Topik diikuti
Pergi ke BHkuSeramai 482 graduan IPIP diraikan susulan tamat pengajian Islam
Seramai 482 graduan IPIP diraikan susulan tamat pengajian Islam
Seramai 482 graduan telah menamatkan pengajian mereka di Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP) dan diraikan sewaktu Majlis Konvokesyen IPIP pada 7 November di Auditorium Stephen Riady, NTUC Centre.
Majlis Konvokesyen yang diadakan buat kali keenam itu bertujuan untuk merai dan menghargai kesungguhan para graduan dalam pengajian, bimbingan asatizah serta sokongan padu keluarga sepanjang pengajian.
Seramai 155 graduan yang telah hadir untuk menerima sijil masing-masing.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Mufti Singapura, Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar selaku tetamu kehormat.
Menurut satu kenyataan media oleh IPIP, graduan yang diraikan sewaktu majlis konvokesyen tersebut berusia 16 tahun dan ke atas dan terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya.
“Kepelbagaian ini mencerminkan semangat pembelajaran sepanjang hayat serta kesungguhan mendalami ilmu agama sambil menggalas tanggungjawab masing-masing.
“Konvokesyen ini menjadi wadah menzahirkan kesyukuran kepada Allah, di samping menghargai ketekunan para graduan, bimbingan para asatizah dan sokongan keluarga sepanjang pengajian,” kata IPIP.
Sebagai satu pusat pengajian Islam di Singapura, IPIP meneruskan amanah serta legasi pendidikan yang dirintis oleh asatizah dan pengasas Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dengan menyediakan laluan pengajian Islam secara bertahap daripada peringkat sijil seperti Sijil Pengajian Islam (SPI) hingga Diploma Pengajian Islam (DPI).
Dalam kenyataan media yang sama, IPIP berkongsi, laluan pengajian itu terus diperkukuh melalui pembangunan program pengajian baharu iaitu Sarjana Muda Pengajian Islam dengan tumpuan kepada dakwah dan kepimpinan.
Program pengajian tersebut merupakan program sarjana muda pertama yang ditawarkan oleh IPIP sendiri.
Ia berbeza dengan program ijazah yang dijalankan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) sebelum ini.
Justeru, bagi program sarjana muda yang dibangunkan sendiri oleh IPIP itu, ia berteraskan tradisi keilmuan Islam dengan penekanan terhadap pembentukan graduan yang berilmu lagi beradab serta mampu menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Berteraskan nilai ilmu, adab, hikmah, adil dan amal, pendidikan di IPIP menekankan kepentingan mengiringi ilmu dengan adab dan amalan serta memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat ke arah pembentukan khaira ummah (sebaik-baik umat).
“Melaluinya, IPIP berhasrat membimbing pelajar mengamalkan ilmu dengan hikmah serta membina keupayaan untuk berdakwah, memimpin dan berkhidmat kepada masyarakat,” tambah IPIP.