Seorang mangsa kebakaran terkorban menyusuli satu kebakaran di sebuah flat di Lorong Limau.
Satu catatan Facebook Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada 6 Mei, menyatakan pihaknya telah dimaklumkan tentang satu kebakaran di Blok 76, Lorong Limau sekitar 2.30 pagi itu.
“Setibanya SCDF (di tempat kejadian), api yang marak kelihatan di sebuah unit di tingkat enam (blok tersebut).
“Para pegawai bomba menjalankan usaha untuk masuk ke unit itu secara paksa,” kata SCDF.
Kebakaran itu yang menjejas seluruh unit tersebut, dipadamkan para pegawai bomba dari Balai Bomba Central dan Balai Bomba Bishan menggunakan dua jet air.
“Dua orang ditemui dalam sebuah bilik utiliti di kawasan dapur dan diselamatkan oleh para pegawai bomba. Mereka kemudian dihantar ke Hospital Besar Singapura (SGH).
“Seorang lagi ditemui dalam salah sebuah bilik tidur dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik SCDF,” tambah catatan itu.
Sekitar 200 orang daripada unit-unit berdekatan telah dipindahkan oleh polis dan SCDF sebagai langkah berjaga-jaga.
Punca kebakaran masih disiasat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg