Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita maut diserang pisau di Yishun, lelaki ditahan

Sep 24, 2025 | 5:01 PM
Seorang penduduk, Encik Koh, berkata terdapat pertelingkahan antara mangsa yang merupakan pasangan suami isteri dan seorang lelaki yang merupakan jiran mereka.
Seorang penduduk, Encik Koh, berkata terdapat pertelingkahan antara mangsa yang merupakan pasangan suami isteri dan seorang lelaki yang merupakan jiran mereka. - Foto ihsan PEMBACA ST

Seorang wanita meninggal dunia selepas diserang berikutan pertelingkahan antara jiran di Yishun Central pada pagi 24 September.

Wanita itu dan suaminya adalah antara tiga orang yang dibawa ke hospital. Pasangan itu mengalami kecederaan serius.

Orang ketiga yang dibawa ke hospital ialah suspek yang didakwa melakukan serangan. Dia telah ditahan atas kesalahan membunuh, lapor The Straits Times (ST).

Jurucakap polis berkata siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut berpunca daripada pertelingkahan akibat bunyi bising.

Suspek, seorang lelaki berusia 67 tahun, didakwa menggunakan pisau untuk mencederakan pasangan tersebut.

Wanita itu, seorang warga Vietnam berusia 31 tahun, dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) dalam keadaan tidak sedarkan diri. Beliau kemudian meninggal dunia.

Suaminya, 33 tahun, dan suspek, berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke KTPH.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.25 pagi di Blok 323 Yishun Central pada 24 September.

Apabila ST tiba di Blok 323 sekitar 8.50 pagi, terdapat titisan darah di lantai tingkat bawah, berhampiran lif.

Sebilah pisau, jam tangan, telefon bimbit, kunci kereta dan selipar dilihat di lantai yang berlumuran darah.
Sebilah pisau, jam tangan, telefon bimbit, kunci kereta dan selipar dilihat di lantai yang berlumuran darah. - Foto ST

Di tingkat enam, terdapat kesan darah di lobi lif dan dalam lif. Sebilah pisau, jam tangan, telefon bimbit, kunci kereta dan selipar berada di lantai yang berlumuran darah.

Keseluruhan tingkat enam telah dikepung dan sekurang-kurangnya lapan pegawai polis berada di lokasi.

Keseluruhan tingkat enam di Blok 323 Yishun Central telah dikepung.
Keseluruhan tingkat enam di Blok 323 Yishun Central telah dikepung. - Foto ST

Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Encik Koh berkata terdapat perselisihan antara suspek dan pasangan yang cedera itu.

“Sekitar 7 pagi, saya terdengar jeritan dan kekecohan. Saya pergi ke tingkat enam dan ternampak seorang wanita terbaring tidak sedarkan diri berhampiran lif. Beliau mengalami kecederaan di seluruh badannya dan berlumuran darah,” kata pemilik perniagaan berumur 69 tahun itu.

“Suaminya sedang cuba melawan seorang lelaki yang memegang pisau. Suami itu menjerit: ‘Ada sesiapa tahu CPR? Tolong bantu isteri saya!’ Kemudian saya nampak suami itu ditikam di bahagian dada,” tambahnya.

Menurut Encik Koh, semasa suami itu bergelut dengan suspek berhampiran lif, salah seorang jiran cepat-cepat menarik anak-anak kecil pasangan tersebut masuk ke dalam rumah mereka dan menutup pintu.

“Suami itu cuba melawan lelaki tersebut. Tetapi lelaki itu menarik suami itu dari belakang dan menikamnya di bahagian dada. Kemudian seorang lagi jiran cuba memisahkan mereka dengan mengambil pisau dari lelaki itu dan menendangnya jauh. Suami itu masih sedar ketika polis tiba, tetapi mata isterinya tertutup,” katanya.

Seorang penduduk yang tinggal di Blok 322 berkata seorang wanita telah bergegas ke bloknya untuk mengambil defibrilator yang diletakkan di sana.

Foto kejadian menunjukkan beberapa orang membantu seorang wanita di koridor, sementara seorang lelaki berlumuran darah duduk berhampiran.

Anak-anak pasangan itu dipercayai berusia sekitar dua dan lima tahun.

Seorang penduduk tingkat sembilan yang hanya dikenali sebagai Encik Ismail, 65 tahun, berkata: “Perselisihan antara pasangan itu dan lelaki tersebut telah berlarutan beberapa tahun. Pasangan itu biasanya mendiamkan diri, tetapi lelaki itu tidak puas hati dengan anak-anak mereka yang bising.”

Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Jackson Lam, yang mengawasi kawasan tersebut, dalam satu kiriman di Facebook berkata pihak akar umbi akan membantu penduduk yang terjejas oleh kejadian itu.

“Saya berdukacita dengan kejadian tragis dan mengejutkan pagi ini. Kes ini dalam siasatan polis dan saya akan memantau perkembangan lanjut,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg