Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sepasang merak jenguk kondo di tingkat 16 di Balestier

Dec 2, 2024 | 7:28 PM
Sepasang burung merak merupakan tetamu yang tidak dijangka apabila mereka menjenguk unit kediaman sepasang suami isteri yang terletak di tingkat teratas sebuah kondominum di Balestier pada 27 November.
Sepasang burung merak merupakan tetamu yang tidak dijangka apabila mereka menjenguk unit kediaman sepasang suami isteri yang terletak di tingkat teratas sebuah kondominum di Balestier pada 27 November. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK CRAIG WYLIE

Sepasang suami isteri yang tinggal di sebuah kondominium di Balestier menerima tetamu yang tidak dijangka apabila dua burung merak berwarna-warni menjenguk unit mereka di tingkat 16 pada 27 November.

Dalam satu video disiarkan oleh pengguna Facebook yang dikenali sebagai Encik Craig Wylie dalam kumpulan Singapore Wildlife Sightings pada 28 November, kedua-dua burung itu dilihat mematuk tumbuhan dalam pasu di halaman rumahnya sambil memerhati persekitaran mereka.

Encik Wylie memberitahu akhbar The Straits Times (ST) bahawa beliau pada mulanya terperasan bayang salah seekor burung itu pada petang 27 November, dan menyangka ia tersekat atau mahu bersarang.

“Saya memutuskan untuk memeriksa pada waktu pagi kerana saya rasa saya akan menakutkannya pada tengah malam,” kata Encik Wylie, 50 tahun, yang bekerja dalam industri logistik.

Alangkah terkejutnya apabila beliau mendapati kededua burung merak berkeliaran di halaman rumahnya pada keesokan hari.

“Saya sungguh gembira dapat melihat mereka,” katanya.

Encik Wylie memperhatikan kededua burung merak tersebut dari sebalik tingkap kaca gelap rumahnya untuk mengelak daripada menakutkan burung itu.

Menurutnya, kededua burung merak itu berhenti di setiap tumbuhannya dan memakan beberapa beri dan bijiran.

Beliau menambah bahawa burung tersebut kelihatan cukup sihat dan tidak panik.

Pada hari sama, sekitar 12.30 tengah hari, Encik Wylie mendapati kededua burung itu telah beredar ke kondominium bersebelahan.

“Saya gembira melihat mereka di tingkat satu selepas mereka beredar dari rumah saya.

“Saya dan isteri saya, Yingqiu, menantikan kunjungan mereka yang seterusnya,” katanya.

Dr Rina Maguire, seorang pakar veterinar burung dan haiwan eksotik dari Beecroft Bird & Exotics Veterinary Clinic yang terletak di Alexandra Road, memberitahu ST bahawa adalah “mustahil dari segi fizikal” bagi burung merak terbang secara berterusan hingga ke tingkat 16 sesebuah bangunan.

Menurut panduan burung dalam talian, Birdfact, burung merak biasanya terbang sehingga ketinggian 8 meter, atau kira-kira dua tingkat, dalam satu percubaan.

Mengambil kira ketinggian unit Encik Wylie, Dr Maguire, yang sudah bertugas sebagai doktor haiwan selama lebih 18 tahun, berkata tidak mungkin burung merak itu terbang masuk dari prasarana berhampiran.

“Walaupun ia tidak masuk akal, burung merak itu mungkin memasuki bangunan itu dan sampai ke tingkat 16 sama ada melalui lif atau tangga,” katanya.

Dr Maguire juga berkata burung merak itu mungkin pernah berada dalam bangunan tersebut sebelum ini, memandangkan ia kelihatan selesa dalam video Encik Wylie.

“Ada kemungkinan burung merak itu dijinakkan dan sudah biasa tinggal berhampiran manusia,” tambah Dr Maguire.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg