan berkemungkinan berjangkit.
Penghidap TB aktif mungkin mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, demam berterusan, peluh malam, penurunan berat badan, keletihan, sakit dada dan dalam kes jarang berlaku, darah dalam kahak.
Seramai 42 individu lain mungkin tidak menghidap TB aktif, tetapi akan menjalani penilaian lanjut di Pusat Penjagaan Tuberkulosis Kebangsaan selepas kelainan kecil dikesan pada x-ray mereka.
Seramai 404 individu mempunyai keputusan x-ray normal tetapi mungkin menghidap jangkitan TB pendam, yang bermaksud mereka pernah dijangkiti sebelum ini.
Penghidap jangkitan TB pendam tidak mempunyai gejala dan tidak boleh menyebarkannya kepada orang lain. Namun, bakteria tersebut kekal tidak aktif dalam badan, dan boleh menjadi aktif beberapa bulan atau bertahun-tahun kemudian akibat sistem imun yang lemah, keadaan perubatan tertentu atau sebab-sebab lain.
CDA akan menghubungi baki 62 individu di klinik Persatuan Anti-Batuk Kering Singapura (Sata) CommHealth Bedok atau Pusat Pemeriksaan Tuberkulosis Kebangsaan. Saringan serta ujian lanjut terus ditawarkan secara percuma sehingga 5 Jun, katanya.
TB ialah penyakit endemik di Singapura. Ini bermakna penyakit itu sentiasa wujud dan tidak hilang sepenuhnya.
CDA menyatakan kadar penyakit TB aktif dan jangkitan TB pendam yang dikesan melalui saringan di Bedok adalah dalam jangkaan.
Pada 2024, terdapat 1,156 kes baharu TB aktif dalam kalangan penduduk Singapura, dengan kadar kejadian sebanyak 27.6 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Jangkitan TB pendam juga bukan sesuatu yang luar biasa di sini, dengan kadar sehingga 30 peratus dalam kalangan kumpulan usia lebih tua.
